SELURUH dunia berduka tatkala mendengar berita kematian Nelson Rolihlahla Mandela (atau lebih dikenali dengan panggilan Madiba).

Mandela tokoh yang sangat disegani dan dihormati oleh saya dan mereka yang pernah menuntut di United Kingdom sekitar tahun 1970 hingga 1980-an dahulu. Beliau tidak pernah patah semangat dalam perjuangan menuntut kebebasan demokrasi secara mutlak untuk seluruh rakyat Afrika Selatan.

Sebagai seorang wartawan muda, saya sempat menulis laporan tentang perdebatan hangat terkait isu Apartheid ketika itu. Namun, saya akui penulisan saya kurang bersifat objektif kerana lebih bersemangat dalam melaungkan sokongan terhadap pembebasan Mandela.

Anda boleh bayangkan kegembiraan saya apabila beberapa tahun selepas itu saya berkesempatan bertemu dan menemu bual Mandela. Ketika itu, saya telah bergelar peguam dan telah meluangkan banyak masa mengembara ke sekitar Lautan Hindi dan berulang-alik antara Johannesburg, Cape Town dan Durban.

Pertama kali saya melawat Afrika Selatan pada 1994, ketika Mandela baru dilantik Presiden Afrika Selatan. Ketika itu beliau sudah menggamit seluruh dunia dengan perjuangan menentang rejim Apartheid hingga sebabkan beliau meringkuk dalam penjara selama 27 tahun dan akhirnya dibebaskan pada 1990.

Mandela dikenali dengan pelbagai gelaran, sama ada pejuang anti-Apartheid, banduan, presiden, tokoh negara, bapa, pemenang Hadiah Nobel, legenda dan ikon abad ke-20.

Selaku Timbalan Presiden Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pada 1952, Mandela lebih memilih untuk bertindak secara langsung daripada perbincangan dan rundingan. Hal ini mendorong beliau untuk mempertimbang tindakan bersenjata menentang rejim Apartheid.

Malah beliau menimba ilmu mengenai taktik peperangan gerila di Afrika dan Eropah sebelum ditahan dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup semasa perbicaraan Rivonia 1964.

Menurut pemenang Hadiah Nobel dan rakan baik Mandela, Ketua Biskop Desmond Tutu, hukuman penjara 27 tahun telah membentuk prinsip kelakuan beliau sehingga menjadi inspirasi kebanyakan kita hari ini.

Sikap pemaafnya memang cukup luar biasa. Malah beliau tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang pernah mendera beliau dan orang-orangnya. Pada 1995, beliau tubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi (TRC), sebuah badan berkuasa bagi mengembalikan perpaduan negara.

Namun, Mandela tidak dapat lari daripada kritikan sesetengah pihak berhaluan kanan yang menentang hubungan beliau dengan Parti Komunis Afrika Selatan dan persahabatan beliau dengan Kolonel Gaddafi dan Fidel Castro.

Manakala pihak-pihak di haluan kiri mengkritik kegagalan pentadbiran Mandela dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat dan penambahbaikan urusan tanah. Kerajaan ANC dikecam kerana dilihat terlalu ikut pengaruh arus kapitalis global.

Realitinya, Mandela meninggalkan legasi cukup teguh. Legasi paling ulung Mandela adalah idea “Rainbow Nation” yang diperkenalkan beliau. Sedihnya, impian ini masih jauh untuk dikecapi kerana perpecahan dan kebencian masih jelas dalam kalangan masyarakat Afrika Selatan sementara golongan elit ghairah mengumpul harta, tidak kira puak berkulit putih atau hitam.

Pilihan raya umum Afrika Selatan, dijangka berlangsung antara April hingga Julai 2014, akan menjadi titik tolak hala tuju negara tersebut. Parti pemerintah, ANC, akan hadapi tentangan hebat daripada parti-parti pembangkang yang terdiri daripada parti Perikatan Demokratik (DA) dan parti Kongres Rakyat (COPE) yang telah kembali bangkit dalam arena politik tempatan.

Tuduhan rasuah dan kelemahan tadbir urus ANC tentu sekali bakal menjadi isu.Afrika Selatan kini kembali berada di titik persimpangan seperti era sewaktu zaman sebelum 1994. Terdapat pelbagai halangan menanti negara demokrasi yang masih baru ini.

Mandela pernah berkata, “Kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Apabila seseorang itu telah melaksanakan segala tanggungjawab kepada rakyat dan negaranya, dia boleh rehat dengan tenang.”

Kehebatan Mandela sememangnya tiada tandingan. Cabaran paling utama dan yang terakhir bagi legasi Mandela perlu terus diperjuangkan oleh rakyat Afrika Selatan setelah ketiadaan beliau kini.