NEGARA-negara membangun kini di kancah bahaya, dan hal ini perlu diberi perhatian oleh Malaysia.

Lima kelompok negara yang bergelut dengan situasi ekonomi tidak sihat dikenali dengan istilah “Fragile Five” - terpaksa menaikkan kadar faedah untuk membendung kenaikan tahap inflasi di negara masing-masing:

Turkey, Afrika Selatan dan India telah berbuat demikian. Tidak dinafikan, Malaysia juga turut terjejas walaupun ekonomi negara memperlihatkan daya tahan yang agak tinggi.

Ekonomi China, yang merupakan enjin pertumbuhan ekonomi Asia Tenggara, dijangka terus mencatat pertumbuhan stabil sebesar 7 peratus tahun ini.

Lebih-lebih lagi, tahap inflasi di China masih lagi terkawal di paras 2.5 peratus pada Disember 2013 dan nilai mata wang Yuan dilihat stabil berbanding US Dollar.

Langkah kawalan modal terpilih yang dilaksanakan China berjaya melindungi ekonomi mereka daripada terkena impak pengumuman penarikan balik dasar pelonggaran kuantitatif oleh Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, kita harus sedar ekonomi China tidak sempurna sepenuhnya.

Beijing berhadapan ancaman dari segi sistem perbankan bayangan (atau dikenali shadow banking system).

Saya telah beri amaran tentang perkara ini dalam artikel saya tahun lepas (Krisis Perbankan China, 23 Julai) dan nampaknya kebimbangan saya itu ada asasnya.

Apa yang nyata, China lebih bergantung pada sumber-sumber tidak rasmi bagi pemberian pinjaman sejak sedekad lalu.

Pada 2013, terdapat penurunan pada pinjaman bank berekod, manakala pinjaman dari sistem perbankan bayangan meningkat hingga CNY47 trilion atau 84% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Apa lebih membimbangkan adalah institusi-institusi perbankan bayangan ini tidak terikat dengan peraturan, justeru memberi ruang bagi mereka mengambil risiko berlebihan.

Kita dapat lihat risiko situasi ini apabila bulan lepas China Credit Trust (CCT) nyaris-nyaris gagal melunaskan bayaran terhadap produk pelaburan yang diterbitkan pada 2011 bernilai CNY3 bilion.

Pinjaman CCT disalurkan kepada Wang Pingyan, pelombong arang batu di wilayah Shanxi oleh Industrial and Commercial Bank of China (ICBC) dengan kadar pulangan tahunan sebesar 10%.

Secara dasarnya, pulangan tinggi yang ditawarkan oleh ICBC menjadikan ia suatu alternatif menarik bagi bank, yang kebiasaannya menawarkan kadar faedah 3 peratus bagi deposit satu tahun.

Bagi kes Wang Pingyan, syarikat itu mengalami kejatuhan pada 2012 setelah pemiliknya ditangkap mengumpul deposit simpanan secara haram.

Namun mereka bernasib baik apabila terdapat satu entiti yang tidak dikenali telah membantu menanggung kerugian pelabur, walaupun bukan untuk jumlah keseluruhan faedah.

Ini bukanlah produk pelaburan pertama yang terpaksa berdepan risiko default dan pastinya bukan yang terakhir.

Kes penyelamatan (atau bailout) Wang Pingyan menjadikan mereka mengambil sikap sambil lewa, sehinggakan pihak berkepentingan berasakan mereka akan sentiasa diselamatkan oleh entiti tertentu.

Harus diingat kesan daripada krisis kewangan global 2008, paras hutang di China meningkat dari 130% menjadi lebih dari 200% daripada nilai KDNK hari ini. Walaupun pihak berkuasa China berusaha membanteras isu perbankan bayangan, masih banyak perlu dilakukan untuk mengawal isu tersebut.

Sungguhpun begitu, beberapa penganalisis berpendapat kebimbangan tentang isu ini dibesar-besarkan kerana ia berlandaskan kepada tanggapan bahawa produk-produk pelaburan lain juga berisiko akan default.

Apa menakutkan adalah, situasi yang berlaku di China sekarang mempunyai persamaan dengan industri kewangan Amerika Syarikat sebelum krisis kewangan 2008. Malaysia, secara
khususnya, akan terdedah dengan ancaman krisis ekonomi China. China merupakan rakan dagangan utama Malaysia, eksport ke China merangkumi lebih kurang 12.6 peratus dari jumlah eksport Malaysia pada 2012.

Apabila eksport menurun, jumlah produksi tempatan juga akan terjejas dan seterusnya berpotensi memberi kesan kepada kadar gaji serta kepada kitaran wang di pasaran.

Lebih membimbangkan, krisis hutang China juga berupaya jatuhkan ekonomi Asia Tenggara.

Malah, situasi tersebut boleh memberi implikasi besar kepada seluruh rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Tidakkah 2014 bawa kembali kenangan 2008? Atau 1997?