LEBIH setahun lalu selepas berulang kali digesa oleh rakan-rakan, akhirnya saya merakam dan melancarkan dokumentari 13 episod yang disiarkan sempena dengan PRU13.

Dalam masa tiga bulan, saya menemui dan menemu ramah rakyat Malaysia dari Kuala Kedah ke Kluang, dan dari Bau ke Keningau – menghabiskan masa bersama petani, nelayan, guru sekolah rendah, pesara kerajaan, bekas kaki judi dan juga peniaga.

Ia merupakan perjalanan yang menarik dan saya akan sentiasa berterima kasih kepada Astro Awani, Ralph Marshall dan Rozina Aziz di atas bantuan yang mereka berikan. Antara mereka yang ditemui sepanjang penggambaran adalah adik-beradik dari Keningau, Sabah.

Apabila berbicara tentang agama dan ajarannya, Sabah boleh dikatakan sebagai istimewa. Ketegangan yang dirasai di Semenanjung seakan hilang apabila kita merentasi Laut China Selatan – meskipun ramai rakyat Malaysia yang mahu menyemai benih perpecahan di Sabah (dan Sarawak), cuba menyamakan keadaan seperti di Semenanjung.

Mengenang kembali kisah keluarga Dakun – Father Francis Dakun merupakan seorang penganut Kristian manakala kakak beliau Ustazah Nooridah Hidayah Dakun pula adalah seorang Muslim.

Berasal dari keluarga Pagan, mereka memilih anutan agama yang berbeza. Walau bagaimanapun, kepercayaan mereka yang berbeza tidak pernah menggugat keharmonian keluarga tersebut.

Tatkala kontroversi berkaitan penggunaan kalimah ALLAH kian berlanjutan, elok kiranya kita melihat semula episod dokumentari saya di Keningau Ceritalah Malaysia Episode 6: Brother, Catholic priest & Sister, Sekolah Agama teacher, http://goo.gl/hLmeq1 dan artikel tentang perkara tersebut Sabah model harmoni antara agama, 12 Februari 2013, http://goo.gl/L10C5H. Saya turut berjumpa dengan Colette, seorang guru sekolah rendah dan anak-anak muridnya.

Kisah Father Francis dan Ustazah Hidayah perlu dijadikan iktibar buat semua rakyat Malaysia, terutamanya dari aspek persefahaman bersama. Mereka hidup bersama lebih dari sekadar toleransi. Kasih sayang antara mereka membatasi jurang perbezaan - sesuatu yang relevan untuk dikaitkan dengan kontroversi penggunaan kalimah ALLAH yang masih menjadi isu hangat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Saya telah menelefon mereka untuk mendapat sedikit pandangan.

Kata Father Francis: “Hubungan antara anda dan Tuhan adalah bersifat peribadi. Sekiranya kalimah ALLAH tidak disalahgunakan dan hanya untuk urusan peribadi, tidak harus timbul sebarang masalah”.

Ustazah Hidayah pula percaya konteks penggunaan kalimah tersebut wajar dipandang berat.

“Andai kita berkongsi makna ALLAH yang sama, yakni pencipta sekalian alam, maka tidak harus ada larangan buat semua untuk menggunakannya.”

Kontroversi tersebut tidak mengancam hubungan kekeluargaan mereka.

“Dalam keluarga kami, kami tahu bahawa setiap orang berniat baik. Kami memahami perbezaan pendapat dan kepercayaan,” jelas Father Francis.

Saya kagum bagaimana keluarga Dakun dan masyarakat Sabah secara amnya mampu hidup bersama dalam harmoni di sebalik apa yang berlaku di Semenanjung. Tetapi, apakah yang dapat dilakukan untuk menyelesaikan konflik tersebut?

Bagi Ustazah Hidayah, “Muslim dan Kristian tidak harus menyalahkan satu sama lain. Semua pihak harus duduk berbincang dan  mencapai persetujuan apakah makna sebenar kalimah ALLAH dan bila ia boleh digunakan”.

Beliau menambah, “Muslim tidak harus bertindak mengikut emosi. Kita harus menonjolkan keindahan Islam seperti yang diajarkan oleh Nabi sendiri. Orang lain akan menilai agama kita bersandarkan kepada perlakuan kita sendiri”.

Bagi Father Francis, “Isu ini tidak pernah timbul sebelum ini. Ia sebenarnya berpunca dari ketidaksefahaman antara kita, dan sesuatu boleh diselesaikan secara aman”.

Isu kalimah ALLAH harus ditangani secara berhemah.

Alangkah bagus jika rakyat Malaysia menganggap sesama sendiri seperti keluarga: kita menyayangi dan menerima mereka yang mengambil jalan lain daripada kita.

Apa yang lebih penting, ALLAH seharusnya menjadi kalimah yang menyatukan, bukan memecahkan kita semua.