TIDAK dinafikan media sosial sesuatu yang menyeronokkan. Namun bagi Jeane Napoles, seorang wanita Filipina muda dan menawan, menetap di Selatan California, telah menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan penduduk di negara asalnya apabila beliau sering mempamerkan cara hidup mewah beliau di media sosial seperti Tumblr, Instagram dan Facebook.

Hal ini telah membuat warga netizen mula berasa curiga akan sumber kemewahan tersebut dan mereka mula menyiasat kebenaran di sebaliknya. Akhirnya, mereka mendapati bahawa kehidupan mewah Jeane bukanlah berasal dari sumber yang sah.

Media Filipina berjaya mendedahkan kontroversi kekayaan ibu Jeane, Janet Lim Napoles seorang ahli perniagaan, dikaitkan dengan penyelewengan dana kerajaan Filipina bernilai lebih PHP10 bilion (atau lebih kurang MYR746 juta).

Ini telah mencalarkan imej Jeane sebagai seorang gadis yang mulanya hidup dalam serba kemewahan bertukar menjadi seorang yang dibenci ramai.

Ini sudah cukup untuk menjadi pengajaran kepada anak-anak elit tanah air supaya mereka tidak sewenang-wenangnya mendedahkan kemewahan hidup keluarga yang sumbernya mempunyai unsur-tidak telus.

Penyelewengan oleh Janet Napoles (dikenali sebagai ‘penipuan daging khinzir’) dapat disimpulkan seperti berikut: Janet telah memperkenalkan beberapa projek dan organisasi bukan kerajaan palsu bertujuan menyeleweng dana ditubuhkan mantan Presiden Cory Aquino pada tahun 1990. Dana kerajaan diperuntukkan bagi memberi ruang kepada ahli Kongres dan Senat untuk mendanai projek-projek infrastruktur berskala kecil.

Janet dipercayai menjalankan penyelewengan tersebut dengan bantuan beberapa wakil rakyat, seterusnya mengagihkan keuntungan sesama mereka.

Kesemua yang disyaki terlibat, termasuk anak lelaki kepada mantan Presiden Marcos dan Presiden Estrada, menafikan penglibatan mereka.

Filipina punya sejarah buruk apabila pemimpin-pemimpin mereka ramai disabitkan kes penyelewengan, termasuk Ferdinand Marcos dan Gloria Macapagal Arroyo.

Pada 2004, sebanyak PHP728 juta (MYR54 juta) daripada dana Fertilizer Fund didakwa disalahgunakan ke dalam dana pilihan raya Arroyo.

Kisah Janet Napoles menjadi contoh terbaik bagi kes penyelewengan yang berlaku dalam arena politik di Filipina. Media sosial mampu mendedahkan kisah-kisah penyelewengan tersebut.

Namun, sistem pentadbiran dan pemantauan dana-dana kerajaan di Filipina masih terlalu sukar dan hal yang sama turut dialami Indonesia.

Di Indonesia, beberapa menteri dan ahli Parlimen telah diheret ke mahkamah atas dakwaan penyelewengan dana bagi pembinaan pusat sukan Hambalang di Jawa Barat yang menelan belanja berlebihan sebanyak IDR463.66 bilion (atau MYR129 juta).

Apa yang menarik, kontroversi Janet Napoles kini berlaku seiring penganjuran Anugerah Magsaysay oleh Yayasan Ramon Magsaysay.

Anugerah Magsaysay, yang turut dikenali “Hadiah Nobel Asia”, mendapat namanya sempena memperingati mantan Presiden Filipina ketiga - Ramon Magsaysay. Anugerah tersebut mengiktiraf  individu dan organisasi yang menunjukkan teladan kepimpinan  mulia, serta mendedikasikan hidup mereka untuk memperbaiki kehidupan penduduk rantau Asia.

Pada tahun ini, tidak mengejutkan apabila Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia berjaya memenangi salah satu Anugerah Magsaysay.

Anugerah itu mengiktiraf kuasa KPK yang merangkumi tugasan menyiasat, mendakwa, pencegahan dan penyelarasan dengan agensi pencegahan rasuah  lain. KPK ada kuasa untuk pemeriksaan dan rampasan, pembekuan aset serta mengenakan sekatan perjalanan kepada mana-mana individu dan agensi kerajaan atau swasta tanpa perlu mendapatkan persetujuan mahkamah terlebih dahulu.

Contohnya, KPK kini sedang menyiasat bekas pemimpin Parti Demokratik Indonesia, Anas Urbaningrum serta bekas Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Andi Mallarangeng. Kedua-dua mereka pemimpin politik yang ada kaitan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Sebagai tambahan, Anugerah Magsaysay turut mengiktiraf kejayaan KPK dalam merekod 100% kadar sabitan mahkamah dari keseluruhan 169 kes rasuah yang difailkan KPK di mahkamah. Lanjutan daripada ini, mereka berjaya mengembalikan aset kerajaan berjumlah IDR805.6 bilion (MYR239 juta).

Seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini, Filipina dan Malaysia boleh mendapat manfaat yang sama jika terdapat suatu institusi pembanteras rasuah seperti KPK.

Dengan adanya institusi bebas seperti KPK, pegawai-pegawai yang korup tidak dapat lari daripada ditangkap, didakwa dan dimasukkan ke dalam penjara.