MENJELANG Pilihan Raya Kecil Kajang yang akan datang, fokus Barisan Nasional (BN) akan beralih kembali kepada pengundi bandar di Malaysia.

Pada pilihan raya 5 Mei tahun lepas, pengundi bandar sekali lagi menggagalkan perancangan rapi BN.

Walaupun pada awalnya Umno sangat mengharapkan kemenangan di Selangor, namun terpaksa akur dengan kejayaan Pakatan Rakyat yang menambah daripada 16 kerusi Dun (2008) kepada 32 kerusi.

Ternyata ramai golongan elit pemerintah sekali lagi gagal memahami perubahan sentimen pengundi.

Untuk fahami perkembangan politik negara, saya menyarankan anda membaca komentar hasil tulisan teman baik saya, Pankaj Mishra, bertajuk Urban Villagers Are Asia’s New Force, yang diterbitkan di Bloomberg Views baru-baru ini.

Walaupun Pankaj menumpukan perkembangan politik di India dan Indonesia secara khususnya, hujahnya turut relevan bagi politik di Malaysia. Menurut  Pankaj: penduduk kawasan luar bandar mengubah pola politik di kawasan bandar, dan melahirkan sebuah demografik baru. Pankaj menggelarkan mereka sebagai 'penduduk kampung di bandar' (atau urban villagers).

Pada 2012, hampir 1.96 bilion penduduk atau 46 peratus daripada jumlah populasi masyarakat Asia tinggal di kawasan bandar – suatu peningkatan ketara berbanding hanya 40 peratus pada 2002.

Mereka ingin mengejar peluang pekerjaan dan pelajaran di bandar selain bertemu kembali dengan ahli keluarga. Apa jua alasan, kehidupan bandar mengubah persepsi politik mereka.

Jika mereka masih tinggal di kampung, kesetiaan dan fahaman politik mereka mungkin ditentukan agama dan suku etnik setempat, atau mungkin dipengaruhi pemilik tanah atau power broker setempat.

Bagaimanapun, setelah penduduk luar bandar keluar dari batas perkampungan atau ikatan feudal mereka, pemikiran mereka juga berubah. Malah, hal ini memberi kesan kepada pola undian hingga menyaksikan kemerosotan sokongan kepada Umno di kawasan bandar.

Malah, peningkatan taraf hidup dan kemajuan teknologi komunikasi  membuka ruang bagi golongan ini untuk berhubung dengan keluarga di kampung halaman dan seterusnya mempengaruhi pilihan undian mereka di sana. Hal ini sekali gus menjejaskan sokongan kepada Umno di kawasan luar bandar.

Selepas mengharungi pahit getir kehidupan di bandar dan melihat jurang ketara antara golongan kaya dan miskin, ramai pengundi sudah mula mempunyai persepsi berbeza terhadap masyarakat.

Malah mereka mula menyedari diketepikan dan dilupakan sementara keraguan terhadap pemimpin negara memuncak.

Pengundi bandar inginkan pentadbiran bertanggungjawab dan telus kerana kesemua faktor ini dapat menjurus kepada sistem persekolahan dan perumahan bagus dan seterusnya menjamin masa depan yang lebih baik.

Pada dasarnya, selepas mereka dipisahkan daripada kehidupan di kampung, wakil rakyat dianggap penyedia perkhidmatan semata-mata (seperti operator telefon) di mana pencapaian prestasi adalah perkara utama diambil kira, dan hal ini benar terutamanya bagi golongan muda.

Pankaj menulis tentang Arvind Kejriwal, bekas jurutera yang menceburi bidang politik dari Parti “Rakyat Biasa”. Kejriwal dilantik menjadi Ketua Menteri New Delhi selepas menewaskan penyandangnya dari Parti Kongres. Parti Rakyat Biasa kini mempunyai 10 juta ahli dan merancang untuk meletakkan sekurang-kurangnya 73 calon parlimen pada Pilihan Raya Umum India akan datang.

Sokongan diraih Kejriwal dan partinya dapat dikaitkan dengan kemarahan masyarakat terhadap kelemahan pentadbiran Parti Kongres yang lepas – kronologi situasi yang hampir sama berlaku di Jakarta pada September 2012 yang membawa Joko Widodo memenangi kerusi Gabenor Jakarta.

Perubahan bukan lagi suatu pantang larang politik – ketika Asia terus membangun, hanya pemimpin yang menunjukkan prestasi cemerlang akan mendapat habuan. Hal ini perlu diterapkan supaya ahli politik akan terus berusaha memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bagi kita di Malaysia, ini adalah sesuatu yang baik. Perubahan adalah suatu yang tidak dapat dielakkan dan bagi Umno secara khususnya, mereka perlu berubah jika mahu memenangi kembali sokongan pengundi di bandar.