USAHA pencarian pesawat MH370 menjadikan isu-isu politik di Malaysia hambar. Sesungguhnya, tiada siapa yang terlalu mengambil berat dengan pilihan raya kecil di Kajang atau Balingian.

Hal ini tidak hanya berlaku di Malaysia, bahkan di Indonesia yang bakal melangsungkan pilihan raya parlimen tidak lama lagi. Suasana  di sana dilihat agak suram.

Ini adalah sesuatu yang menghairankan; bukankah pilihan raya di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu seharusnya menjadi topik hangat dan meriah di sana? Nampaknya tidak.

Saya mengikuti perkembangan politik dan pilihan raya tempatan di Indonesia sejak 1999. Namun saya terkejut dengan bagaimana suramnya suasana menjelang permulaan musim kempen pilihan raya tahun ini.

Malah, ancaman terbesar bagi Indonesia kini tidak lagi tertumpu pada masalah perpecahan tetapi   isu kekecewaan masyarakat yang semakin meningkat terhadap sistem demokrasi negara hingga sebabkan lebih ramai masyarakat ambil sikap tidak peduli.

Sememangnya, tidak dapat dinafikan, kes-kes rasuah yang berleluasa beberapa tahun kebelakangan ini dan perebutan kuasa politik telah melemahkan semangat demokrasi dalam kalangan masyarakat.

Sekiranya Parlimen Indonesia (Dewan Perwakilan Rakyat/DPR) diibaratkan seperti sebuah drama sinetron, sudah pasti siarannya tidak disambung. Justeru, apabila ahli-ahli politik mula turun berkempen, para pengundi memilih untuk menukar siaran mereka – seperti diperkatakan seorang wartawan di salah sebuah syarikat televisyen terkemuka di Indonesia: “Dangdut: Ya! Politikus: Tidak!”.

Namun, masih ada beberapa peristiwa penting yang menjadi topik perbualan hangat di sana. Contohnya, penamaan Gabenor Jakarta Joko Widodo (Jokowi) sebagai calon presiden dari parti PDI-P. Setelah itu, adakah akan ada kejutan-kejutan lain?

Seorang pengikut politik tegar (seperti saya) akan berasa teruja untuk mengetahui keberhasilan kempen pengiklanan di televisyen yang dilaksanakan secara hebat oleh parti Gerindra pimpinan Prabowo Subianto. Adakah “serangan (penyiaran) udara” sedemikian akan mampu menarik lebih banyak undi?

Memandangkan pilihan raya 2014 ini bakal menyaksikan pelbagai peristiwa penting – peralihan kuasa daripada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Parti Demokrat yang di bawah kepimpinannya – kurangnya minat dalam kalangan masyarakat adalah suatu yang pelik, luar biasa.

Tetapi apabila saya bertanya pada rakan-rakan di sekitar Indonesia, mereka memberitahu suasana suram terhadap pilihan raya hanya secara relatif - suasananya ternyata berbeza mengikut tempat. Ada beberapa wilayah yang tidak begitu suram berbanding wilayah-wilayah lain, dan sebaliknya.

Saya mulakan dengan menelefon rakan-rakan di dua wilayah berpenduduk paling ramai, iaitu di Jawa Timur dan Jawa Barat. Maklumat daripada Jawa Timur cukup mengejutkan. Di kubu Nadhatul Ulama – sebuah kumpulan agama berpengaruh di Indonesia – kebanyakan masyarakat dikatakan akan memilih untuk “golput” (golongan putg/tidak memilih) sekali gus mengabaikan pilihan raya dengan tidak keluar rumah pada hari mengundi. Mereka juga tampak tidak begitu teruja dengan kemasukan Jokowi dalam perebutan kerusi presiden pada Julai nanti.

Nugroho, 57, seorang pekerja di Sidoarjo memberitahu: “saya akan memilih untuk ‘golput’ kerana ia sangat memalukan apabila terdapat banyak calon legislatif yang hadir dengan tawaran ganjaran wang kepada para pengundi sebelum tempoh kempen bermula.”

Arief, seorang pengutip sampah berumur 31 tahun di Ponorogo berkata: “Pilihan raya parlimen ini hanya suatu pembaziran masa kerana tiada apa akan berubah. Walau bagaimanapun, kami masih memasang harapan terhadap pilihan raya presiden.”

Di Jawa Barat jauh bertentangan. Masyarakat Sunda menunjukkan minat mendalam terhadap proses demokrasi dan sebilangan besar daripada mereka menyuarakan sokongan kepada Jokowi.

Di Tasikmalaya, Ani Sopia, 31, seorang guru bahasa Inggeris berkata: “Saya agak teruja dengan pilihan raya akan datang, tetapi saya masih belum membuat keputusan siapa akan saya undi. Jika Jokowi menjadi calon presiden, sudah tentu saya akan mengundi beliau.”

Justeru, pihak berkuasa perlu memberikan lebih banyak perhatian dalam usaha galakan kepada 186.6 juta pengundi di Indonesia untuk keluar mengundi.

Apatah lagi, sistem demokrasi hanya membawa erti bermakna sekiranya kesemua masyarakat bersemangat mengambil bahagian di semua peringkat demokrasi. Begitu juga bagi pengundi di Malaysia! Kita tidak boleh mengabaikan tanggungjawab dalam menentukan hala tuju kepimpinan negara. Sesungguhnya rakyatlah yang berkuasa mutlak dalam sistem demokrasi.