MEKAH ialah kota penuh kejutan. Landskapnya mungkin suram, tetapi segalanya berubah apabila anda berada di dalam kawasan tanah haram di mana anda masuk ke dalam tekstur kaya dunia Islam, dari Masjid-al Haram yang gah ke pasar-pasar di tepi jalan.

Sepuluh tahun lalu, ketika saya berkunjung ke Tanah Suci buat julung kalinya untuk ibadah umrah, diikuti haji selang beberapa bulan kemudian, saya terkenang kepelbagaian mereka yang mengerjakan haji. Kelihatan raut wajah mereka dibakar terik mentari penuh dengan sejarah peribadi, romantisme dan drama.

Mereka datang dari segenap penjuru dunia, dari ulama Parsi dengan jubah hitam labuhnya, pedagang Afrika Barat yang tinggi, berangka besar dan memakai jubah putih, orang Tajik yang berkilat diulit sinar mentari ke puluhan ribu orang kampung dari Bangladesh. Ada juga orang Sudan atasan berlanggar bahu dengan puak Baluch dan Pathan, isteri-isteri yang gemar berhias dari Cairo, peniaga kecil dari Arab Timur, orang Jawa, Melayu dan jarang-jarang sekali orang dari Eropah dan Amerika. Ada ketikanya saya berasakan seluruh dunia berada di samping ketika saya mengelilingi Kaabah.

Pada ketika itu, kota Mekah sedang melalui perubahan mendadak, dipandu kemewahan melimpah ruah yang dinikmati pengunjung ketika itu. Jalan raya dan terowong dibina di pelbagai lokasi, bangunan lama diruntuhkan atau yang baru dibina terburu-buru dengan pelbagai stail berbeza.

Kenangan Mekah kembali segar di fikiran, apabila saya mengunjungi pameran elegan di The British Museum bertajuk, Hajj: Journey to the Heart of Islam (Haji: Perjalanan ke Dunia Islam) yang dibuka hingga pertengahan April ini.
Untuk sesiapa yang berminat memahami ibadah haji dengan lebih mendalam, pameran dianjurkan bersama Perpustakaan Awam Raja Abdul Aziz dan Bank HSBC Amanah ini sememangnya pembuka mata yang menawan.

Ibadah haji satu dari lima Rukun Islam, dan wajib dilaksanakan setiap umat Islam berkemampuan, sekali seumur hidup. Untuk ramai umat Islam, ini sememangnya satu peristiwa penting dalam hidup mereka, perjalanan untuk berjimat-cermat dan berkorban. Pada November 2011, dianggarkan lebih tiga juta umat Islam berhimpun di Mekah untuk ritual lima hari ini - salah satu perhimpunan umat manusia terbesar di dunia.

Pameran di The British Musuem ini sememangnya terperinci dan memprovokasi fikiran. Ditempatkan di dalam atrium ikonik muzium itu, pameran ini memfokuskan kepada semua aspek ibadah haji melalui zaman.

Pameran itu merangkumi asal-usul ibadah haji kepada perjalanan dan cabaran kerjakan ibadah itu. Sememangnya, hampir keseluruhan pameran itu bertemakan jarak dan cabaran berbahaya perlu ditempuhi bakal haji dari merentasi padang pasir Sahara dan Gobi, mengharungi ke Lautan India.

Dalam kepelbagaian ini, terdapat kesatuan yang jelas. Sememangnya, ihram dipakai dan landskap gersang menonjolkan kesucian dan tujuan yang mudah dan ringkas.

Kesatuan ini mungkin kerana kesungguhan bakal haji dan keimanan mereka yang utuh untuk menjadi tetamu ALLAH, kesatuan objektif yang membawa umat Islam dari Mali, Azerbaijan, China atau Malaysia bersama-sama, termasuk yang kaya dan miskin.

Setelah menghabiskan beberapa jam di pameran tersebut, saya berjalan-jalan di sekeliling muzium gah itu dan singgah ke pameran Asia di Galeri Hotung.

Artifak bertemakan kepercayaan dan agama juga dipamerkan di sini: skulptur Buddha dari Thai dan Khmer berdiri tegak di sebelah patung-patung gangsa dari kuil Hindu di Selatan India.

Tanpa sebab yang nyata, saya sebagai seorang penganut agama Islam dari Asia Tenggara, berasa selesa melihat item-item bersejarah ini. Adakah ini kerana artifak-artifak sejarah ini sebahagian dari sejarah dan asal-usul saya?

Terdetik di hati bahawa konsep keagamaan seperti haji dan Islam yang menuntut umatnya mengabdikan diri kepada ALLAH mampu diraikan dalam pameran di sebuah muzium. Bukankah muzium itu konsep ciptaan manusia yang fokusnya untuk meraikan sejarah tamadun manusia dan duniawi?

Selain itu, apa yang saya perhatikan: majoriti pengunjung pameran itu bukan Islam, mereka penganut pelbagai agama lain yang tertarik untuk mempelajari Islam dan mistik haji serta Tanah Haram Mekah.

Terlintas di fikiran, mungkin masih lama lagi sebelum saya dapat mengunjungi pameran tentang Paskah (Easter) atau ritual Hindu di muzium-muzium utama di bandar-bandar majoriti Muslim seperti Kairo, Karachi atau Kuala Lumpur. Ini sememangnya amat mendukacitakan… Apakah politik pasca-Islamis di Timur Tengah mampu merubah tanggapan ini?