KUALA Lumpur bukan satu-satunya bandar raya yang bergelut dengan isu kesesakan trafik. Masalah ini turut dialami Jakarta, di mana pada kebanyakan hari, ibu kota Indonesia itu boleh diibaratkan seperti tempat letak kereta bergerak.

Masalah 'macet' di Jakarta menyebabkan kerugian tahunan anggaran USD3 bilion (RM9.7 bilion) dan ia dijangka meningkat dengan terlaksananya polisi Kenderaan Hijau Berkos Rendah yang dilancarkan kerajaan pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Hal ini kerana pelaksanaan polisi itu tidak diiringi usaha meningkatkan sistem pengangkutan awam di Jakarta.

Keadaan trafik di kota itu akan menjadi lebih teruk pada musim hujan. Namun, jika diambil kira jumlah penduduk di kawasan ‘Jabodetabek’ (merangkumi Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi) lebih 26 juta orang, memang ia bukanlah tugas mudah bagi pemerintah untuk menyelaraskan sistem pengangkutan di kota.

Tambahan pula, kurangnya penyelarasan pengurusan sistem pengangkutan antara kerajaan pusat, kerajaan tempatan dan penguat kuasa lain, menyukarkan lagi usaha menangani isu kesesakan trafik di Jakarta.

Bagaimanapun, Gabenor Jakarta yang terkenal dengan panggilan Jokowi (atau nama sebenarnya Joko Widodo) telah menjanjikan beberapa inisiatif bagi menangani masalah ini.

Mampukah beliau memenuhi hasrat tersebut? Adakah masalah trafik itu dapat diatasi setelah beroperasinya sistem pengangkutan monorel pada 2017 dan MRT pada 2018?

Bukankah dengan peningkatan jumlah kereta dan motosikal 11.26 peratus setiap tahun akan memudaratkan lagi kesibukan trafik Jakarta pada masa itu?
 
Apa yang pasti, masalah trafik di Jakarta ini tidak hanya menjadi tanggungjawab Jokowi sepenuhnya. Kurangnya pelaburan dan sikap leka pentadbiran Jakarta sebelumnya telah menyebabkan masalah kesesakan trafik di Jakarta.

Kini, Jokowi harus mencari ikhtiar bagi menangani masalah tersebut jika berhasrat untuk terus maju dalam kerjaya politiknya. Terdapat kebimbangan usaha Jokowi untuk menyelesaikan masalah trafik termasuk pembangunan sistem monorel dan MRT, akan hanya memudaratkan keadaan dalam jangka masa pendek.

Sesetengah pihak tertanyatanya jika bandar-bandar di Indonesia perlukan projek pengangkutan awam ringan seperti monorel dan MRT.

Namun, tak siapa dapat menafikan kedua-dua projek tersebut dapat membantu menangani masalah trafik di Jakarta. Contohnya, projek monorel Jakarta dianggarkan 40,000 hingga 80,000 penumpang dibawa pada setiap jam.

Untuk perancangan jangka masa singkat, Jokowi menjanjikan peningkatan penyediaan perkhidmatan bas Trans-Jakarta dalam masa setahun. Sistem pengangkutan bas awam ini dilaksanakan mengikut sistem yang dijalankan di Curitiba, Brazil, iaitu kemudahan laluan khas bagi bas awam tersebut.

Namun, pelaburan bagi perkhidmatan bas Trans-Jakarta masih lagi rendah. Jokowi menyatakan sebanyak 400 bas awam baru disediakan pada Disember ini, dan tambahan 1,000 bas pada akhir 2014.

Penambahan ini diharap dapat menyingkatkan masa tunggu penduduk di kawasan yang kurang dilalui, Kampung Rambutan- Kampung Melayu dan Ragunan- Latuharhari.

Dengan meningkatnya kualiti perkhidmatan sistem bas Trans-Jakarta, ia akan lebih menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan penduduk Jakarta dan seterusnya memudahkan pelaksanaan Sistem Elektronik Kadar Jalan (ERP) di ibu kota.

Perkhidmatan kereta api di Jakarta juga perlu diberi perhatian. Mampukah frekuensi perjalanan dan kualiti perkhidmatan kereta api di laluan utama seperti di Depok, Bogor, Tangerang serta BSD ditingkatkan? Bagaimana pula dengan pembangunan landasan kereta api dari Dukuh Atas (berdekatan dengan bulatan di Hotel Indonesia) ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta?

Hakikatnya, meskipun Jakarta sangat memerlukan sistem pengangkutan awam lebih bagus, masyarakat harus berkorban sebelum mampu menikmati perubahan.

Justeru, apakah pengajaran yang dapat diambil dari Jakarta, yang merupakan nadi kepada Indonesia? Pertama, penyelesaian bagi masalah sebegini memerlukan keazaman politik.

Kedua (terkait dengan yang pertama), kerajaan harus berani membuat keputusan dalam usaha mengatasi kesesakan trafik di Kuala Lumpur agar tidak menjadi lebih parah.

Ketiga, sistem pengangkutan awam yang efektif dan menyeluruh hanya akan dapat dibangunkan menerusi penyelarasan antara kerajaan di setiap peringkat dan kesemua jenis sistem pengangkutan.

Seandainya gagal mengambil iktibar daripada Jakarta, kita mungkin akan berada dalam keadaan yang sama dalam masa akan datang.