RAMADAN sememangnya bulan mulia yang baik untuk muhasabah diri. Sepanjang tahun ini, Tukang Cerita sibuk menjalankan penyelidikan untuk siri dokumentari TV terbaru yang bertajuk “Ceritalah Indonesia” yang akan memulakan produksi pada September.

Saya ingin menceritakan kisah Indonesia, yang telah berjaya mengharungi zaman kegelapan untuk menjadi negara demokrasi. Banyak peristiwa kisah pahit, suka-duka yang telah ditempuhi republik ini sejak  Krisis Kewangan Asia dan era reformasi yang membawa kepada kejatuhan Presiden Suharto sehingga kepada stabiliti dan keamanan di bawah pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhyono.

Memandangkan kepadatan naratif dari 1998, saya terpaksa menyempitkan skop dan fokuskan penyelidikan kepada sejarah silam Indonesia, terutama punca krisis kewangan tersebut. Dalam penyelidikan, saya paling tertarik dengan peranan bank sebagai punca utama krisis tersebut.

Krisis itu bermula dengan kegagalan bank Finance One di Thailand, diikuti penutupan 16 bank di Indonesia beberapa bulan kemudian. Seminggu selepas insiden itu, operasi Sanyo Sekuriti di Jepun pula telah dihentikan.

10 tahun kemudian, krisis sama melanda negara Barat pula,  menyaksikan kejatuhan bank seperti Northern Rock di UK, Landsbanki di Iceland (Lebih dikenali sebagai Icesave) dan Lehman Brothers.

Perkara yang merisaukan saya adalah perkembangan baru dalam sektor kewangan di negara China sekarang mempunyai persamaan yang berkait rapat dengan punca bermulanya krisis-krisis tadi.

Kalau sektor kewangan China dibiarkan sahaja tanpa sebarang kawalan, krisis ekonomi dunia yang seterusnya bakal bermula di negara China. Ini ironik sekali, kerana sebenarnya permintaan dari China yang menyelamatkan ekonomi global pasca krisis kewangan 2008 di negara Barat.

Kenapa begitu? Pada beberapa bulan yang lepas, kebanyakan pakar ekonomi memberi amaran tentang risiko sektor “shadow banking”- perbankan gelap di China. Sektor ini besar dan dianggarkan mengurus aset sebanyak USD1.3 trilion.

“Shadow banking” melibatkan pengantara kewangan bukan bank yang mengendalikan aktiviti bank konvensional. Ini termasuk pinjam-meminjam dan pelaburan dalam dana lindung nilai, dana modal teroka serta pengurusan dana ekuiti persendirian.

Perbankan bayangan berkembang maju di negara China pada 2008, hasil daripada pakej rangsangan ekonomi kerajaan China yang telah memberikan suntikan dana USD586 bilion ke dalam pasaran kewangan tempatan. Ini merupakan langkah tindak balas terhadap krisis kewangan pajakan bawah nilai yang bermula di Amerika Syarikat.

Namun suntikan dana yang berlebihan ini telah membawa pelbagai kesan negatif, antaranya adalah mencetuskan gelombang perumahan dan menyelamatkan beberapa GLC China yang sebelum ini telah menonjolkan prestasi buruk.

Dalam artikelnya di Financial Times pada 11 Julai 2013, Henny Sender telah memberi amaran bahawa produk pelaburan yang menjadi asas perbankan bayangan di China mampu mencetus satu lagi krisis “subprima” seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

Sender turut mengatakan bahawa bank yang paling lemah dan terdedah di China dan Hong Kong adalah daripada golongan bank peringkat kedua termasuk China Minsheng Bank, China Merchants dan Huaxia.

Sekarang kita berbalik pula kepada kesungguhan kerajaan China untuk memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara. Pada peringkat awal, Bank Pusat People’s Bank of China (PBOC) enggan masuk campur apabila Shanghai interbank offered rate (“Shibor”, LIBOR untuk negara China) meningkat kepada peringkat tertinggi dalam sejarahnya iaitu hampir 14% daripada 3% sebelumnya.

Ini telah membawa kepada kerisauan yang kekurangan kredit dalam pasaran kewangan akan menyebabkan penutupan operasi bank seperti Minsheng - masalah sama yang telah menyebabkan kebankrapan Lehman Brothers pada tahun 2008.

Pada akhir bulan Jun, pelabur yang risau telah menjual saham Minsheng secara besar-besaran, menyebabkan harga saham Minsheng menjunam sebanyak 16.7% dan menghilangkan sebanyak USD6 bilion dari nilai pasaran Minsheng yang asal.

Insiden ini memaksa PBOC  campur tangan. Sebetulnya, masih awal untuk mengatakan bahawa Minsheng akan menjadi Lehman Brothers versi China. Namun apa yang pasti adalah mereka yang mengabaikan sejarah akan pasti mengulangi kesilapan sama.