SAYA berada di Sidoarjo, Jawa Timur, pada hari Sabtu 5 April. Cuaca ketika itu panas terik dan saya berjalan seiring dengan para penyokong parti pemerintah, Parti Demokrat, menuju ke sebuah stadium tempatan bagi menyaksikan kempen terakhir sebelum pilihan raya legislatif Indonesia pada 9 April lalu.

Saya duduk bersama-sama penyokong Dahlan Iskan – calon presiden dari Parti Demokrat – dan mereka penuh keyakinan bahawa Dahlan bakal terpilih.

Sementara itu, penyokong lain kelihatan lesu dan kurang bersemangat. Mereka duduk di dalam kumpulan kecil: ramai mengambil tempat untuk berteduh daripada sinaran matahari yang terik pada hari itu. Manakala di tempat letak kereta stadium, ada ratusan bas dan angkot (bas mini) yang diletakkan di merata kawasan.

Pada hari sebelumnya, saya mengikuti kempen penuh bertenaga oleh calon presiden dari Parti PDI-P, Joko Widodo, beliau berkempen di kawasan kubu Nadhatul Ulama (salah satu kumpulan Islam terbesar di Indonesia dengan jumlah ahli lebih 30 juta orang) dari Banyuwangi hingga ke Surabaya, dan saya dapat rasakan perbezaan suasana acara kempen Parti Demokrat yang begitu suram.

Walau bagaimanapun, acara tersebut melakar satu peristiwa bersejarah memandangkan ia kempen terakhir Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan saya tidak mahu melepaskan peluang untuk berasai sendiri suasananya.

Saya mengikuti perkembangan SBY sejak beliau masih di Kabinet sehingga menjadi calon presiden.

Meskipun wartawan dan rakan media lebih berminat mengikuti kempen calon-calon yang mendahului kaji selidik, saya menanti ketibaan SBY bersama-sama dengan  penyokong-penyokong parti yang datang dari Pasuruan dan Pandaan – dua bandar di Jawa Timur.

Persiapan yang dilakukan jentera parti cukup menakjubkan: bendera-bendera parti berkibaran di keliling stadium dan sepanduk-sepanduk juga tergantung di setiap sudut.

Terdapat skrin video besar yang menayangkan jasa dan sumbangan SBY sepanjang 10 tahun menjadi presiden dan rancangan beliau untuk masa depan Indonesia. Tentu sekali, acara ini memakan belanja yang besar.

Ketika tayangan video itu menghampiri kemuncaknya, SBY tiba dan melangkah naik ke pentas utama. Beliau berdiri di barisan hadapan, didampingi isteri dan anaknya, Edhie Baskoro (atau lebih dikenali sebagai Ibas) dan diikuti kumpulan penyokong parti yang kesemuanya memakai pakaian berwarna biru iaitu warna rasmi parti.

Pada mulanya, saya tidak meletakkan harapan tinggi, terutamanya setelah melihat tayangan video yang membawa mesej berkobar-kobar, namun ternyata ucapan SBY tidak mengecewakan.

Bekas jeneral itu menyampaikan ucapannya dengan penuh yakin dan bersemangat tatkala beliau menggesa seluruh hadirin untuk mengundi Parti Demokrat agar parti itu dapat terus menerajui kerajaan untuk satu penggal lagi.

Saya perhatikan hadirin di stadium ketika itu benar-benar memberikan tumpuan mereka pada ucapan SBY. Mereka mungkin tidak menyukai Parti Demokrat tetapi ternyata masih menghormati dan menyanjung SBY.

Setelah meninggalkan stadium, saya dapat lihat perbezaan situasi antara parti dan SBY sendiri: jentera parti kelihatan letih dan tidak bermaya manakala SBY walaupun sudah sedekad berkuasa, masih mempunyai semangat untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Tentu sekali, kita tahu prestasi Parti Demokrat menjunam pada pilihan raya legislatif lepas (dari 20.85% pada 2009 kepada 9.43% undi) suatu keputusan yang menyedihkan buat penyokong-penyokong parti.

Sementara ramai yang menggesa SBY untuk menyerah kalah dan memberi sokongan kepada salah seorang calon presiden yang sedang mendahului, terutamanya Prabowo Subianto, saya tertarik akan keputusan beliau yang mahu terus memperjuangkan semangat parti dan mengetengahkan calon presiden mereka sendiri.

Kebanyakan daripada pengamal media (termasuk saya) telah silap dalam mengetepikan atau tidak mengendahkan SBY. Ramai berpendapat pengaruhnya telah sampai ke penghujung, tidak berguna dan tiada kepentingan.

Saya tertarik untuk melihat bagaimana SBY akan menjalankan pentadbiran beliau untuk beberapa bulan akan datang sebelum melepaskan jawatan. Sesiapa yang beranggapan bahawa beliau sudah tidak wajar diberikan perhatian perlu berfikir kembali dan membetulkan persepsi. Sesungguhnya, SBY masih belum hilang taringnya.


* Karim Raslan ialah kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah