SAYA masih ingat, lima tahun lepas, saya pernah bertanya kepada Bima Arya, seorang penganalisis politik dari Indonesia, tentang apakah impian beliau. Pada ketika itu, kami berada di pejabat beliau di Jakarta, yang berkelengkapan teknologi canggih untuk memantau arus perkembangan politik terkini.

Jawapan beliau mengejutkan saya: “Saya cuma mahu menjadi Datuk Bandar di tempat asal saya, Bogor.”

Menariknya, beberapa minggu lepas, Bima berjaya mengecapi impian beliau apabila memenangi pemilihan Datuk Bandar Bogor, biarpun dengan majoriti tipis. Bandar Bogor, terletak di Selatan Jakarta, termasuk dalam kawasan dikenali sebagai ‘Jabodetabek’, yang merangkumi Tangerang, Depok dan Bekasi, dengan jumlah populasi sekitar 28 juta orang.

Proses pemilihan datuk bandar sebelum ini dilakukan secara pelantikan terus oleh pemerintahan pusat, tetapi kini dilakukan melalui pilihan raya. Di bawah polisi pembahagian kuasa pusat atau dikenali sistem desentralisasi yang diamalkan di Indonesia kini. Datuk bandar seperti Bima mendapat mandat besar untuk mentadbir urus pemerintahan beliau. Hal ini termasuk urus tadbir pendapatan daerah serta pembentukan polisi.

Walau demikian, segelintir pemimpin tempatan gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya. Mereka menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri. Ini dapat dilihat dari konflik besar melanda Banten, sebuah kota tidak jauh dari Bogor, di mana ahli keluarga gabenornya dituduh cuba merasuah seorang pegawai atasan majlis kehakiman serta menyalahgunakan sejumlah besar dana pembangunan daerah.

Namun, secara keseluruhan, sistem desentralisasi telah menunjukkan hasil positif kepada Indonesia. Ia bukan saja memberi peluang kepada rakyat di setiap pelosok daerah bersuara menentukan urusan pentadbiran, malah peluang kepada individu berkarisma seperti Bima untuk buktikan kemampuan beliau.

Bogor mempunyai daya tarikan tersendiri. Sewaktu zaman penjajahan Belanda, Bogor dikenali sebagai Buitenzorg, menjadi tempat percutian para gabenor jeneral dari India-Timur Belanda semasa musim panas. Malah ia kini menjadi salah satu lokasi bagi istana presiden serta lokasi bagi salah satu taman botani terkenal di dunia.

Namun demikian, bagi Bima, Bogor kini hanya menjadi bahan senda ramai pihak jika dibandingkan tahun 1980-an. Bogor dahulunya sebuah bandar paling bersih di Indonesia dan menjadi destinasi pelancongan utama. Malah bandar ini pernah menjadi hos bagi sidang kemuncak APEC pada 1994.

Bima bijak dalam mengkaji arus perkembangan politik semasa dan beliau sedar akan kepentingan memberikan perkhidmatan kerajaan yang terbaik kepada rakyat.

Dalam hal ini, Bima merancang untuk melakukan penjenamaan semula Bogor dengan mengumpulkan ahli akademik dan badan bukan kerajaan bagi mengkaji semula perundangan bandar serta merangka pelan pembangunan jangka panjang.

Jika kita teliti, perancangan Bima ada kaitan dengan situasi di negara kita. Bandar-bandar utama di Malaysia sentiasa menjadi topik hangat dalam arena politik nasional. Biarpun Pakatan Rakyat menguasai kebanyakan bandar-bandar utama ini, Barisan Nasional tidak boleh berputus asa dalam memenangi semula hati pengundi-pengundi di bandar.

Saya berpendapat, kunci utama untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi di bandar adalah dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Seperti saya pernah tegaskan sebelum ini, Malaysia perlu melaksanakan proses pemilihan datuk bandar dan pegawai daerah menerusi pilihan raya. Dengan ini, para pentadbir kerajaan tempatan akan bertanggungjawab secara langsung ke atas kawasan di bawah kelolaan mereka.

Proses pelantikan terus yang diamalkan kini menyebabkan mereka kurang mendekati dan mendalami masalah masyarakat setempat. Pemilihan menerusi pilihan raya juga bermakna rakyat boleh singkir pegawai-pegawai pemerintahan yang korup atau tidak menunjukkan prestasi baik.

Dengan adanya seorang datuk bandar baru yang bertenaga dan bercita-cita tinggi, Bogor kini dilihat berada di ambang transformasi, baik dari aspek pengangkutan awam, kemudahan infrastruktur dan sebagainya. Namun jika Bima dilihat gagal dalam tugasannya, penduduk Bogor mempunyai kuasa menamatkan perkhidmatan beliau pada pemilihan berikutnya.

Ironinya, kita memerlukan lebih pemerkasaan politik dalam kehidupan, terutamanya dalam pemilihan pegawai pentadbir kerajaan tempatan. Ini sangat penting demi meningkatkan taraf perkhidmatan kerajaan kepada seluruh rakyat.