Kunjungan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ke makam kontroversi Yasukuni (perdana menteri pertama yang melakukan tindakan tersebut dalam tujuh tahun) menjadi topik hangat dalam kebanyakan ruangan berita antarabangsa.

Di sebalik usaha-usaha pemulihan ekonomi Jepun, Abe jelas sekali memilih langkah nasionalistik dengan meneruskan lawatan tersebut hingga mencetuskan kecaman masyarakat antarabangsa, terutama China dan Korea.

Makam Yasukuni, yang dibina untuk memberi penghormatan kepada pejuang-pejuang perang Jepun mendapat persepsi kurang menyenangkan apabila 14 penjenayah Perang Dunia Kedua (WWII) turut diberi penghormatan di situ.

Malah, lokasi makam tersebut di tengah-tengah kota Tokyo, iaitu di Chiyoda, mencerminkan kepentingannya dalam kalangan masyarakat Jepun. Apatah, lokasi-lokasi utama seperti Istana Imperial dan bangunan Parlimen (dikenali sebagai Diet) berada di kawasan Chiyoda.

Kunjungan Abe ke makam tersebut dilakukan beberapa minggu selepas China mengisytiharkan perluasan Zon Identifikasi Pertahanan Udara (ADIZ) bagi kawasan Laut China Timur, yang turut merangkumi kepulauan-kepulauan tidak didiami yang berada di bawah kawalan Jepun.

Tindakan berani China itu mengejutkan Tokyo dan Seoul (termasuk Washington dan Asean).

Ternyata pengisytiharan perluasan ADIZ menjadi cabaran jelas bagi Jepun yang mempunyai perjanjian pertahanan strategik bersama Amerika Syarikat.

Keputusan Abe untuk melawat makam Yasukuni membuat kita bertanya: adakah Jepun benar-benar serius untuk menangani ketegangan di Asia Utara?

Lebih-lebih lagi, kita dapat perhatikan bahawa situasi tegang yang berlaku kini mempunyai persamaan dengan situasi semasa Perang Dunia Pertama.

Sementara Eropah bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-100 berakhirnya Perang Dunia Pertama pada tahun ini, kuasa-kuasa besar Asia Utara kelihatan seolah-olah terperangkap dalam konflik yang mungkin tidak menemui jalan aman.

Perkembangan pesat ekonomi China membantu mereka meningkatkan perbelanjaan ketenteraan secara drastik.

Pada awal 1900-an, Jerman berada dalam situasi yang sama. Semakin banyak kapal perang Jerman dilancarkan, semakin bertambah kebimbangan British.

Kedua-dua kuasa besar, iaitu China pada masa kini dan Empayar Jerman pada 1914, mempunyai sensitiviti ketara terhadap perkembangan kuasa-kuasa pesaing di sekeliling mereka.

Amerika Syarikat sememangnya sebuah kuasa besar yang memiliki lebih kemampuan dalam aspek ketenteraan dan ekonomi pada masa kini.

Namun, perjanjian ketenteraan AS-Jepun tiada bezanya dengan kesepakatan antara Britain, Perancis dan Rusia pada masa dahulu.

Bagaimana situasi ini akan memberi kesan kepada rantau Asia Tenggara?

Apa yang jelas, kita menjadi pentas utama persaingan antara kuasa-kuasa besar ini. Persoalannya, adakah kita memilih untuk lebih dekat dengan Beijing, Washington atau Tokyo?

Presiden Xi Jinping sudah mula mendekati negara-negara Asia Tenggara semasa perjumpaan Asean-Jepun di Tokyo bulan lalu.

Vietnam, Myanmar dan Filipina mempunyai pendirian yang berbeza terhadap China. Aspek kedudukan yang berhampiran dengan China menjadikan prospek hubungan dengan China lebih menakutkan manakala hubungan dengan AS tampak lebih meyakinkan.

Sebuah buku yang sangat bermakna, bertajuk The War That Ended Peace nukilan Margaret MacMillan, seorang sejarawan dari Universiti Oxford, menceritakan bagaimana pemimpin-pemimpin Eropah dahulu terjebak dalam konflik peperangan.

Penulis menceritakan bagaimana pemimpin tentera sengaja memperkenalkan polisi bersifat agresif, memanipulasi pendapat umum sementara ahli-ahli politik enggan untuk mengakui situasi genting yang sedang berlaku.

Mungkin pemimpin-pemimpin di Beijing dan Tokyo perlu membaca buku tulisan MacMillan yang mengisahkan bagaimana Eropah secara kolektif menyebabkan pergolakan yang membawa kepada kematian 16 juta nyawa.

Bagi mereka yang berpendapat bahawa hubungan perniagaan di sekitar rantau Asia Utara akan dapat mengelak berlakunya peperangan, saya perlu menyatakan di sini bahawa Perang Dunia Pertama berlaku selepas suatu tempoh kemakmuran dan keamanan di Eropah.

Pemimpin-pemimpin dunia harus memikirkan kembali keutamaan mereka demi mengelakkan konflik ketenteraan.

Amerika Syarikat, contohnya, perlu kembali memberikan perhatian mereka terhadap apa yang berlaku di rantau Asia Utara.

Sifat nasionalisme yang berleluasa, golongan oportunis ketenteraan dan pemimpin politik bermasalah boleh membawa kita ke ranjau tragedi.

Apa yang menyedihkan adalah mereka kini seolah-olah sama seperti pada pertengahan musim panas pada 1914…