PERBINCANGAN dan percanggahan pendapat tentang peranan agama di negara ini sudah menjadi lebih rumit, tidak kiralah dalam isu hak penjagaan anak, serbuan majlis perkahwinan dan pengebumian serta berkaitan penerbitan kitab Injil dalam bahasa Melayu.

Bagi saya, cabaran yang kita hadapi sebenarnya tidaklah serumit yang disangka. Kita harus mendefinisikan ciri-ciri sebenar negara kita.

 Apakah Malaysia sebuah negara sekular atau negara Islam? Apakah kita mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi ala Westminster ataupun sesuatu yang sebaliknya?

Sudah terlalu lama pemimpin kita mendiamkan diri daripada menjawab pertanyaan ini, sekali gus memberikan ruang bagi ekstremis dan mereka yang gemar mengambil kesempatan untuk menguasai perbincangan tentang hal ini.

 Secara tidak langsung, kita hidup dalam keadaan yang tidak menentu. Kita tidak boleh menjadi negara maju seandainya sesuatu pihak berfikiran bahawa satu-satunya cara untuk melindungi kepentingan mereka adalah dengan menidakkan hak-hak milik pihak lain.

 Percaya atau tidak – krisis ini sudah menjadi seakan-akan pertembungan antara Melayu menentang bukan Melayu, Muslim menentang bukan Muslim.

 Dalam masa sama, kita tidak harus lupa masih ada ramai Melayu beragama Islam yang tidak bersetuju dengan apa dilaungkan oleh pihak yang kononnya memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa ini.

 Persoalan yang paling penting untuk kita jawab adalah: apakah setiap rakyat berhak mendapat layanan sama rata di Malaysia?

Jika tidak, mengapa? Apakah benar ia akan menggugat kedudukan Melayu dan Islam?

 Satu-satunya cara bagi merungkai kekusutan ini adalah untuk merujuk kembali dokumen yang menjadi asas penubuhan Malaysia, iaitu Perlembagaan kita.

 Tidak seperti Britain, Perlembagaan Malaysia sebenarnya diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. Sekali gus, ia menjadikan negara yang berlandaskan undang-undang, di mana ia dijadikan asas dalam kehidupan seharian kita. Apakah sebenarnya yang tertulis di dalam Perlembagaan?

 Benar, seperti termaktub dalam Perkara 3 (1): “Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

 Hakikat ini diakui oleh setiap golongan di Malaysia. Namun, adakah ia bermaksud kepentingan dan kepercayaan kaum bukan Muslim dianggap tidak relevan apabila ia terlibat dalam sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam?

 Jangan kita lupa bahawa Perkara 3 (4) turut menyatakan: “Tiada apa-apa jua dalam perkara mengurangkan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan.”

 Setelah sekian lama meninggalkan bidang undang-undang, saya mungkin silap, tetapi saya berfikiran yang ia memberi maksud bahawa kedudukan istimewa Agama Islam tidak mengatasi perkara lain yang terkandung dalam Perlembagaan, seperti Perkara 8 (1): “Semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama di sisi undang-undang.”

 Rakyat Malaysia seolah-olah terpaksa memilih antara dua keadaan yang tidak begitu menyenangkan.

 Sama ada kita memisahkan terus amalan dan kepercayaan agama dalam kehidupan seharian ataupun sesetengah pemahaman tentang Islam harus diutamakan berbanding perkara lain.

 Namun seandainya masyarakat mengambil masa untuk mengkaji Perlembagaan, mereka akan menyedari bahawa tidak satu pun daripada kedua-dua situasi yang saya gambarkan sebenarnya selari dengan semangat penubuhan negara kita.

Kita adalah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Meskipun rumit, kita tidak boleh meminggirkan kepelbagaian bangsa yang menjadi tunjang negara kita.

Sehinggalah Perlembagaan dipinda, Malaysia kekal sebagai bukanlah sebuah negara yang sekular secara mutlak, dan ia juga tidak membenarkan kepentingan sesebuah agama mengatasi kepentingan agama yang lain.

Mana-mana pihak yang beranggapan bahawa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan wajar dipinggirkan kerana kedudukan Islam sedang diancam sebenarnya cuba untuk menentang undang-undang negara kita.

Apakah mempercayai hal ini bermakna seseorang itu bukan Muslim yang baik?

Saya yakin adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk menegakkan keadilan daripada menimbulkan ketakutan dan kegelisahan.
Pemimpin kita harus sepakat dan senada dalam mendepani cabaran ini.
 
* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah