RAMAI di Asia Tenggara sayangkan Presiden Obama tetapi saya kurang pasti sama ada beliau mengambil berat tentang kita. Walaupun Obama acap kali mempromosikan cerita tentang membesar di Jakarta dan dasar luar negara yang “condong” (pivot) ke Asia, kita jarang sekali dapat bertemu pemimpin negara kuasa besar ini. Sebaliknya, Presiden China Xi Jinping lebih memahami Asia Tenggara. Pendekatannya lebih mesra dan juga pemurah dari segi kewangan.

Sepanjang minggu lalu, ditemani isterinya yang elegan Peng Liyuan, beliau berkunjung ke ibu kota utama rantau ini memeterai perjanjian perniagaan dan menjanjikan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan akan datang. Pasti janji-janji tersebut datang bersyarat (tiada yang percuma!), tetapi ini akan saya sentuh sebentar lagi.

Obama tidak bersalah sepenuhnya, namun ketidakupayaannya untuk menangani Kongres (yang dingin dan keras kepala) tidak membantu beliau (dan juga kita) secara politiknya.

Sebenarnya, demokrasi Amerika membawa beliau dan kerajaannya ke arah jalan buntu. Ini memburukkan lagi reputasi US dan menguatkan lagi persepsi kelemahan kepimpinan Obama selang beberapa minggu selepas pendekatan beliau yang tidak konsisten berhubung isu Syria.

Ketidakhadiran beliau di Persidangan Asia-Pacific Economic Cooperation (Apec) dan perhimpunan tahunan Asean+3 bukan sahaja merugikan Amerika Syarikat, tetapi juga kita di rantau Asean.

Walaupun kedua-dua acara saban tahun dilihat tidak membawa hasil, namun kehadiran para pemimpin memberi ruang untuk memantapkan hubungan diplomatik dan membuka peluang perniagaan. 

Sebagai sebuah perkumpulan ekonomi, kita memiliki potensi yang besar tetapi tidak dimanfaatkan. Komuniti Ekonomi Asean (AEC) di tahun 2015 akan memiliki penduduk seramai 600 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih USD2 trilion. Namun hakikatnya tidak seindah digambarkan.

Kita makin jauh dipisahkan oleh persaingan kuasa besar di rantau ini. Seharusnya kita yang melagakan mereka antara satu sama lain, tetapi akhirnya kita pula yang menjadi mangsa mereka.

Sementara China “menghairahkan” kita dengan kekayaan dan kuasa ekonomi mereka yang hebat, kita juga turut berdepan ancaman ke arah kedaulatan negara, contohnya dalam isu Laut China Selatan.

Walaupun Asean dan China telah menandatangani ‘Deklarasi Perlakuan di Laut China Selatan’ pada 2002, rantau ini masih lagi gagal untuk menghentikan tindakan agresif China.

Terdapat banyak laporan tentang pencerobohan masuk ke atas perairan milik Vietnam, Filipina dan Malaysia. Ini membawa kita kepada satu dilema: apa patut dilakukan? Adakah kita perlu memejamkan mata atas nama kepentingan ekonomi?

Tidak wajar untuk kita menganggap janji-janji ketika lawatan Presiden Xi hanya bermotifkan politik semata-mata, namun kita tidak lari dari berasakan bahawa janji-janji tersebut hanya diberikan bagi meraih sesuatu yang lebih besar yakni dominasi China.

Pada Mac tahun ini, empat kapal perang China termasuk Jinggangshan, kapal perang pendarat terbesar milik mereka dikesan di ‘James Shoal’ kurang 100 kilometer dari Malaysia.

Filipina dan Vietnam juga turut berdepan ancaman China.

Sebagai contoh, ‘Mischief Reef’ kawasan yang terletak di lingkungan zon ekonomi eksklusif milik Filipina turut diceroboh oleh China. Baru-baru ini, mereka terlibat dalam satu suasana tegang di ‘Scarborough Shoal’.

Myanmar dan Vietnam bukan sahaja terpaksa berdepan dengan pencerobohan oleh China tetapi juga kesan buruk terhadap alam sekitar dan sosioekonomi yang diakibatkan oleh syarikat China yang beroperasi di negara mereka.

Dalam kesemua keadaan ini, kegagalan Asean untuk bersuara secara sepakat memberikan ruang untuk China memecah-belah kita semua.

Contoh paling jelas adalah sewaktu Persidangan Menteri Luar Negara Asean 2012 di Phnom Penh di mana Kemboja dengan hampir seluruh ekonominya bergantung pada China, enggan menyokong kenyataan Asean mengenai isu Laut China Selatan.

Benar kata Palmerston, negara-negara tidak mempunyai rakan yang kekal, sebaliknya hanyalah kepentingan yang kekal.

Harus disedari, integrasi ekonomi tidak akan terhasil tanpa kerjasama politik dan dalam hal ini, Asean terbukti gagal.

Mungkin janggal untuk menggelar perkumpulan sebagai “blok” kini, namun bagi mengecapi keamanan dalam jangka masa panjang, para pemimpin Asia Tenggara harus bersatu sekalipun jika terpaksa berhadapan dengan kuasa besar.