RAKYAT kini semakin berpecah-belah – terutamanya dalam isu agama dan bangsa. Pada masa sama, kita juga kehilangan sifat jenaka dalam diri. Kini kita menjadi lebih serius dan terlalu sensitif. Sifat jenaka daripada Lat, Harith Iskandar dan Jo Kukuthas telah hilang.

Sekarang, setiap masyarakat mempunyai hak untuk berbangga dengan budaya dan identiti mereka. Tetapi kita menempuh cabaran getir masa kini kerana kita semua merujuk kepada diri sendiri berdasarkan kaum masing-masing dahulu – Melayu, Cina atau India – sebelum merujuk kepada diri sendiri sebagai seorang rakyat Malaysia.

Jadi bagaimana kita boleh bergerak maju ke hadapan? Bagi saya, usaha “rekonsiliasi nasional” perlu dimulakan oleh kaum saya sendiri, iaitu Melayu. Ramai masyarakat Melayu menganggap saya liberal, bercakap bahasa Inggeris, berdarah campur dan tidak berhak berbicara untuk atau mengenai orang Melayu. Jika masyarakat Melayu seperti ini lebih memilih untuk mengetepikan penduduk yang berbeza latar belakang, maka masyarakat kita akan lebih ketinggalan dan mengecil.

Semangat muhibah tidak dapat dipulihkan selagi orang Melayu berasa kurang selamat. Seperti yang saya pernah utarakan beberapa kali sebelum ini, secara ironinya, masyarakat Melayu sebenarnya tiada sebab untuk tidak berasa selamat atau selesa dalam suasana persekitaran hari ini.

Orang Melayu merangkumi lebih kurang 65 peratus daripada jumlah populasi negara. Kita menguasai dunia politik, sektor perkhidmatan awam serta ketenteraan. Apatah lagi, jumlah pekerja Melayu di sektor swasta juga semakin berkembang hasil dari pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Persoalan mengapa orang Melayu masih berasa diancam adalah di luar skop perbincangan artikel kali ini. Tetapi sama ada kita suka atau tidak, perubahan di Malaysia harus diterajui masyarakat Melayu. Ini merupakan suatu realiti yang tidak dapat kita elak disebabkan jumlah penduduk Melayu yang besar di Malaysia, dan ini bererti kita harus berkemampuan dalam memimpin.

Setiap pemimpin bertanggungjawab untuk memastikan setiap hal ehwal bangsa serta masyarakat lain terjaga. Pemimpin juga perlu menunjukkan keberanian dan keluhuran budi pekerti di mana mereka harus sanggup untuk melupakan segala kenangan silam.

Tentu sekali, masyarakat Malaysia berpegang pada “kontrak sosial” yang telah dipersetujui sejak berdekad-dekad tahun lamanya. Namun kita harus akui “kontrak sosial” ini semakin dilupakan generasi muda di negara ini.

 Kita hidup dalam dunia global yang kian berkembang. Tiada siapa yang patut diketepikan hanya kerana berlainan latar belakang agama atau bangsa mereka.

Bangsa lain tidak akan tunduk kepada kita hanya disebabkan kita berbangsa Melayu atau kerana perasaan takut dan bimbang. Rasa hormat mesti diperoleh dengan sikap saling hormat-menghormati.

Tambahan lagi, masyarakat Melayu tidak pernah menunjukkan sifat monolitik atau seragam dari segi percakapan, pemikiran dan perasaan mereka, terutamanya apabila berbicara mengenai isu politik atau sosial.

Tetapi perkara ini bukanlah sesuatu unsur kelemahan, bahkan sumber kekuatan.

Saya tidak meminta agar persaingan politik di negara ini dihentikan. Bagaimanapun, ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perkara yang baik – kerana ia memberi rakyat pilihan serta memastikan ahli politik bersikap jujur.

Namun, pendekatan ‘bipartisan’ masih penting dalam sesetengah perkara.

Negara yang adil akan membawa kepada kemakmuran. Pemimpin atau parti politik mana yang akan berpegang kepada konsep ini? Mungkin perubahan harus datang dari peringkat akar umbi.

Peristiwa sepanjang enam tahun lepas mengajar kita bahawa pengaruh dan kuasa menjurus kepada setiap peringkat.

Apa sahaja yang berlaku kepada Malaysia bergantung pada kita. Nasib negara berada dalam tangan kita, manakala ahli politik adalah perwakilan kita dan seandainya mereka gagal melaksanakan amanah, undi kita harus digunakan bagi menyingkirkan mereka.

Namun, kita telah membuktikan bahawa perubahan politik – walaupun hanya sedikit demi sedikit – boleh berlaku secara aman. Kini kita harus berusaha untuk mencari persefahaman dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Hanya keberanian dan kebijaksanaan sahaja yang mampu membawa setiap masyarakat Malaysia bersatu dan bersama mengorak langkah ke hadapan.