MINGGU lepas di Istanbul, saya berkesempatan melawat sebuah bangunan, sekali gus mengelirukan lagi tafsiran saya tentang apakah makna sebenar muzium dan di mana permulaan dan penamat sesebuah fiksyen.

Muzium ini terletak di tengah Cukurcuma, kawasan orang bohemia yang agak menarik meskipun sedikit terbiar di Beyoglu, Istanbul.

‘Museum of Innocence’ ini merupakan sebuah muzium dan juga tajuk sebuah novel. Orhan Pamuk, pemenang Hadiah Kesusasteraan Nobel menghasilkan kedua-duanya.

Sesiapa pernah membaca karyanya (seperti My Name is Red dan Snow) akan bersetuju penulis gemar menggunakan paradoks dan hujah yang bertindih antara satu sama lain seperti Kiub Rubik. Jadi, bersedialah sebelum anda melangkah masuk bangunan itu.

Muzium setinggi tiga tingkat itu sangat kecil dan sempit. Selepas membayar caj masuk yang agak mahal (TRY25 lebih kurang RM40), anda melangkah masuk untuk menemui campuran barangan rumah yang pelik- baju lama, pin rambut, anak patung dan ribuan puntung rokok (4,213 batang secara tepatnya).

Dengan objek pameran yang didatangkan dari kedai-kedai di Istanbul, muzium itu (kedua-dua bangunan dan novel) adalah penghasilan semula era 1940-an dan 1950-an- zaman kecil Pamuk. Ia juga menceritakan tentang kisah cinta fiksyen antara anak golongan kaya, Kemal dan perempuan simpanan dari kelas bawahan beliau bernama Fusun.

Banyak muzium yang sudah saya kunjungi; Louvre, Muzium British dan Muzium Metropolitan di New York  kebiasaannya merupakan ruang umum yang menakjubkan, kadang kala bangunan tersebut adalah sebuah istana pada dahulunya ditempatkan khusus untuk pembinaan negara dan penghasilan cerita mitos, revolusi, peperangan, kebuluran dan malapetaka yang menentukan hala tuju kita sepanjang zaman.

‘Museum of Innocence’ pula sebaliknya. Bangunan kecil ini menyimpan cerita domestik. Apa yang ditekankan adalah keintiman, cerita-cerita kecil dan orang-orang bersamanya.
 
Pada masa sama, muzium ini adalah gambaran dunia nyata yang diadaptasi dari novel Pamuk. Setiap satu daripada 38 bab dalam novelnya (termasuklah ‘4,213 puntung rokok’) diterjemahkan ke dalam bentuk tiga dimensi.
 
Benar, ada ketikanya di mana muzium tersebut kelihatan seperti ditokok-tambah (jangan lupa Kemal dan Fusun adalah watak fiksyen), sehingga membuatkan anda terfikir apa yang bermain di fikiran pemenang Hadiah Nobel ini untuk menghabiskan masa dan tenaga mengumpul dan melabelkan setiap barangan tersebut. Sebagai contoh, setiap satu daripada 4,213 puntung rokok tersebut dilabelkan dengan tarikh dan penjelasan.
 
Namun begitu, anda tidak perlu khuatir. Pamuk juga bersifat subversif. Karya yang dihasilkan beliau sangat indah, sama seperti baklava yang dapat ditemui di kedai kek dan kuih di Istanbul.
 
Sasterawan ini juga dipengaruhi dengan idea ketamadunan, diambil dari era Pencerahan (Enlightenment) yang menyokong budaya pembentukan muzium.
 
Apa yang lebih ironik, zaman 1700-an dan 1800-an, di mana Pencerahan berkembang pesat merupakan juga zaman kejatuhan Empayar Ottoman apabila mereka terpaksa melepaskan kawasan jajahan susulan daripada kegagalan hubungan diplomatik dan kekalahan dalam perang.
 
Muzium itu merupakan karya seni dan metafora bagi hasil penulisan Pamuk. Beliau bukan sekadar menolak institusi negara, malah turut lari dari membincangkan falsafah dan ilmu agama, perbincangan yang menenggelamkan Turki silam.
 
Sebaliknya, penceritaan beliau adalah tentang tajuk yang lebih dekat dengan kita, memudahkan pemahaman melalui penggunaan peralatan rumah yang sarat dengan emosi.
 
Dalam masa sama, sepanjang hidup dan menulis di Turki, Pamuk didedahkan dengan dua dunia, Barat dan Muslim. Beliau memilih untuk tidak membincangkan tentang cara hidup mana yang lebih baik. Sebaliknya, mengingatkan kita tentang kebenaran yang tidak terikat dalam mana-mana kepercayaan. Bagi Pamuk, kebenaran itu terletak dalam hati kita sendiri.