Sejarah ditulis oleh pemenang, mereka yang kalah akan dilupakan. Pernyataan ini relevan kepada Malaysia dan negara-negara sekitar rantau Asia Tenggara.

Walau bagaimanapun, harus diingat kesilapan sama akan berulang seandainya kita tidak mengambil iktibar daripada pengajaran lampau.

Sejak zaman reformasi dan kejatuhan Presiden Suharto pada 1998, rakyat Indonesia terpaksa mengimbau kembali sejarah lama yang perit, terutama bagi mereka yang berkait rapat dengan kelompok pemimpin “Orde Baru”. Rejim tersebut diangkat
sebagai pemerintah yang sah hanya semata-mata bersandarkan kepada interpretasinya terhadap segala pergolakan berlaku pada zaman 60-an.

Penindasan kejam oleh Parti Komunis Indonesia (PKI) disahihkan menerusi peristiwa Gerakan 30 September, di mana mereka dituduh melakukan penculikan dan pembunuhan enam jeneral pada 1965.

Golongan artis dan penulis turut bersama para sejarawan dalam mengkaji semula peristiwa masa lalu. Dalang-dalang boneka atau ‘puppeteers’ dari Yogyakarta, yang dipanggil Papermoon serta kumpulan artis berhaluan kiri yang dikenali dengan panggilan

Taring Padi, menjadi antara penggiat seni yang paling berani mengetengahkan karya berkenaan era “Orde Baru” tersebut.

Selain itu, Pulang yang ditulis oleh editor Tempo, Leila Chudori, turut tergolong antara salah satu karya hebat yang menceritakan kisah pergolakan era itu.

Novel fiksyen tersebut penuh dengan pelbagai watak berbeza dan setiap satunya menghidupkan penceritaan sejarah kontemporari Indonesia yang penuh tragis dan dramatik.

Penulis menceritakan sebuah peristiwa gelap dalam sejarah Indonesia, di mana PKI dan sekutunya dituduh melakukan Gerakan 30 September hingga membawa kepada pembunuhan ratusan ribu anggota komunis di seluruh pelosok Nusantara.

Ribuan daripada mereka turut dipenjarakan, termasuk penulis terkemuka seperti Pramoedya Ananta Toer. Novel tersebut turut menceritakan tentang Dimas Suryo, seorang penulis yang turut terjejas oleh peristiwa gelap itu.

Ketika anggota PKI sedang diburu secara besar-besaran di Indonesia, Dimas berada di Paris, menjadi tukang masak di sebuah restoran Indonesia yang dipanggil dengan nama Tanah Air.

Sememangnya Chudori adalah seorang penulis yang luar biasa. Beliau mewujudkan variasi dalam setiap penceritaan watak dalam novel tersebut. Contohnya, kita dapat mengetahui bahawa Dimas adalah seorang ayah, anak, suami, kawan setia dan kekasih yang teruk.

Namun, penceritaan utama novel masih berteras kepada peristiwa berlaku di Jakarta sekitar tahun 50-an dan 60-an serta Dimas, yang bekerja sebagai wartawan, dikelilingi penulis dan para aktivis di syarikat akhbar fiksyen, Berita Nusantara.

Rakan baik beliau yang juga seorang wartawan, Hananto Prawiro, adalah seorang penyokong kuat PKI. Hananto juga terperangkap dalam kisah cinta tiga segi dengan Dimas, apabila beliau bercinta dengan isteri pertama Dimas, Surti Anandri. Hal ini bertambah teruk apabila Hananto dijatuhkan hukuman mati dan Dimas terpaksa terus menetap di luar negara selama tiga dekad.

Novel Pulang ini turut mengetengahkan aspek kemanusiaan. Watak-watak dalam novel, terutamanya Dimas dan anak kacukan Perancis beliau, Lintang Utara, menghidupkan naratif novel dalam usaha mereka mencari cinta, keamanan dan perdamaian.

Selain itu, Chudori berjaya mengimbangi penceritaan peristiwa berdarah Indonesia dengan drama tentang keintiman hubungan antara keluarga dan individu.

Chudori melahirkan konsep “Negeri” yang merujuk kepada sebuah tanah air dan ini berbeza dengan “Negara”, yang pada beliau, merujuk kepada sebuah set institusi kerajaan.

Bagi Dimas, Indonesia semasa era Orde Baru adalah “Negara”, sebuah tempat yang penuh dengan pengkhianatan dan pertumpahan darah. Manakala, “Negeri” bagi beliau adalah memori yang beliau pernah alami melalui masakan makanan, wayang, dan cinta tak berbelah bahagi kepada Surti.

Setelah selesai membaca Pulang, saya akui inilah novel yang selama ini saya inginkan. Ia sebuah penceritaan tentang kehebatan dan keintiman, percintaan dan keganasan yang berkisar pada vorteks budaya, sejarah dan geografi Indonesia.

Pulang adalah sebuah novel yang bermakna, rumit dan memilukan yang telah dihasilkan oleh penulis yang kini berada di kemuncak kerjayanya.