INDONESIA, dengan penduduk seramai 250 juta – selaku negara demokrasi Islam yang terbesar di dunia – telah melangsungkan pilihan raya legislatifnya minggu ini.

Berdasarkan unjuran tidak rasmi oleh Kompas, sekitar lewat petang 9 April, parti pembangkang utama, PDI-P telah memperolehi sejumlah 19.67% daripada undi popular untuk Dewan Perwakilan Rakyat.

Unjuran tersebut sedikit kurang daripada 25% undi popular diperlukan untuk mencalonkan terus Gabenor Jakarta, Joko Widodo (Jokowi) bagi pilihan raya presiden yang mendatang.

Namun, ini merupakan satu keputusan positif buat parti tersebut dan keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan paling awal pada 7 Mei.

Pada tahun 1999, selepas kejatuhan Suharto, PDI-P menang 33.74% undi. Pemimpin utamanya, Megawati Soekarnoputri telah dilantik sebagai naib presiden sebelum mengambil alih jawatan presiden pada tahun 2001.

Bagaimanapun, Megawati dan partinya mengalami kekalahan teruk pada pemilihan umum 2004 dan 2009, di mana mereka cuma meraih 18.53% dan 14.03% dalam pemilihan tersebut. Populariti ‘rock-star’ Jokowi telah menunjangi kebangkitan semula PDI-P.

Jokowi berjaya menggoncang landskap politik Indonesia dengan cara pemerintahan yang mementingkan hasil dan mesra rakyat. Keputusan ini menunjukkan bahawa rakyat Indonesia mendambakan perubahan.

Tempoh 10 tahun di bawah Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) telah menyaksikan pertumbuhan ekonomi  memberangsangkan, tetapi dibebani oleh masalah rasuah, kelumpuhan dasar dan kekurangan pembangunan infrastruktur.

Bersandarkan keputusan pemilihan legislatif kali ini, kemenangan mutlak buat Jokowi masih belum pasti. Beliau bakal berdepan cabaran sengit di pemilihan presiden yang mendatang – terutamanya dari bekas Jeneral kontroversi, Prabowo Subianto dari Gerindra dan calon Golkar, Aburizal Bakrie yang dahulunya ahli perniagaan berjaya.

Sememangnya, terdapat kebimbangan bahawa sentimen nasionalis PDI-P mungkin akan membantutkan reformasi, menakutkan pelabur dan sekaligus menjadikan Indonesia lebih terdedah kepada keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Cabaran terbesar yang menanti PDI-P adalah bagi menubuhkan pakatan politik, yang sekaligus akan menentukan calon naib presiden yang bakal mendampingi Jokowi.

Menjadi satu persoalan sama ada Jokowi mampu menarik sokongan kumpulan pengundi Muslim konservatif, wilayah Timur Indonesia dan angkatan tentera Indonesia yang berpengaruh.

Ini adalah golongan pengundi yang mungkin berpihak kepada Prabowo atau Bakrie. Oleh itu, calon bagi mengisi tiket naib presiden haruslah seseorang yang memiliki pengalaman dan pengaruh untuk menutup kelemahan beliau.

Sememangnya, pucuk pimpinan PDI-P pasti mempunyai pilihan sendiri, namun kriteria paling penting adalah individu yang bakal mengisi jawatan tersebut haruslah membantu Jokowi memenangi pilihan raya presiden dan membantu beliau dalam pentadbiran.

Mereka harus mengambil iktibar daripada kegagalan “Sekretariat Gabungan” (atau Setgab) koalisi yang dipimpin Parti Demokrat dalam memerintah Indonesia. Pergolakan dalaman Setgab telah meruntuhkan reputasi SBY dalam tempoh pemerintahan 5 tahun terakhirnya.

Setelah sekian lama menjadi pembangkang, PDI-P mungkin cenderung memberi ganjaran kepada mereka yang setia bersama parti, menghukum musuh politik dan menjalankan dasar yang selari dengan ideologi politik mereka.

Namun, keputusan pilihan raya legislatif membuktikan bahawa PDI-P tidak memiliki kebebasan mutlak untuk melakukan apa sahaja yang dimahukannya.

Justeru, PDI-P harus bekerja keras bagi membuktikan kepada rakyat Indonesia yang tidak memilih mereka bahawa parti itu – dan secara tidak langsung Jokowi – dapat menunaikan amanah diberikan. Oleh itu, Jokowi harus dibenarkan untuk menjadi presiden mengikut acuan beliau sendiri.

Beliau harus mempamerkan kepada Indonesia kekuatan dan kelebihannya berbanding pencabar utama, Prabowo dari Gerindra.

Pemerintahan Indonesia seterusnya tidak boleh dibebani dengan kepentingan politik kerana cabaran yang menanti negara tersebut – terutamanya dalam menangani masalah struktur ekonominya – memerlukan fleksibiliti. Pendek kata, Jokowi harus berkempen, dan memerintah untuk seluruh rakyat Indonesia.

Beliau sudah menerajui satu anjakan paradigma dalam politik Indonesia. Buktinya, PDI-P berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu.

Namun demikian ini cumalah satu permulaan. Suasana pemilihan umum Indonesia yang dahulunya malap kini sudah kembali dihangatkan.