PADA 8 November 2013, Filipina dikejutkan oleh bencana alam dahsyat - Taufan Haiyan, yang telah membawa kemusnahan besar dan meragut nyawa ribuan mangsa. Malapetaka ini, mengingatkan ramai warga Asean tentang sejarah hitam tsunami hampir sedekad lalu.
 
Ketika asyik menonton liputan di televisyen tentang bencana itu, saya tersentak seketika, sebenarnya Tukang Cerita pernah berkunjung ke Tacloban, bandar yang “diserang” Taufan Haiyan.

Tiga setengah tahun lepas, ketika mengikuti kempen Pilihan Raya Presiden di Filipina, saya diberi peluang menemu ramah calon utama ketika itu, Noynoy Aquino. Sebenarnya, saya telah dijanjikan temu ramah eksklusif…. Tapi dengan satu syarat, saya harus menemu ramah calon presiden itu di Tacloban, ketika beliau berkempen di wilayah Leyte.

Ketika itu, saya tidak tahu langsung di mana letaknya Tacloban namun kerana semangat kewartawanan membara, saya langsung membeli tiket penerbangan ke sana dan tiba di ibu kota wilayah Leyte itu sehari sebelum temu ramah dijanjikan. Nasib baik, saya ditemani seorang pembantu, anak muda bernama Fatima, bapanya anak jati Tacloban yang berjaya.

“Barangay” atau kampung bapa Fatima itu terletak beberapa batu dari bandar, di samping jalan raya tepi laut yang sunyi dan terletak tidak jauh dari tugu peringatan untuk meraikan kejayaan General MacArthur pulang ke Filipina pada tahun 1945.

Keluarga Fatima memang benar-benar orang Visaya asli. Keluarganya memang mesra, terbuka menerima tetamu dan suka berseronok sehingga Fatima sendiri tersipu malu mengaku bahawa kaumnya orang Visaya memang gemar bersuka-ria dan paling 'Latino' antara kaum di Filipina.
 
Setibanya saya di Tacloban, keluarga Fatima di kampung sedang sibuk menganjurkan pesta. Saya berpeluang meluangkan masa bersama saudara-mara Fatima dari petang ke malam dan telah disajikan dengan beraneka juadah enak, minuman serta nyanyian hebat ahli-ahli keluarga (orang Filipina terkenal dengan bakat nyanyia). Pendek kata, saya memang terhibur.

Tacloban bandar yang sepi dan punya karakter mempesona. Saya menginap di sebuah hotel yang agak tua, dibina di sekeliling sebuah rumah tradisional Visaya. Terdapat perabot diukir dari kayu di sekitar hotel itu dan dindingnya dipenuhi gambar lama menceritakan zaman kegemilangan bandar ini ketika tamatnya Perang Dunia Kedua, di mana orang Amerika ramai berkunjung untuk menziarahi lokasi kepulangan bersejarah Jeneral MacArthur.

Ketika zaman pemerintahan Marcos, Tacloban terkenal dan digeruni sebagai tempat kelahiran Wanita Pertama Filipina, Imelda Marcos. Menurut cerita penduduk setempat, Imelda sememangnya gadis cantik dan istimewa sejak muda lagi. Digelar 'Bunga Ros Tacloban,' tinggi, menawan dengan potongan badan yang menggiurkan, komuniti Tacloban sudah lama tahu kecantikan beliau satu hari akan membawanya ke persada nasional jauh dari warung-warung kecil yang membarisi pekan utama bandar itu.  

Sehingga ke hari ini keluarga Imelda, keluarga Romualdez masih berpengaruh besar dalam politik tempatan, namun apa lebih menarik perhatian pengunjung di Tacloban ialah istana mewah dibina Imelda untuk keluarganya yang digelar 'Tokong' Santo Nino. Dibina cukup dengan dewan keraian, tangga gah dan puluhan ruang tamu. Khabarnya, rumah agam yang gah tapi tidak bercita rasa ini terselamat daripada bahana Taufan Haiyan…

Kembali semula kepada sebab utama saya ke Tacloban sememangnya 'istana' keluarga Imelda merupakan anti-tesis kepada calon presiden yang akan saya temu ramah ketika itu. Beliau anak kepada musuh tradisi Marcos, Ninoy Aquino dan sememangnya berlawanan sekali dengan keluarga Marcos dan rejimnya, baik dari segi peribadi, sikap dan cita rasa. Istana yang merupakan simbol kemewahan melampau rejim Marcos menjadikan pertemuan saya dengan bakal presiden Filipina itu lebih bermakna.  

Setelah lebih tiga tahun, Taufan Haiyan mengembalikan ingatan saya kepada Tacloban. Sebenarnya, ia bukanlah bandar yang menarik, tetapi punya identiti dan personaliti tersendiri seperti terungkap oleh 'Tokong' Santo Nino.

Fatima kini berada di Cappodocia Turki (bukti diaspora Filipina mampu ke serata dunia) dan keluarga beliau terselamat walaupun rumah mereka musnah. Kampung keluarga Fatima sememangnya berada di tanah rendah dan dekat dengan laut….  

Namun demikian, memandangkan dinamisme dan kekuatan orang Visaya, saya pasti mereka akan kembali membina kehidupan, sebaik sahaja keadaan beransur pulih di Tacloban… dan saya yakin, mereka akan bangkit semula dengan cepat.