NAHAS tragedi MH17 merupakan satu tindakan pembunuhan yang kejam.

Tindakan menembak jatuh pesawat MH17 bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan dan tiada sebarang justifikasi yang dapat menghalalkan pembunuhan 298 orang awam yang tidak berdosa di dalam pesawat itu.

Siasatan terperinci dan telus oleh badan penyiasatan antarabangsa harus dilaksanakan  segera dan pihak bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.

Bagi rakyat Malaysia, nahas MH17 mengimbau kembali mimpi buruk menghantui negara setelah tragedi kehilangan MH370 yang masih belum ada kesudahannya.  
Mengapa Malaysia? Secara relatifnya, kita hanyalah sebuah negara yang kecil di persada dunia.

Selain zaman “Malaysia Boleh” yang dipelopori Dr Mahathir, Malaysia lebih berprofil rendah di peringkat antarabangsa dan lebih mementingkan jalinan hubungan baik dengan negara-negara lain.

Kita bangga dengan negara kita. Malaysia tidak pernah menyerang ataupun memprovokasi negara lain.

Namun, tragedi terbaharu ini membuktikan kita tidak dapat lari dari dunia luar dan terjebak dengan konflik antarabangsa.

Pada mulanya, mungkin kita menganggap konflik yang melanda Rusia dan Ukraine tiada sebarang kaitan dengan kita, tetapi kita silap.

Melihat pada situasi terkini, kita telah dijadikan sasaran oleh proksi-proksi negara Rusia yang menggelarkan diri mereka sebagai kuasa besar dunia.

Nyawa penumpang dan kru pesawat MH17, termasuk 80  kanak-kanak, telah dibunuh oleh pihak tidak berhati perut dan mereka sedang cuba menutup kesalahan dilakukan.

Malah, ia memberi gambaran seolah-olah pemimpin-pemimpin Rusia membenarkan pembunuhan rakyat kita dan mangsa-mangsa yang lain menerusi sokongan mereka kepada puak pemisah.

Hal ini bertambah buruk apabila usaha siasatan dan pengumpulan mayat di lokasi nahas di Grabovo, sebuah perkampungan  di timur Ukraine, terhalang.

Betapa kejamnya mereka. Mayat yang bergelimpangan bukanlah bangkai binatang. Seharusnya  pengebumian mangsa disempurnakan secara teratur, terutama demi keluarga mangsa.  

Namun,  kita telah disekat dan diketepikan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini.

Jika dilihat kembali, puak pemisah ini lebih teruk daripada lanun-lanun di Somalia. Sekurang-kurangnya lanun-lanun tersebut tidak menembak dan membunuh sesuka hati.
Tetapi, harus dinyatakan disini bahawa ini bukanlah seruan untuk membenci ataupun berdendam.

Tragedi ini akan menjadi lebih rumit jika kita berdendam dengan masyarakat umum Rusia kerana mereka tidak bersalah dalam hal ini.

Seperti kita, mereka juga terkejut dan berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab  golongan minoriti esktremis ini.

Sebaliknya, Malaysia haruslah mengambil peluang ini untuk mengukuhkan lagi komitmen negara dalam mengikuti norma antarabangsa.

Kita sepatutnya mengambil tindakan dengan tegas, berani dan bermaruah.

Kerajaan harus membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan berdiam diri kerana pesawat yang ditembak jatuh adalah kepunyaan Malaysia dan keluarga mangsa berhak menuntut keadilan daripada tragedi tersebut.  

Justeru, kita menuntut agar siasatan dijalankan secara terperinci dan telus.

Kerajaan wajar menjalin kerjasama dengan negara-negara luar terutamanya dengan Belanda untuk memastikan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia haruslah bersatu walaupun negara sedang dilanda pelbagai musibah kebelakangan ini.

Benar, ia agak menyedihkan apabila kita hanya dapat mengetepikan perbezaan yang ada tatkala berhadapan dengan tragedi seperti ini.

Apa yang nyata, ini merupakan tahun yang sangat mencabar bagi seluruh rakyat Malaysia.

Selain berhadapan tragedi  MH17 dan MH370, masyarakat Malaysia turut bergelumang dengan isu-isu perpecahan serta berdepan ketidaktentuan ekonomi dan politik.
Insiden MH17 ini yang melibatkan politik antarabangsa mungkin akan menambahkan sangsi bahawa Malaysia adalah lemah dan tidak berdaya.

Namun, kita perlu membuktikan kenyataan itu salah dan rakyat Malaysia secara umumnya tidak boleh berputus asa demi masa depan negara.

Kita bukan di gerbang kehancuran. Malaysia bukannya “disumpah”. Cuma kita sedang diuji.

Sememangnya, jika kita berjaya menangani masalah ini, kita mampu merealisasikan harapan yang selama ini diimpikan: iaitu bersatu sebagai sebuah negara.
Pendirian saya jelas.

Saya percaya pada Malaysia.  Kita cukup matang dan kita tiada keinginan untuk membalas dendam.  

Namun, keadilan harus tetap ditegakkan demi membela nasib mangsa nahas MH17. Hanya keadilan yang kita mahukan.


* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah