SAYA sentiasa mempunyai impian besar dan akan terus bermimpi.

Semasa kecil, bapa saudara saya sering menegur tabiat saya yang gemar berangan untuk menjelajah negara-negara di serata dunia.

Ramai menganggap ia sesuatu yang merugikan, tetapi apabila saya kenang kembali, angan-angan itulah yang sebenarnya memberikan saya keazaman untuk menerokai dunia, menulis dan menjadi seorang tukang cerita.

Justeru, adalah penting bagi setiap individu untuk menyemai impian dalam diri mereka demi menyemarakkan azam dalam menempuh cabaran kehidupan.

Zaman kanak-kanak saya dihabiskan di England. Ketika itu, saya merindukan kampung halaman di mana matahari masih bersinar selepas jam 4 petang dan mempunyai aneka makanan yang lebih menyelerakan serta penduduknya yang berfikiran terbuka.

Tidak dapat disangkal segala mimpi dan angan-angan menjadi penawar duka dan kesengsaraan ketika itu.

Apa yang penting adalah keupayaan untuk mengubah diri atau dunia di sekeliling anda demi merealisasikan impian tersebut. Jelas sekali, setiap impian menjadi faktor penting dalam memacu perubahan, terutamanya dalam menyemarakkan keazaman untuk lebih berjaya.

Pastinya, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif dari aspek kestabilan dan keamanan dalam usaha memacu perubahan yang diimpikan. Sukar sekiranya kita cuba berbuat demikian dalam persekitaran yang dibelenggu krisis peperangan seperti di Syria atau Somalia.

Mengapa saya bercakap tentang pentingnya untuk bermimpi? Tentunya, impiansetiap individu untuk membentuk masa depan yang lebih baik mampu memacu masyarakat ke arah kemajuan.

Contohnya, walaupun ramai yang kurang setuju dengan pendekatan beliau, kita perlu akui bahawa Tun Dr Mahathir adalah pemimpin yang mempunyai impian dan keazaman yang tinggi untuk memacu negara ke hadapan.

Jika kita berhenti bermimpi, bermakna kita telah berhenti berkembang sebagai sebuah masyarakat ataupun secara individu. Malaysia kini dibelenggu ancaman di mana kita berada dalam keadaan statik dan tidak berkembang.

Saya sentiasa mencabar diri mencuba perkara-perkara baru.Saya masih ingat kemelut krisis perubahan kuasa bersejarah yang berlaku di Filipina lebih 27 tahun yang lepas.

Dengan menggunakan segala wang simpanan yang saya ada pada waktu itu, saya telah membeli tiket ke Manila dan menghabiskan masa selama dua minggu di sana untuk mengikuti perkembangan revolusi “People’s Power Revolution” pada 1986.

Saya juga masih ingat suasana riuh di Taman Luisita yang menjadi antara tempat perhimpunan besar-besaran pengikut Corazon Aquino serta puluhan jam yang saya habiskan untuk menunggu peluang menemu bual para editor dan orang awam.

Terus bermimpi, dan anda akan mampu untuk merealisasikan mimpi tersebut.

Tentu sekali, anda perlu sentiasa berusaha dan mengasah kemahiran anda untuk mencapai sesuatu impian. Tiada perkara yang mudah untuk dicapai dan ini mungkin mengambil masa yang lama.

Dalam hal ini, saya setuju dengan “aturan sepuluh ribu jam” yang dikemukakan oleh penulis Malcolm Gladwell di mana beliau berpendapat, anda harus meluangkan sekurang-kurangnya 10,000 jam (atau empat puluh jam seminggu selama lima tahun) sebelum anda benar-benar mahir dalam sesuatu perkara.

Namun, berbalik kepada situasi saya, saya menyedari bahawa orang lain (bukan sahaja pembaca artikel saya) ingin mengetahui tentang kisah perjalanan saya dan seterusnya bertemu dengan individu-individu yang telah saya ceritakan dalam artikel saya.

Cerita saya merentasi sempadan hingga membawa kepada penubuhan perniagaan perundingan kecil milik saya.

Dari suatu sudut, saya berasakan diri sebagai seorang yang bertuah. Benar, masih terdapat banyak cerita-cerita berkaitan dengan impian, perjalanan dan pengalaman saya yang dapat dikongsikan selagi masih ada pembaca di luar sana.

Saya hanya berharap agar masyarakat kita secara keseluruhan mempunyai impian, semangat, dan tenaga yang sama untuk melakar masa depan yang lebih cerah.