PADA hujung Januari, saya akan singgah ke kota London dalam rangka lawatan kerja ke Eropah, untuk memenuhi undangan menjadi ahli panel di forum tahunan anjuran Himpunan Mahasiswa UK dan Ireland atau lebih dikenali sebagai UKEC.

Projek Amanat Negara merupakan inisiatif tahunan UKEC di London, di mana mereka akan menjemput panel dari Kuala Lumpur untuk berbicara soal politik, ekonomi dan sosial yang sedang hangat di Malaysia.

Sudah saban tahun saya menyertai pelbagai forum anjuran UKEC- baik di Kuala Lumpur mahupun London, dan jika berkesempatan saya pasti akan memenuhi jemputan untuk ke medan diskusi bersama generasi pelapis pimpinan negara.

Ternyata saya merupakan ‘peminat setia’ dengan keterbukaan perbincangan ilmiah anjuran badan mahasiswa ini. Tambahan lagi, dengan kontroversi di Malaysia berkaitan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku). Sama seperti pendirian saya menentang pelbagai kawalan terhadap media, saya juga tidak pernah bersetuju dengan sekatan mahasiswa untuk berkecimpung dalam arena politik tanahair.

Sesungguhnya universiti merupakan platform pendidikan holistik- bukan sahaja pusat ilmu teori, tetapi penting untuk menyediakan penuntutnya untuk lebih berjaya dalam hidup, dan mempersiapkan mereka menjadi warganegara yang mampu berbakti kepada negara.

Bagaimanakah penuntut (dan juga ahli akademik) dapat melunaskan objektif ini jika mereka dihalang dan sering kali dihukum apabila berfikir dan bertindak secara independen.

Sememangnya saya berharap yang terbaik untuk UKEC, tetapi pada masa sama turut berasa sedih kerana mahasiswa di Malaysia tidak diberi peluang sama. Boleh dikatakan mustahil bagi penuntut kita di Malaysia untuk mengadakan forum dengan panel seperti Marina Mahathir, Pang Kee Teik dari Seksualiti Merdeka, YB Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli dari PKR untuk berbincang soal dasar kerajaan, hak asasi manusia dan tren sosiopolitik, tanpa sebarang sekatan oleh pihak universiti.

Sudah banyak contoh memperlihatkan penuntut mahu anjur forum intelektual dihalang oleh pihak universiti- yang takut akan keterbukaan ini. Ternyata, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah juga menjadi mangsa pentadbir universiti apabila beliau tidak diberi peluang menyertai forum di sebuah universiti tempatan.

Saya tidak faham mengapa mahasiswa di universiti tempatan tidak diberi peluang berada dalam ruang umum- di isolasi, hanya kerana mereka masih di menara gading. Bukankah ini menidakkan hak mereka sebagai warganegara?

Dari sisi sosioekonomi, negara kita juga yang akan kerugian dengan tindakan ini. Dalam ruang intelektual yang terbuka- mahasiswa diberi peluang untuk menguji hujah dan pandangan. Justeru, kebolehan berfikir mereka dapat ditajamkan, ilmu diperkaya dan keyakinan dipupuk.

Ini bukan sahaja dapat membantu mereka berfikir secara kritis, tetapi mempersiapkan diri untuk berjaya dalam kerjaya pada masa hadapan. Kita pula dapat meningkatkan nilai modal insan negara. Ini kerana kita akan ada tenaga kerja berfikiran kritis, terbuka, dinamik dan pintar. Modal insan tempatan ini mampu bersaing di pasaran global dan akan meningkatkan nilai tambah ekonomi kita.

Tetapi, jika Auku tidak dipinda atau lebih baik dimansuhkan- bukan sahaja mahasiswa kerugian, tetapi juga negara dan bangsa.

Oleh itu, ironik sekali, jika kita sering mendengar keluhan syarikat-syarikat di Malaysia yang menyatakan penuntut lepasan universiti tempatan tidak mampu memenuhi kriteria untuk bekerja berbanding lulusan universiti luar.

Apa yang anda harapkan apabila sistem universiti di Malaysia tertutup dan mahasiswa dianggap seperti penjenayah apabila mereka menuntut hak bersuara dengan lantang? Justeru, tiada yang menghairankan apabila universiti kita menghasilkan lulusan tidak cemerlang dan tidak memberangsangkan.

Tidak menghairankan juga jika masalah ‘ketandusan otak’ berleluasa kalau mereka yang menuntut di luar mahu kekal di sana, kerana tidak cocok dengan sistem pemikiran tertutup kita.

Secara jujurnya: kita tidak mampu memiliki modal insan bertaraf dunia dan produktif dalam dunia tanpa sempadan ini selagi universiti dan mahasiswa kita dikongkong undang-undang yang ketinggalan zaman.

Sememangnya, langkah kerajaan untuk meminda Akta ini adalah tepat - dan penting untuk meletakkan negara atas landasan tepat untuk memacu kemajuan tanahair tercinta.