INDONESIA bakal memilih Presiden baharu pada Julai ini. Nama-nama mendahului kaji selidik - Gabenor Jakarta dari parti PDI-P, Joko Widodo (Jokowi) dan bekas pegawai kanan tentera berkontroversi, Jeneral Prabowo Subianto dari parti Gerindra.

Sementara itu, Golkar, bekas parti pemerintah Indonesia meletakkan ahli perniagaan bergelar ahli politik, Aburizal Bakrie (atau ARB seperti tertulis dalam bahan promosi parti) sebagai calon presiden mereka.

Aburizal pewaris perniagaan keluarga Bakrie. Dibesarkan di Sumatra, keluarga Bakrie antara golongan korporat peribumi yang berjaya di Indonesia. Mereka juga turut menguasai dunia media menerusi dua syarikat media terkemuka di Indonesia iaitu ANTV dan tvOne.

Namun, asal-usul mereka yang bukan keturunan Jawa menjadi suatu aspek kekurangan dalam keluarga Bakrie ini. Hal ini dapat dilihat menerusi perwatakan Aburizal yang diibaratkan seperti orang Texas, Amerika Syarikat: beliau seorang yang tegas, berani dan sangat fokus.

Pengalaman saya mengikuti Aburizal dalam lawatan sehari ke Bandung baru-baru ini cukup menakjubkan. Pertamanya, pasukannya cukup profesional. Mereka sangat menepati masa: sesuatu yang jarang dapat kita lihat dalam kalangan ahli politik Indonesia.

Keduanya, motivasi pasukan Aburizal sangat tinggi. Aburizal sendiri melihat peluangnya tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Presiden tahun ini dan semangat optimis yang ditunjukkan beliau itu dikongsi bersama pasukannya.

Lebih-lebih lagi, kaji selidik terbaru menunjukkan tahap sokongan kepada Aburizal semakin meningkat sementara sokongan kepada pesaing terdekat beliau, Prabowo semakin menurun.

Hasil kaji selidik akhbar Kompas mendapati peluang kemenangan Aburizal meningkat ke paras 9.2% pada Disember 2013, menduduki posisi ketiga di belakang Prabowo dengan 11.1% dan Jokowi di tempat pertama dengan peratusan sebanyak 43.5%.

Walau bagaimanapun, strategi Aburizal bergantung pada perkiraan bahawa bekas Presiden Indonesia, Ibu Megawati Soekarnoputri akan menjadi calon dari PDI-P dan bukannya Jokowi, manakala Gerindra akan gagal memenangi sekurang-kurangnya 20% undi popular yang diperlukan bagi mencalonkan Prabowo. Ini adalah dua ramalan besar yang boleh gagal menjadi kenyataan.

Walau demikian, Aburizal tetap yakin, “Saya menjelajah ke luar Jakarta sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan kadangkala semalaman. Kami mendekati penduduk di seluruh peringkat masyarakat, daripada golongan petani, nelayan, ahli perniagaan dan mahasiswa,” jelas beliau.

Malah, strategi kempen beliau di Bandung sememangnya klasik:  bermula dengan acara perjumpaan di Universiti Padjajaran (UNPAD), diikuti majlis makan tengah hari yang mendapat sambutan meriah di sebuah kawasan pinggir bandar, ditemani pemimpin Golkar tempatan, Uu Rukmana.

Memandangkan acara di UNPAD diadakan pada cuti semester, sambutan ketika itu kurang memberangsangkan.

Sungguhpun begitu, Aburizal menyampaikan ucapannya penuh semangat dengan berpesan kepada hadirin untuk keluar dari zon selesa, seiring dengan visi Pax Asiana yang diperjuangkan beliau, iaitu terkait pengalaman beliau selama menjadi Menteri Kebajikan dan kepentingan untuk memberi pelaburan besar dalam pembangunan sumber manusia.

Menariknya, Aburizal turut menyentuh tema Pax Asiana dalam ucapan beliau semasa Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Umno tahun lepas. Aburizal turut menyuarakan kekaguman beliau kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawa Barat, dengan populasi seramai 43 juta orang, merupakan kubu kuat Golkar dan Aburizal perlu meraih sebanyak mana undi dari provinsi ini di kala skandal rasuah yang berlaku di Banten, (provinsi berjiran dengan Jawa Barat) di mana Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) telah menahan Gabenor dari parti Golkar, Ratu Atut Chosiyah.

Skandal ini akan memberi kesan kepada Golkar dalam jangka masa panjang. Pada masa sama, keraguan tentang peluang kemenangan Aburizal telah mengukuhkan kedudukan pesaing beliau dalam parti, seperti Akbar Tanjung, Priyo Budi Santoso dan Jusuf Kalla.

Walau bagaimanapun, tiada siapa dapat mengecam beliau kerana tidak mencuba. Tambahan lagi, Aburizal telah memulakan kempen menerusi televisyen, terutama di ANTV dan tvOne.

Televisyen masih lagi sangat berpengaruh di Indonesia. Apatah, ANTV sahaja mempunyai lebih 130 juta penonton. Jika diambil kira semangat dan jumlah sumber yang ada, kita tidak boleh menyangkal peluang yang dimiliki Aburizal atau parti Golkar sendiri.