INDIA berada di suatu ambang transformasi berskala besar. Pelantikan Narendra Modi sebagai Perdana Menteri India yang baharu dijangka mengubah pola politik di rantau Asia dan juga di peringkat global.

Pemimpin berusia 63 tahun tersebut kini mendapat mandat untuk memimpin India yang mempunyai populasi seramai 1.2 bilion orang. Bagaimana beliau mentadbir, akan memberikan impak besar kepada seluruh rakyat.

Pakatan Demokratik Kebangsaan (NDA) yang diketuai parti pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP), berjaya memenangi 336 dari 543 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Parti BJP sendiri mencatat sejarah memenangi majoriti mutlak 282 kerusi Parlimen. Ini tidak pernah berlaku sejak 1984 dan ia suatu pencapaian luar biasa bagi mantan Ketua Menteri Gujarat yang dahulunya hanya seorang penjual teh.
Kemenangan tersebut walau bagaimanapun turut menimbulkan keresahan bagi sesetengah pihak.

Golongan sekularis dan penganut agama minoriti masih berasa curiga akan peranan Modi dalam rusuhan berdarah anti-Muslim di Gujarat pada 2002.

Namun, Modi berjaya mengatasi kekurangan tersebut dan bagaimana beliau melakukannya boleh dijadikan pengajaran baik untuk ahli-ahli politik di serata dunia.

Pertama: aspek ekonomi perlu diberi penekanan utama. Modi mengetepikan segala retorik nasionalisme (atau Hindutva) selama menjalankan kempen beliau. Sebaliknya, mengetengahkan isu kritikal seperti peluang pekerjaan, pembasmian rasuah dan penambahbaikan infrastruktur negara. Misalnya, beliau menekankan bahawa India perlu membina lebih banyak tandas, bukan kuil.

Para pengundi, terutamanya 10 juta golongan muda yang baharu memasuki dunia pekerjaan setiap tahun yakin dengan kemampuan Modi. Apatah lagi beliau memiliki rekod pencapaian cemerlang semasa memimpin Gujarat, purata perkembangan ekonomi di sana mencecah 10% pada 2004 hingga 2012.

Disebabkan keberkesanan pemerintahan Modi di Gujarat, golongan petani dan buruh bersama-sama jutawan seperti Mukesh Ambani serta ahli akademik, Jagdish Bhagwati telah memberikan sokongan padu kepada Modi.

Kedua: anda perlu bekerja keras. Modi memiliki jadual sangat padat sepanjang kempen, beliau hadir ke ceramah-ceramah berbeza di sekitar 5,800 lokasi.

Modi turut memanfaatkan kemudahan teknologi secara meluas termasuk ceramah berkonsepkan 3D, di mana hologram yang memaparkan imej beliau sedang berucap ditayangkan di 1,350 lokasi berbeza.

Ketiga: disiplin, disiplin, disiplin. Semasa Parti Kongres menerajui pemerintahan India, ia kurang jelas siapa benar-benar berkuasa: adakah Manmohan Singh, Sonia Gandhi atau Rahul Gandhi?

Di bawah kerajaan pimpinan BJP, tiada siapa dapat menyangkal bahawa Modi akan memegang tampuk pemerintahan sepenuhnya. Malah, beliau telah menarik hati pengundi apabila mengumumkan secara terbuka bahawa pelantikan menteri Kabinet akan berdasarkan pada merit, dan bukan pada jaringan politik.

Tiada siapa termasuk pesaing politik dalam BJP boleh meragui semangat nasionalisme Hindu Modi. Malah, Modi menunjukkan beliau memiliki keazaman untuk mengutamakan aspek pembangunan negara, mengatasi kepentingan politik.

Selain itu, Parti Aam Aadmi (atau Common Party) pimpinan Arvind Kejriwal gagal menghasilkan kesan mendalam semasa pilihan raya umum 2014, walaupun digemari media.

Apa yang nyata, pengundi lebih cenderung untuk memilih parti-parti arus perdana semasa pilihan raya umum tersebut. Tambahan pula, tindakan-tindakan kurang bijak Arvind, termasuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Delhi hanya dalam masa kurang dua bulan selepas dilantik telah menjejaskan reputasi parti Aam Aadmi.

Kombinasi setiap aspek yang disebutkan di atas, penekanan pada ekonomi, kerja keras dan disiplin telah menghasilkan suatu pencapaian luar biasa yang dulunya dianggap mustahil di India.Modi kini mempunyai peluang untuk menerajui India mengikut acuan yang beliau rasakan terbaik walaupun masih ada kebimbangan bahawa keharmonian masyarakat majmuk di India akan terjejas di bawah pemerintahan Modi.

Seperti disebutkan Vinod K Jose, editor eksekutif Majalah Caravan: “Gerakan sayap kanan Hindu mempunyai calon yang terbaik sepanjang 90 tahun sejarahnya menerusi Narendra Modi. Pencapaian Modi cukup menakjubkan hingga memberi peluang kepada beliau untuk memilih sendiri haluan yang terbaik buat India. Saya berharap Modi tidak akan menjejaskan sifat sekular masyarakat India, dan memelihara jaminan kesejahteraan untuk setiap lapisan masyarakat seperti tertulis dalam Perlembagaan.”

* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah