ESOK rakyat Indonesia akan keluar mengundi bagi memilih presiden ketujuh mereka. Ini kali kedua presiden Indonesia dipilih secara langsung oleh rakyat selepas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Pilihan raya ini membawa makna yang besar kepada seluruh rakyat Indonesia secara umumnya.

Indonesia, berpenduduk 250 juta orang adalah sebuah negara demokrasi dengan majoriti Muslim terbesar dan kini merupakan ekonomi ke-10 terbesar di dunia.

Namun, kekuatan gergasi baharu Asia Tenggara itu masih tergugat dengan isu infrastruktur, jurang pendapatan masih luas serta rasuah yang tidak terbendung.

Benar, pelaksanaan sistem autonomi daerah telah memperkasa ekonomi tempatan, Indonesia memerlukan seorang pemimpin tegas dan berpandangan jauh untuk memacu negara ke hadapan.
Masyarakat umum mengetahui latar belakang calon pilihan raya presiden esok.

Calon pertama ialah mantan jeneral Pasukan Tentera Khas dan bekas menantu Suharto, Prabowo Subianto.

Calon kedua, Joko Widodo (“Jokowi”) yang pernah berkecimpung sebagai pengeksport barangan perabot dan memasuki dunia politik hingga dipilih menjadi Gabenor Jakarta.

Hasil kaji selidik terbaharu menunjukkan jurang perbezaan sokongan antara Prabowo dan Jokowi sudah semakin mengecil, sekali gus menimbulkan ketidaktentuan nasib Indonesia.

Benar, ramai melihat baik Prabowo mahupun Jokowi memperjuangkan politik dan ekonomi yang bersifat nasionalis, meskipun kedua-dua disenangi golongan peniaga dan usahawan.

Kedua-dua mengetengahkan visi yang berlainan dalam memacu masa depan Indonesia.

Prabowo menekankan aspek ketegasan dalam memimpin dan meyakinkan pengundi beliaulah satu-satunya pemimpin yang  mampu mempamerkan ciri-ciri ketegasan itu.

Mesejnya jelas, untuk menjadikan Indonesia sebuah negara kuat dan stabil, serta mempunyai peranan aktif dalam hal ehwal ekonomi dan tegas di bidang hal ehwal luar negara.

Pada masa sama, mesej beliau itu berbaur kemarahan – penuh dengan pelbagai dakwaan rasuah dan ketirisan ekonomi.

Pemimpin tegas seperti Prabowo mungkin menjadi penawar bagi Indonesia. Namun disebabkan sejarah silamnya, dan sikapnya yang kurang bertolak-ansur dengan prinsip demokrasi memberi gambaran beliau mungkin kekurangan nilai moral dalam usahanya untuk membawa perubahan seperti digembar-gemburkannya.

Perkara yang dibimbangkan juga adalah sokongan beliau kepada golongan fundamentalis Islam walaupun mantan Jeneral itu telah berulang kali menegaskan pendiriannya dalam menghormati pluralisme Indonesia.

Mesej Jokowi tidak ada unsur keras seperti Prabowo tetapi lebih jelas dan teratur. Beliau lebih mengetengahkan idea untuk memperkasakan rakyat, mewujudkan dan melahirkan rakyat Indonesia yang sihat, terpelajar serta memiliki peluang pekerjaan yang baik.

Beliau juga memperkenalkan konsep 'Revolusi Mental', sebuah ideologi untuk mengubah cara pemikiran rakyat Indonesia untuk memupuk semangat etika kerja yang positif.  

Secara umumnya, pendekatan Prabowo adalah dari atas ke bawah manakala pendekatan Jokowi adalah sebaliknya.  

Prabowo telah memberi amaran tentang dilema yang disebabkan amalan demokrasi secara langsung. Sementara Jokowi menyahut cabaran untuk membuktikan sebaliknya.

  Beliau telah berhubung dengan media tempatan di pekan-pekan kecil, sambil menegaskan pentingnya peranan mereka dalam mempertahankan kebebasan bersuara.

Meskipun menjadi antara ahli politik yang paling popular masa kini- beliau tampil dengan imej sederhana yang menjadi tarikan para pengundi.

Namun, keupayaan beliau untuk memimpin Indonesia seperti mana rekod cemerlangnya semasa memimpin Solo dan Jakarta masih menjadi tanda tanya.

Sesetengah pihak beranggapan beliau mungkin akan dibayangi Megawati Soekarnoputri, pengerusi parti PDI-P.

Pilihan raya esok – di mana pada awalnya sesetengah pihak khuatir ramai rakyat tidak akan ambil peduli tentangnya – ternyata  satu persaingan yang sengit.

Seperti ditulis oleh akhbar Jakarta Post dalam editorialnya minggu lepas, pilihan raya ini “…merupakan pilihan moral yang akan menentukan nasib negara.”

Apa jua keputusan, Indonesia pasti akan berubah wajah.