PRESIDEN Benigno Aquino III (atau lebih dikenali dengan panggilan Noynoy) dari Filipina merupakan seorang waris dari dinasti politik yang disanjung di Republik itu. Lebih penting lagi, beliau pemimpin yang berpegang teguh pada janji.

Kali pertama saya menemu ramah Aquino ketika beliau sibuk berkempen untuk Pilihan Raya Presiden 2010. Ketika itu, Aquino dikritik hebat oleh pemerhati politik dan ada juga yang langsung tidak mengendahkan beliau.

Aquino anak kepada pasangan pejuang demokrasi terkenal, ibunya Presiden Cory Aquino dan ayahnya Senator Benigno Aquino Jr pernah dianggap oleh lawan politik dan pengkritiknya sebagai pemimpin hingusan, muda dan tiada pengalaman.

Namun, ada sesuatu mengenai Aquino yang menarik perhatian saya. Seperti pernah saya katakan dalam artikel terdahulu, “…keazaman dan keyakinan diri Aquino, cara pemikiran rasional beliau serta tekad untuk tidak berhutang budi dengan mana-mana pihak berkepentingan – sama ada dari dunia perniagaan ataupun politik – membentuk integriti dan kepintaran beliau, justeru memperlihatkan kemampuannya memacu Filipina ke hadapan.”

Semasa mendengar ucapan beliau di Kuala Lumpur minggu lepas, Aquino jelas sekali memukau hadirin. Bercakap mengenai kemenangan beliau, Aquino menjelaskan: “Masyarakat telah bersuara… inilah masanya untuk memanfaatkan potensi yang cukup meluas di Filipina”.

Saya berasakan Aquino telah berjaya dalam hal ini. Malah, Malaysia boleh mempelajari banyak perkara dari Filipina.

Pertama, Republik ini telah mengalami transformasi ekonomi yang sangat pesat. Kedudukan Filipina dalam Laporan Indeks Persaingan Global yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah melonjak naik dari kedudukan ke-85 pada 2010 kepada kedudukan ke-59 pada 2013.

Selain itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Filipina meningkat sebesar 7.2% pada 2013 walaupun dilanda Taufan Haiyan. Lebih-lebih lagi, industri penyumberan luar proses perniagaan (Business Process Outsourcing/BPO) telah menjana USD13.3 bilion kepada hasil eksport negara yang dijangka menyediakan 1.3 juta peluang pekerjaan tambahan menjelang 2016.

Industri pelancongan di Filipina juga turut berkembang pada 2013. Ia berjaya menarik lebih kurang 4.6 juta pelancong asing. Kesemua pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Pada 2010, Aquino pernah beritahu saya beliau telah mengenal pasti industri BPO dan pelancongan sebagai sektor pertumbuhan kritikal untuk ekonomi Filipina.

Sementara itu, diaspora pekerja asing Filipina di serata dunia telah menyumbang sejumlah USD22.5 bilion dalam kiriman wang tahun lalu. Tentunya, jumlah besar pekerja asing Filipina ini (dianggarkan mencecah hampir 10 juta orang) memberi kesan kepada negara apabila rakyat yang menjadi penunjang kemajuan negara memilih untuk bekerja di luar negara.

Walau bagaimanapun, isu rasuah masih menjadi masalah utama negara. Dalam memerangi rasuah, Aquino tidak pernah mengambil sikap pilih kasih atau menyalahgunakan kuasa untuk mempengaruhi sebarang kes mahkamah.

Misalnya, mantan Presiden Gloria Macapagal Arroyo turut dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa- sekali gus mengingatkan rakyat bahawa tiada siapa boleh mengatasi kedaulatan undang-undang.

Hasil ketegasan Aquino, kedudukan Filipina dalam Indeks Persepsi Rasuah telah meningkat dari kedudukan ke-134 pada 2010 kepada kedudukan ke-94 pada 2013.

Aquino juga berjaya menepis tentangan Gereja Katolik terhadap rang undang-undang kesihatan reproduktif.

Isu pemberontakan di Selatan Filipina sejak 40 tahun lepas mungkin berakhir di bawah kepimpinan Aquino. Hasil daripada perjanjian damai yang diterajui Malaysia, satu perancangan sedang dibuat untuk mengembangkan wilayah autonomi Islam di sana menjadi sebuah entiti khusus dinamakan “Bangsamoro”.

Saya tidak mengatakan yang segalanya berjalan baik di Filipina. Aquino turut ditentang kelompok elit yang dekat dengannya. Namun, segala tentangan ini langsung tidak mematahkan  semangat beliau.

Minggu lepas, Aquino menutup ucapannya dengan petikan di bawah: “Filipina, dahulunya negara yang jauh ketinggalan di Asia, kini sudah mulai stabil dari segi pemerkasaan dan peluang ekonomi, serta berada di landasan pertumbuhan di mana tiada siapa yang akan diketepikan.”

Ternyata Filipina di bawah Aquino sudah mula berubah, dan tidak harus dipinggirkan. Saya yakin kita akan mendengar lebih banyak tentang Filipina pada masa akan datang.