BANYAK yang telah berubah dalam masa lima bulan. Pada Mei 2013, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tampak tercalar akibat prestasi kurang memuaskan oleh Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13. Kegagalan mereka memenangi undi popular dan kehilangan sebahagian besar undi kelas menengah menyebabkan masa depan Najib menjadi samar dan kabur.

Namun, beliau sedikit sebanyak dapat memadam memori pahit tersebut pada Sabtu lepas apabila berjaya mengukuhkan kembali kedudukan dalam Umno dengan mengetepikan semua pencabar kepada barisan kepimpinan yang berada di belakang beliau.

Tentu sekali, kekalahan Mukhriz Mahathir dalam merebut slot naib presiden jadi sebutan ramai pihak kerana beliau sekali lagi gagal dalam usaha mencari tempat dalam kelompok kepimpinan utama parti. Bagi pengikut setia Tun Dr Mahathir, kekalahan itu meninggalkan kesan mendalam dan pastinya akan ada suara-suara kecewa dan retorik yang mampu menggugat kestabilan parti.

Najib harus ingat keutuhan kedudukannya dalam Umno tidak bermakna beliau telah berjaya mencapai transformasi politik yang diimpikan untuk terus memacu negara.

Sebaliknya ini hanyalah langkah pertama dan kini masanya untuk mereka bekerja keras ke arah transformasi politik yang diimpikan tersebut. Malah, kekalnya beberapa ‘muka lama’ (seperti Shahrizat Jalil) hanya akan menambah lagi rasa sinis ratusan ribu pengundi baru setiap tahun terhadap parti Umno.

Justeru, pimpinan Umno perlu bertanya kepada diri  adakah mantera mereka: iaitu “perubahan berperingkat” atau “evolusi”, masih diterima pengundi? Adakah dengan tertangguh usaha perubahan akan membuat mereka ditinggal arus peredaran zaman? Mampukah mereka bersaing mengikut kehendak dan harapan popular?

Kemenangan Sabtu lepas, inilah masanya untuk Perdana Menteri buktikan kemampuan mengemudi parti mengikut acuan yang beliau mahukan. Lebih-lebih lagi, Najib ialah pemimpin yang ada pendirian politik moderat. Beliau tidak perlu malu dengan pendekatan secara teliti dan pemikiran progresif.

Walau demikian, semua nilai baik dan pengetahuan ini tidak bermakna jika beliau tidak memiliki iltizam politik dan keberanian untuk bertindak ke atas mereka yang sering menimbulkan isu dan hasutan. Setelah kejayaan mengetepikan penyokong Mahathir dalam pemilihan Umno, Najib perlu bangkit untuk menunjukkan keberanian beliau yang sebenar.

Selain itu, Najib perlu bertindak tegas dalam meneruskan agenda transformasi dan mengambil peluang daripada pengaruhnya yang lebih meluas untuk menarik lebih banyak sokongan daripada pemimpin dan ahli-ahli Umno (jika tidak, beliau perlu abaikan atau singkirkan mereka yang ingkar).

Tetapi di sini, saya harus bertanya, mampukah pasukan baru yang kebanyakannya terdiri daripada muka-muka sama membawa transformasi ke dalam parti? Bukankah “pasukan idaman” ini yang dahulunya telah membawa kepada kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen BN pada PRU13 berbanding PRU12? Benar, Umno menunjukkan prestasi lebih bagus pada PRU13 dari aspek kerusi Parlimen yang dimenangi, namun sokongan pengundi Melayu menunjukkan penurunan bagi empat negeri utama iaitu Terengganu, Perlis, Pahang dan Pulau Pinang.

Jika Umno mahu terus gerakkan agenda transformasi bersama barisan kepimpinan ini, mereka harus bawa pendekatan drastik dan berbeza untuk beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, menerusi penekanan penting terhadap prestasi dan kecekapan pemimpin, barisan kepimpinan Umno yang baru dipilih perlu memperhebat usaha dan melaksanakan tugas dengan cemerlang kepada rakyat.

Najib memerlukan pasukan yang mampu mengimbangi pelaksanaan dasar-dasar makro dengan sentimen isu-isu di peringkat akar umbi. Pastinya, ini adalah suatu tugasan sukar dan Najib perlu tampil berani serta mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

Pokoknya, semua tergantung kepada Najib. Bolehkah beliau bangkit dan membuktikan kepimpinan yang efektif? Bolehkah beliau mengawal golongan konservatif yang akan membawa Malaysia ke arah politik radikal? Dengan semakin utuhnya kedudukan beliau dalam Umno, pilihan sememangnya berada di tangan beliau untuk menentukan hala tuju Umno dan hanya beliau sahaja mampu membuat keputusan untuk dirinya sendiri.