INDONESIA bakal memilih wakil rakyat atau ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) esok- 9 April.

Seperti pernah saya katakan sebelum ini, saya tertanya-tanya bagaimana proses kempen yang telah berakhir Sabtu lalu begitu suram dan hambar. Kini, mungkin saya sudah menemui jawapannya.

Semasa saya mula-mula menulis tentang Indonesia, saya amat tertarik dengan segala yang berlaku di DPR: melihat perkembangan parti-parti berbeza, personaliti, dan beberapa peristiwa menarik yang lain.

Namun kesemua ini telah berubah sejak lima tahun lalu apabila salah seorang wakil rakyat memberitahu saya yang beliau mahu menjadi “kaya, sangat kaya dalam tempoh yang singkat.”

Ternyata, kenyataan sebegitu merencatkan minat saya hingga membuat saya berfikir: adakah saya telah membuang masa selama ini dengan menemu bual ahli-ahli DPR – yang kebanyakannya seperti terpisah jauh dengan realiti masyarakat biasa?

Pada masa sama, sewaktu membelek majalah Tempo, saya tertarik membaca kompilasi barisan kepimpinan terbaik di peringkat daerah serata Indonesia –  yang terdiri daripada Gabenor, Ketua Daerah dan Datuk Bandar.

Tertarik dengan bagaimana nama pemimpin-pemimpin di peringkat daerah ini semakin mendapat tempat di hati masyarakat, saya mengambil inisiatif untuk bertemu mereka.

Sejurus itu, saya serta-merta menyedari bahawa dengan meningkatnya kuasa autonomi daerah- undang-undang autonomi daerah dan pilihan raya peringkat kerajaan setempat diluluskan pada 2004 – pemimpin-pemimpin di peringkat daerah semakin  diperkasakan.

Konsep pembahagian kuasa yang diamalkan di Indonesia telah memberi pemimpin-pemimpin di peringkat daerah kebebasan atau fleksibiliti untuk mentadbir dan mengurus kerajaan tempatan, sama ada dalam aspek kesihatan atau pendidikan.

Selaku pemimpin utama dalam sistem pentadbiran daerah, mereka semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan memiliki pengaruh kuasa yang agak tinggi di kawasan mereka.

Saya masih ingat pengalaman sewaktu menjelajah ke Sumatera Barat pada 2006 bersama-sama dengan Gabenor yang baharu dilantik ketika itu, Gamawan Fauzi.

Beliau kini memegang jawatan Menteri Dalam Negeri dan pernah memenangi anugerah anti-rasuah Bung Hatta Indonesia.

Dahulu, Gamawan sentiasa mendapat perhatian rakyat dan dilayan seperti seorang artis di mana-mana sahaja beliau pergi.

Seterusnya, dengan sokongan penuh daripada Jawa Pos Group yang berada di bawah kelolaan Dahlan Iskan, saya telah mengembara ke pelbagai kota dan daerah untuk bertemu ketua-ketua daerah dan pemimpin tempatan.

Meskipun saya mengagumi kepimpinan mereka secara umumnya, tidak dapat dinafikan bahawa di kebanyakan kawasan yang lebih terpencil, pemimpin-pemimpin tempatan kadangkala telah menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah.

Pada masa sama, segelintir pemimpin tempatan yang berkaliber, seperti bekas Datuk Bandar Yogyakarta, Herry Zudianto, terpaksa menyaksikan kerjaya politik mereka ditamatkan oleh calon yang kurang berkaliber.

Secara amnya, pemimpin yang lebih baik boleh ditemui di bandar atau kawasan di mana wujudnya kumpulan aktivis masyarakat yang sentiasa memerhati dan mempersoal tindakan pemimpin mereka.

Semakin saya jauh mengembara mengelilingi daerah sekeliling Indonesia dan bertanya tentang wakil rakyat mereka, saya dapat simpulkan bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap ahli DPR.

Fokus mereka lebih kepada pemimpin tempatan. Ini secara tidak langsung menjawab persoalan mengapa ramai yang kurang berminat untuk turut serta dalam pilihan raya tahun ini.

Hakikatnya, pemimpin tempatan lebih penting kepada masyarakat biasa berbanding apa yang berlaku di Jakarta.

Sepertimana seorang tukang becak di Probolinggo, Jawa Timur pernah berkata kepada saya: “Kami tidak mengambil peduli tentang DPR lagi. Ketua Daerah orang yang lebih penting – kerana dia mampu mengubah hidup kami.”

Di sebalik pelbagai cadangan untuk memajukan sistem politik di Malaysia, mungkin jawapannya terdapat di Indonesia – iaitu pemerkasaan sistem kerajaan tempatan.

Daripada kita terlalu mengambil peduli tentang apa yang berlaku di Dewan Rakyat atau Dewan Negeri – mungkin kita sewajarnya menuntut pilihan raya bagi datuk bandar dan kerajaan tempatan.

Sememangnya, sistem kerajaan tempatan yang dipilih- di kebanyakan tempat – telah mendatangkan banyak kebaikan kepada jiran serantau kita.