INDONESIA, dengan penduduk seramai 250 juta – selaku negara demokrasi Islam yang terbesar di dunia – telah melangsungkan pilihan raya legislatifnya minggu ini.

Berdasarkan unjuran tidak rasmi oleh Kompas - akhbar berpengaruh di Indonesia, sekitar lewat petang hari ini, parti pembangkang utama, PDI-P telah memperolehi sejumlah 19.67 peratus daripada undi popular untuk Dewan Perwakilan Rakyat.

Unjuran tersebut sedikit kurang daripada 25 peratus undi popular yang diperlukan untuk mencalonkan terus Gabenor Jakarta, Joko Widodo ("Jokowi") bagi pilihan raya presiden yang mendatang.

Namun, ini merupakan satu keputusan positif buat parti tersebut dan keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan paling awal pada 7 Mei.

Pada tahun 1999, selepas kejatuhan Suharto, PDI-P memenangi 33.74 peratus undi.

Pemimpin utamanya, Megawati Soekarnoputri telah dilantik sebagai Naib Presiden sebelum kemudiannya mengambil alih jawatan Presiden pada tahun 2001.

Walau bagaimanapun, Megawati dan partinya mengalami kekalahan teruk pada pemilihan umum 2004 dan 2009, di mana mereka cuma meraih 18.53 peratus dan 14.03 peratus dalam pemilihan tersebut.

Populariti 'rock-star' Jokowi telah menunjangi kebangkitan semula PDI-P.

Jokowi ternyata berjaya menggoncang landskap politik Indonesia dengan cara pemerintahannya yang mementingkan hasil dan mesra rakyat.

Secara keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan bahawa rakyat Indonesia mendambakan perubahan.

Tempoh 10 tahun di bawah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan, tetapi dibebani oleh masalah rasuah, kelumpuhan dasar dan kekurangan pembangunan infrastruktur.

Namun, bersandarkan kepada keputusan pemilihan legislatif kali ini, kemenangan mutlak buat Jokowi masih belum pasti.

Beliau bakal berdepan cabaran sengit di pemilihan presiden yang mendatang – terutamanya dari bekas Jeneral yang penuh kontroversi, Prabowo Subianto dari Gerindra dan calon Golkar Aburizal Bakrie, yang dahulunya merupakan seorang ahli perniagaan berjaya.

Sememangnya, terdapat kebimbangan bahawa sentimen nasionalis PDI-P mungkin akan membantutkan reformasi, menakutkan pelabur dan sekaligus menjadikan Indonesia lebih terdedah kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Cabaran terbesar yang menanti PDI-P adalah bagi menubuhkan pakatan politik, yang sekaligus akan menentukan calon Naib Presiden yang bakal mendampingi Jokowi.

Tambahan pula, meskipun memiliki rekod pemerintahan yang baik, Jokowi masih belum diuji di pentas nasional.

Adalah menjadi satu persoalan samada Jokowi mampu untuk menarik sokongan kumpulan-kumpulan pengundi Muslim konservatif, wilayah Timur Indonesia dan angkatan tentera Indonesia yang berpengaruh.

Ini adalah golongan pengundi yang mungkin berpihak kepada Prabowo atau Bakrie.

Oleh itu, calon bagi mengisi tiket Naib Presiden haruslah seseorang yang memiliki pengalaman dan pengaruh untuk menutup kelemahan beliau.

Sememangnya, pucuk pimpinan PDI-P pasti mempunyai pilihan sendiri, namun kriteria yang paling penting adalah individu yang bakal mengisi jawatan tersebut haruslah membantu Jokowi memenangi pilihan raya presiden dan membantu beliau dalam pentadbiran.

Persoalan yang lain ialah, apakah agenda PDI-P untuk Indonesia?

PDI-P harus lebih berhati-hati dalam memilih gandingan politik mereka.

Mereka harus mengambil iktibar daripada kegagalan "Sekretariat Gabungan" (atau "Setgab") koalisi yang dipimpin Parti Demokrat dalam memerintah Indonesia.

Pergolakan dalaman Setgab telah meruntuhkan reputasi SBY dalam tempoh pemerintahan 5 tahun terakhirnya.

Setelah sekian lama menjadi pembangkang, PDI-P mungkin akan cenderung untuk memberi ganjaran kepada mereka yang setia bersama parti, menghukum musuh politik dan menjalankan dasar yang selari dengan ideologi politik mereka.

Namun, keputusan pilihan raya legislatif membuktikan bahawa PDI-P tidak memiliki kebebasan mutlak untuk melakukan apa sahaja yang dimahukannya.

Mungkin, agenda kempen yang kurang jelas dan tidak komprehensif telah menidakkan PDI-P kemenangan yang lebih besar.

Justeru, PDI-P harus bekerja keras bagi membuktikan kepada rakyat Indonesia yang tidak memilih mereka bahawa parti itu – dan secara tidak langsung Jokowi – dapat menunaikan amanah yang diberikan.

Oleh itu, Jokowi harus dibenarkan untuk menjadi Presiden mengikut acuan beliau sendiri.

Beliau harus mempamerkan kepada Indonesia kekuatan dan kelebihannya berbanding pencabar utama, Prabowo dari Gerindra.

Pemerintahan Indonesia yang seterusnya tidak boleh dibebani dengan kepentingan politik kerana cabaran yang menanti negara tersebut – terutamanya dalam menangani masalah struktur ekonominya – memerlukan fleksibiliti.

Pendek kata, Jokowi harus berkempen, dan memerintah untuk seluruh rakyat Indonesia.

Beliau sudah menerajui satu anjakan paradigma dalam politik Indonesia.

Buktinya, PDI-P berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu.

Namun demikian ini cumalah satu permulaan. Suasana pemilihan umum Indonesia yang dahulunya malap kini sudah kembali dihangatkan.