KEHANGATAN Kehangatan suasana pada pilihan raya legislatif Indonesia minggu lepas masih lagi terasa. Penganalisis-penganalisis politik masih lagi mencari jawapan terbaik bagi menjelaskan hasil keputusan yang telah diperoleh dari proses hitung cepat atau quick count.

Namun kita semua boleh bersetuju bahawa walaupun tidak ada parti yang menang mutlak dalam pilihan raya tersebut, proses demokrasi di Indonesia masih memerlukan banyak pembaharuan.

Sementara kita menunggu keputusan rasmi yang dijangka dikeluarkan pada 7 Mei (walaupun agak jelas parti PDI-P memperoleh suara terbanyak), saya ingin berkongsi beberapa pemerhatian terhadap proses kempen yang sempat saya ikuti di sana.

Satu perkara khusus yang menarik perhatian adalah kewujudan nostalgia kepada mantan Presiden Suharto dalam kalangan sesetengah masyarakat Indonesia.

Malah, sambil berjalan di sekitar bandar Jakarta, pasti ada beberapa orang yang memakai kemeja-T memaparkan imej Presiden Suharto bertulis: “Lebih enak jamanku kan?” (“Kehidupan lebih bagus di zaman saya kan?”).

Warga asing mungkin akan terkejut dengan perkara ini: bukankah rejim “Orde Baharu” pada zaman Suharto dibelenggu dengan pelbagai gejala rasuah dan pencabulan hak asasi manusia? Bukankah mereka telah bangkit dan menjatuhkan Suharto pada 1998? Mengapa mereka masih merindui Suharto?

Seperti saya pernah sebutkan sebelum ini, zaman pasca-reformasi Indonesia tidak begitu diterima baik oleh sesetengah masyarakat. Isu rasuah masih berleluasa dan birokrasi masih tidak dapat dibendung, manakala persaingan bagi merebut peluang pekerjaan semakin sengit.

Tidak dinafikan, walaupun terdapat banyak kekurangan semasa pemerintahan Suharto, beliau berjaya memacu Indonesia ke arah kestabilan dan kemajuan.

Selepas dilantik presiden pada 1967, Suharto berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari hampir 60% kepada hanya 13% sebelum negara dilanda krisis ekonomi pada 1997. Pada masa sama, peluang pelajaran dan kemudahan kesihatan juga meningkat dengan ketara.

Di bawah Suharto, ekonomi Indonesia mencapai pertumbuhan sebesar 6.5% setahun sepanjang tiga dekad, antara penghujung tahun 1960-an hingga 1997. Hiper inflasi – pada kadar 660% pada 1966 – berjaya dikurangkan ke tahap 19% pada 1969.

Suharto – melalui sistem kawalan ekonomi – melindungi masyarakat Indonesia daripada berdepan situasi ekonomi yang lebih buruk. Hal ini tidak dapat wujud di bawah sistem demokrasi dan mungkin inilah sebabnya sesetengah masyarakat Indonesia merindui beliau – walaupun sebenarnya kawalan-kawalan ekonomi itu yang pada mulanya merencatkan ekonomi republik itu.

Justeru, tidak mengejutkan kita apabila parti Golkar, yang dipimpin Aburizal Bakrie, berusaha keras untuk membawa pendekatan kempen melalui “Sindrom Amat Rindu Suharto” (atau “SARS”).

Parti tersebut menggunakan imej Suharto secara meluas pada bahan-bahan kempen mereka. Malah, Golkar membawa anak-anak perempuan Suharto, Siti Hardijanti Rukmana (Tutut) dan Siti Hediati Hariyadi (Titiek) untuk turut serta dalam kempen parti.

Namun usaha-usaha ini tidak begitu membuahkan hasil apabila Golkar hanya dijangka memenangi 14% undi popular - keputusan yang boleh dikatakan status quo.

Tentunya, Indonesia bukanlah satu-satunya negara yang sering membincangkan legasi yang ditinggalkan pemimpin-pemimpin yang lepas.

Terdapat juga nostalgia di Malaysia kepada mantan Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, terutama sekali tatkala negara dibelenggu situasi ekonomi dan masalah-masalah lain.

Seperti Suharto, Dr M meneraju Malaysia ke arah kemajuan dan kestabilan dengan menghalang dan mengetepikan sebarang usaha yang tidak sehaluan dengan matlamat beliau.

Suka atau tidak, Indonesia dan Malaysia pada hari ini adalah hasil daripada pemerintahan mereka. Anda tidak boleh menafikan legasi mereka.

Jadi, apakah bentuk kepimpinan masa depan yang akan diambil kedua-dua negara? Sukar untuk kita jangkakan.

Tetapi barisan kepimpinan akan datang dan pengikut mereka wajar ambil pengajaran daripada kata-kata Suharto (dalam bahasa Jawa): “Ojo gumunan, ojo kagetan, ojo dumeh” yang bermaksud: “Jangan mudah berasa kagum atau terkejut dan tentu sekali, jangan ada rasa
angkuh.”

Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di: http://www. youtube.com/user/KRceritalah