ADA satu wajah menjadi teman setia Tukang Cerita sepanjang penggambaran program televisyen Ceritalah Malaysia: wajah seorang lelaki tua yang sentiasa tersenyum.

Berwarna merah dan putih “Kolonel Sanders”, ikon restoran yang terkenal dengan slogan lamanya ‘sedap hingga menjilat jari’ bukan sahaja menyediakan juadah enak tetapi restorannya juga menyediakan antara tandas terbersih di luar bandar.

Restoran Kentucky Fried Chicken (KFC) telah berkembang  pesat, terutama sepanjang sedekad ini di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak, dan kini terdapat lebih kurang 40 restoran KFC di Sarawak dan 50 lagi di Sabah. Ini jelas menunjukkan peningkatan permintaan di kawasan yang dahulunya kurang membangun.

Bukan hanya KFC, syarikat seperti The Store, Mydin, Ngiu Kee (rangkaian peruncit terkenal di Sabah dan Sarawak), Gulati’s dan farmasi Guardian juga telah melebarkan sayap mereka ke seluruh pelosok Malaysia kerana pendapatan isi rumah yang semakin meningkat di luar bandar.

Apabila mengetahui sebuah restoran KFC akan dibuka di Bau, Sarawak, saya terus terfikir untuk menemu bual dua pekerja mereka untuk episod Ceritalah Malaysia. Bau, sebuah pekan kecil berjarak 29km dari Kuching - pusat kaum Bidayuh yang dahulunya kaya dengan emas sehingga menarik Keluarga Brooke ke Borneo.
 
Ketika penggambaran, saya sempat meluangkan masa dengan dua gadis Bidayuh, Mo Lin dan Abby untuk memahami kesan terhadap kehidupan mereka berikutan peningkatan peluang pekerjaan sektor perkhidmatan di Bau dengan gaji yang menarik. Antara yang jelas, mereka tidak lagi perlu berpindah ke Kuching semata-mata untuk mencari kerja.

Datuk Zaki Zahid, teman lama yang kini meneraju KFC menerangkan: "Peningkatan pendapatan di luar Lembah Klang telah membuka peluang yang besar kepada syarikat-syarikat seperti KFC. Mengekalkan harga pada kadar berpatutan, KFC dapat menarik lebih ramai pelanggan."

Jelas sekali, penduduk Bau dan mereka di luar bandar kini menikmati kesan positif daripada lonjakan harga komoditi dan peningkatan pendapatan penjawat awam.

Tetapi penurunan harga minyak sawit, dari hampir RM3,300 setan setahun lalu ke RM2,500 kini, semestinya memberi impak negatif. Namun dengan struktur kos yang rendah, kebanyakan pengusaha kecil masih dapat kaut keuntungan.

Seperti kata Isaac Lee, seorang peladang muda dari Kluang (destinasi penggambaran seterusnya), “Kos tetap untuk kebanyakan pengusaha kecil adalah dalam RM300 setan metrik (jumlah hasil sebulan dengan satu ekar). Oleh itu, mereka masih dapat meraih keuntungan RM180 setiap ekar walaupun harga minyak sawit merudum’’

Banyak perusahaan kini sedang menggarap peluang yang muncul akibat perubahan corak perbelanjaan isi rumah di Malaysia.

Jika dahulunya, persaingan hanya tertumpu di dalam Lembah Klang dan bandar seperti Georgetown kini ia sudah berkembang ke pekan-pekan seperti Temerloh dan Kuala Kangsar. Ketika penduduk bandar dihimpit harga kos yang meruncing, penduduk luar bandar masih mampu menikmati limpahan pembangunan.

Sementara itu, pelaburan berterusan dalam infrastruktur yang dipacu oleh kerajaan seperti pembinaan lebuh raya dan pelabuhan telah menurunkan kos logistik dan memantapkan rantaian bekalan untuk pekan-pekan kecil di luar bandar. Pengurangan kos ini sekali gus menguntungkan syarikat seperti Mydin Stores dan KFC.

Datuk Ameer Mydin, peneraju Mydin Stores dengan jujur berkata, "Dengan infrastruktur lebih baik, kami dapat mengatasi hambatan rantai bekalan. Bukan itu sahaja, pengguna-pengguna di luar Lembah Klang lebih setia dan boleh diharapkan."

Pelan beliau jelas menunjukkan peluang yang ada di luar Lembah Klang. Contohnya di Gong Badak, Kuala Terengganu, Mydin Stores sedang merangka kompleks bersaiz 250,000 kaki persegi, membesarkannya dari 150,000 kaki persegi.

Begitu juga di Kota Baru, tempat asal Mydin Stores sejak 1957. Mereka baru dapatkan tanah bersaiz 18 ekar di Tunjung untuk membina sebuah gedung bersaiz 650,000 kaki persegi.

Semua ini jelas menunjukkan  nikmat yang diperolehi Mo Lin dan Abby, jauh di Bau juga baik untuk anak-anak muda di luar Lembah Klang. Mereka kini dapat menikmati sesuatu yang telah lama dinikmati teman mereka di Kuala Lumpur, iaitu kepelbagaian pilihan untuk pengguna.

Satu lagi perkara menarik, di Bau, dengan penduduk 30,000, gedung Ngiu Kee tampak lebih sepi, walhal pesaingnya, Ming Ming begitu sibuk dengan pelanggan. Ini menunjukkan perniagaan tempatan masih mampu berjaya tatkala persaingan kian meningkat. Mungkin 10 tahun akan datang, saya berkesempatan menulis tentang Ming Ming di seluruh Malaysia?