ISTILAH itu diperkenalkan oleh rakan baik saya yang juga kolumnis akhbar The Straits Times, Chua Mui Hoong. Saya rasa istilah itu menangkap denyut nadi perdebatan hangat yang berlaku di republik itu, terutamanya selepas kematian Lee Kuan Yew pada tahun 2015, berhubung wasiat mendiang mengenai rumah kediamannya di 38, Oxley Road.

Pada masa dahulu, media yang dikawal oleh kerajaan lazimnya menguruskan debat awam. Tetapi dengan kemunculan media sosial, ia jadi mustahil.

Agak sukar untuk melihat bagaimana teknokrat parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) menangani cabaran politik ini. Lebih-lebih lagi, semua ini berlaku dalam suasana ketidaktentuan politik ketika Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Menteri Kewangan, Heng Swee Keat diketahui umum tidak begitu sihat pada tahun lalu.

Kekeliruan itu bertambah apabila kelompok elit tampak bersungguh-sungguh mahu mengetepikan Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam daripada semua percakapan tentang penggantian kuasa.

Perhatian kini bertumpu pada kumpulan yang dikenali sebagai Generasi Keempat PAP, terutamanya enam tokoh yang disebut The Straits Times pada tahun lalu sebagai bakal pemimpin masa depan. Saya tertarik dengan seorang daripada mereka: Ong Ye Kung, Menteri Pendidikan (Pengajian Tinggi dan Kemahiran) yang juga Menteri Pertahanan Kedua.

Ada tiga sebab utama yang cukup menonjol tentang dirinya. Pertama, Ong, 47, sudah beberapa tahun berkhidmat dengan Lee Hsien Loong sebagai Setiausaha Akhbar antara 1997 hingga 2003 dan kemudian Setiausaha Sulit Kanan dari 2003 hingga 2005. Keakraban itu membayangkan ada kepercayaan yang mendalam antara mereka.

Kedua, Ong seorang yang tahan uji. Ong yang bertanding buat kali pertama dalam pilihan raya umum 2011 kalah teruk di kerusi Kawasan Perwakilan Berkumpulan Aljuneid bersama bekas Menteri Luar George Yeo. Kekalahan tersebut menyentak bintang yang sedang bersinar itu dan memaksa beliau bermuhasabah.

Ketiga, saya tertarik dengan naratif peribadinya yang luar biasa. Bapanya wakil rakyat Barisan Sosialis pada tahun 1960-an dan menentang PAP yang dipimpin Lee Kuan Yew. Bahasa ibundanya Mandarin, tetapi beliau mampu beralih kepada aliran Inggeris dan melanjutkan pengajian ke London School of Economics (LSE).

Inilah yang membawa saya ke Singapura. Saya menyertai lawatan dua kali seminggunya ke GRC Sembawang.

Saya melihat bagaimana beliau mendekati penghuni flat HDB daripada latar belakang yang pelbagai. Ada pasangan warga emas Hokkien, seorang dua wanita yang merungut tentang sampah, seorang lelaki Tamil, seorang anak muda Melayu dan makciknya yang bertudung - segala macam ragam hidup Singapura.

Ong menguruskannya dengan cekap dan tidak kisah dengan protokol. Apabila saya duduk dengannya beberapa hari kemudian, saya tahu beliau tidak akan memberi apa-apa jawapan yang radikal tentang cita-citanya atau tentang 38 Oxley Road.

Beliau seorang yang berhati-hati, fokus dan tahu apa yang perlu disampaikan. Orang yang kritikal terhadapnya akan mengatakan beliau seorang yang membosankan.

Namun apabila bercakap tentang pendidikan, saya terkejut. Beliau menunjukkan kepakarannya dalam bidang tersebut - terutamanya pendidikan sepanjang hayat - serta tentang soal minat dan kesungguhan.

Apabila ditanya bagaimana persiapan republik itu untuk menghadapi zaman automasi, jawabnya: “Singapura mengambil langkah berbeza daripada hanya mengajar tentang pengkodan dan kecerdasan buatan... kerana kemajuan berkembang pesat dan lebih mustahak untuk memberi tumpuan kepada hal-hal asas".

 “Sekolah dan institusi mesti beralih daripada peranan tradisi menyebarkan pengetahuan kepada memberikan pengalaman dan kemahiran. Jadi sekarang ini ada lebih banyak fokus kepada belajar melalui pengalaman, latihan sangkutan, projek masyarakat serta pendedahan di luar negara. Cabaran utamanya ialah mengubah cara berfikir pelajar dan ibu bapa. Saya cukup yakin ini boleh berlaku dalam satu generasi.”

Jelas bahawa Singapura, menyedari perubahan aktiviti ekonomi masa depan, sedang meningkatkan pelaburannya dalam pendidikan, membelanjakan SG$12.9 bilion pada tahun ini (atau 17 peratus daripada keseluruhan belanjawan) - pertambahan dua kali ganda berbanding pada 2015.

Ini akan memberikan kesan yang dramatik kepada masa depan politik dan masyarakat di Singapura.

Semasa kami berbual tentang perbezaan antara bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris, saya sedar bahawa beliau faham sesuatu yang mendalam tentang bagaimana bahasa, budaya dan politik saling mempengaruhi antara satu sama lain: “Bukan sahaja penting untuk menguasai sesuatu bahasa tetapi juga menguasai cara berfikirnya. Mandarin sebuah bahasa yang menyeluruh dan ada sejarahnya. Bahasa Inggeris itu tentang logik dan analitikal. Saya percaya belajar bahasa lain akan menajamkan kekuatan minda.”

Ketika saya membaca tentang hubungan Singapura yang tegang dengan China barulah saya menyedari betapa Ong akan jadi seorang yang sangat bersedia untuk menghadapi dekad-dekad mendatang apabila Beijing jadi lebih berkuasa.

Ong bukan seorang berfikiran memberontak atau tidak konvensional. Tetapi sejarah peribadinya yang sangat luar biasa - kalah pilihan raya dan belajar daripada pengalaman serta kesungguhan yang mendalam mahu mengubah pendidikan, menunjukkan keperibadian seorang yang bersungguh-sungguh memberikan tumpuan kepada potensi masa.

Hanya masa yang akan menentukan apakah Ong benar-benar seorang calon perdana menteri. Tetapi pada hemat saya, pada zaman persaingan ini, kepimpinan akan bertumpu kepada mereka yang merenung masa depan dan berazam membina masa depan itu dengan sewajarnya.