PARA pemerhati politik di Malaysia sering mengeluh terhadap kurangnya minat dan kesedaran masyarakat Malaysia tentang senario politik negara.

Walhal, jika hendak dibandingkan, pengundi-pengundi di Malaysia lebih cakna tentang perkembangan politik terkini di tanah air berbanding pengundi di Indonesia. Tentu sekali, hal ini adalah kerana sistem pemerintahan bermodelkan Presidential system di Indonesia yang mengamalkan konsep pengasingan kuasa adalah lebih rumit.

Secara umumnya, kebanyakan pengundi di Indonesia tidak mengenali calon-calon Pilihan Raya Parlimen pada 9 April yang akan datang.

Sementara itu, tokoh-tokoh kepimpinan utama parti-parti Indonesia seperti Prabowo (Parti Gerindra), Aburizal Bakrie (Golkar) dan Megawati Soekarnoputri (PDIP) tidak bertanding dalam pilihan raya itu.

Tambahan pula, pengundi-pengundi di Indonesia tidak benar-benar memahami peranan sebenar ahli-ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang dilantik.

Kedua-dua masalah yang disebut di atas menjadi sebab utama mengapa aktiviti-aktiviti kempen yang berlangsung di Indonesia kini tampak hambar.

Ramai berpendapat proses peralihan Indonesia ke arah demokrasi masih belum dapat menunjukkan perubahan positif yang dinanti-nantikan. Malah, realiti kehidupan rakyat kini menjadi lebih sukar dan membimbangkan apabila isu-isu asas seperti kenaikan harga makanan asas, pemberian kad pengenalan dan kemasukan pelajar ke sekolah terus menjadi perhatian dan kerisauan pelbagai pihak.

Apa yang jelas, tahap kefahaman masyarakat Indonesia terhadap senario politik di sana cukup kritikal. Contohnya, Shodiq, seorang petani dari Nganjuk memberitahu: “Apa yang saya tahu tentang ahli DPR adalah mereka harus hadir ke mesyuarat.”

Begitu juga dengan Robert yang bekerja di sebuah syarikat kewangan di Surabaya: “Selain menghadiri mesyuarat, mereka melakukan kajian perbandingan di dalam dan luar negara, dengan menggunakan wang rakyat.”

Manakala Hasbullah, seorang guru di Probolinggo sedar dan mengetahui tentang peranan sebenar ahli DPR: “Peranan ahli DPR adalah untuk menggubal undang-undang yang selaras dengan aspirasi rakyat.”

Bayangkan sejumlah dana yang besar dibelanjakan bagi promosi parti-parti politik di sana. Bukankah lebih baik sekiranya dana ini diperuntukkan bagi memupuk kesedaran yang lebih mendalam kepada masyarakat Indonesia tentang pengetahuan mengenai perlembagaan Indonesia? Perlu diakui DPR memiliki peranan yang sangat penting dalam menentukan keberkesanan kuasa eksekutif dan seterusnya, meneraju masa depan Indonesia yang lebih baik.

Antara tanggungjawab ahli DPR adalah merangka undang-undang negara bersama Presiden dan membahaskan sebarang peraturan kerajaan dalam proses pindaan undang-undang semasa.

Pada masa sama, mereka juga memainkan peranan dalam membahaskan rang undang-undang yang diusulkan oleh Dewan Perwakilan Daerah (DPD) dalam hal-hal terkait kuasa autonomi daerah, hubungan antara kerajaan pusat dengan daerah dan pelbagai isu di peringkat daerah.

Apa yang jelas, masyarakat Indonesia tidak sedar bahawa tanggungjawab ahli DPR menjangkau urusan rasmi lain.

Jika beberapa tahun kebelakangan ini telah memberi kita apa-apa pengajaran- ia berkait kelemahan badan perundangan dan eksekutif akan menyebabkan kehidupan setiap rakyat menjadi lebih sengsara.

Jadi tatkala semangat untuk menghadapi pilihan raya parlimen tampak suram, kita perlu sedar proses pilihan raya tersebut penting untuk pembangunan negara.

Tetapi saya tidak mengatakan  ini adalah salah masyarakat kerana tidak memahami peranan DPR.

Benar, masyarakat melantik pemimpin yang dilihat layak mewakili mereka. Namun masyarakat Indonesia berasa kurang berpuas hati dan ahli-ahli DPR perlu meningkatkan usaha mereka memenangi hati rakyat sekiranya mereka mahu sistem politik sekarang terus dikekalkan.

Perbalahan perlu dikurangkan (jika tidak dihentikan sepenuhnya), terutama dalam hal-hal merangka dan menggubal undang-undang.

Tidak banyak dapat dikatakan tentang pencapaian sebenar DPR yang lepas dan diharapkan DPR akan datang dapat memberikan prestasi lebih baik. Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan calon DPR tahun ini terdiri daripada mereka yang ingin terus menyambung penggal perkhidmatan mereka.

Di samping itu, harapan dan jangkaan masyarakat Indonesia terhadap politik setempat perlu diuruskan dengan lebih baik.

Rieke Diah Pitaloka dan Eva Kusuma Sundari adalah dua contoh ahli DPR yang telah menunjukkan prestasi kerja yang baik dan cekap, ini turut diakui oleh kebanyakan masyarakat Indonesia.

Sebagai kesimpulan, sistem demokrasi Indonesia, khususnya proses pemilihan ahli DPR, sangat memerlukan suatu pembaharuan, selaras aspirasi masyarakat yang ingin melihat ekonomi negara dan taraf kehidupan sosial terus maju.