SALJI putih gebu menyambut ketibaan saya di Davos dua minggu lalu dan salji juga mengiringi saya pulang sepanjang perjalanan dari desa Inggeris ke Lapangan Terbang Heathrow di London untuk pulang ke Asia.

Sememangnya salji menjadi tema sepanjang lawatan saya ke Eropah dan ia merupakan salji dalam bentuk berbeza: putih dan tebal yang sangat disukai oleh penggemar sukan ski dan salji putih bercampur hitam yang mencair di bandar-bandar apabila ditabur garam.

Tidak dilupakan, salji yang membeku membentuk ais apabila suhu menurun kala senja menjelma, salji yang memaksa anda untuk menyarung kasut but atau menyarungkan spike besi di tapak kasut bagi mengelakkan dari tergelincir.

Saya masih ingat, awal satu pagi, berbekalkan penyodok di tangan; saya telah menyodok salji yang amat rapuh sedikit demi sedikit supaya kereta saya boleh bergerak. Alangkah menyusahkan..

Sepanjang perjalanan saya di Eropah, saya telah banyak menghabiskan masa merentasi salji atau membaca laporan kaji cuaca setiap jam bagi memastikan tiada salji yang menghampiri saya.

Saya menyaksikan di kaca televisyen bagaimana negara seperti Bosnia, Poland di Eropah Timur bandarnya tidak bergerak, sungai membeku dan mereka yang mati dari kesejukan akibat hipotermia. Setelah England menerima 4 inci salji, saya kembali berasa lega, cuaca semakin pulih walaupun mungkin ramai juga yang berasa malu kerana terlalu ghairah menanti salji.

Apa yang tidak dapat saya lupakan ialah pengalaman luar biasa memandu antara Davos dan Klosters lewat satu malam di tengah-tengah ribut salji yang dramatik dengan ketulan salji “menyerang” lampu kereta. Apabila dikenang kembali, pengalaman tersebut ternyata aneh dan memukau, terutamanya apabila kemudian setelah tiba di bilik hotel, saya berdiri terpaku di tepi tingkap, melihat kesuraman landskap putih di luar.

 Walau bagaimanapun, pengalaman salji yang paling mengagumkan adalah apabila saya melangkah jauh dari huru-hara di Davos, menaiki trem funikular yang kecil dan naik kira-kira 300 kaki di atas ke hotel bersejarah, Schaltzalp Hotel – latar novel unggul karya pemenang anugerah Nobel, Thomas Mann, berjudul Magic Mountain.

 Tinggi di atas dan jauh dari bandar, dengan puncak gunung–gunung bersalji sebagai teman, saya berdiri di atas sebuah teres menikmati pemandangan sekitar. Indah sungguh panorama itu, terutamanya gunung-ganang yang diliputi salji, tetapi apa lebih menakjubkan ialah ketenangan di atas sana, saat saya bertemu damai abadi yang sentiasa dicari-cari.

Terlalu senyap, kaku dan masa juga seakan-akan dibekukan. Salji putih suci seakan menyelimuti segenap pandangan mata, seolah-olah landskap sekitar telah “diputihkan”. Apabila saya memandang sekeliling untuk mencari sumber kehidupan yang tidak diselaputi salji, saya teringat akan hingar-bingar dan pergerakan di Kuala Lumpur dan serata Asia Tenggara.

Sememangnya, bunyi itu motif yang ada di mana-mana di rantau kita, walaupun di tengah hutan di mana kita akan ditemani bisikan unggas rimba.

Dalam karya agung Orhan Pamuk, Snow (Salji), yang menceritakan tentang pertempuran antara sekular dan keagamaan di Turki, beliau telah memberikan penerangan terbaik tentang konsep senyap dan salji.

Protoganis dalam cerita itu, Ka yang terperangkap dalam ribut salji di kota Kars (Kar dalam bahasa Turki ialah salji) melihatnya seperti: “petunjuk yang membawa kembali ke kebahagiaan dan kesucian yang beliau rasai sewaktu kanak-kanak dan bertahun-tahun kemudian, beliau masih terkenang kecantikan luar biasa salji dan kebahagiaan yang dirasainya ketika itu jauh dari segala kebahagiaan di kota indah Istanbul.”

Merenung kembali ke luar jendela dan memikirkan tentang ungkapan itu, saya akhirnya memahami apa yang dimaksudkan oleh Pamuk tentang “kesunyian dan kesenyapan salji.” Namun saya tidak berkongsi sepenuhnya memori indah tentang salji seperti Ka.

Sebahagian dari diri saya mahu lekas pulang ke Asia Tenggara dengan kelembapan dan kepanasan yang ironiknya, cukup menenangkan. Hiburan keroncong burung-burung berkicauan sememangnya menghangatkan hati. Betapa anehnya kehidupan ini.

Sememangnya, ketika mendarat di Singapura, saya berasa lega, setelah lebih dua minggu di Eropah, akhirnya saya “pulang ke rumah”. Saya dapat merasakan betapa telah berubah. Dibesarkan di UK, saya merasakan Eropah dan salji putih suci kini telah menjadi terlalu asing buat saya. Damai di hati apabila berada di Asia Tenggara, dan persekitaran hingar-bingar.