Kerajaan Thailand telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 9 Disember 2013, susulan demonstrasi anti-kerajaan yang melanda Bangkok selama beberapa minggu lepas. Krisis politik di Thailand boleh diumpamakan seperti filem “Groundhog Day”, yang dibintangi Bill Murray, di mana beliau terpaksa menempuh kehidupan hari kelmarin berulang kali.

Di Thailand, Groundhog Day terdiri daripada puak penyokong baju merah atau kuning, bergantung pada perkembangan politik semasa. Tidak kira puak mana sekalipun, kedua-duanya bersifat kebudak-budakan dan memusnahkan.

Seperti pada 2010, demonstrasi kali ini telah melumpuhkan kota Bangkok, hingga menyebabkan ekonomi negara terbantut.

Kedua-dua puak penyokong baju merah dan kuning mempunyai perselisihan sangat ketara dan dijangka pilihan raya pada 2 Februari 2014 tidak akan berjaya meredakan perselisihan tersebut.

Kebanyakan puak penyokong baju kuning terdiri daripada golongan bandar yang bersifat pro-monarki dan konservatif.

Mereka adalah penentang keras puak-puak elit dalam golongan penyokong Shinawatra. Begitu juga bagi puak penyokong baju merah, mereka turut membenci puak-puak elit tersebut.

Bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra disyaki masih mempunyai pengaruh besar dalam urusan-urusan kerajaan walaupun kini berada di luar negara sejak 10 tahun lepas. Tidak dapat disangkal Thaksin telah mengubah landskap sosiopolitik Thailand, mematahkan kuasa golongan elit Bangkok serta memecahbelahkan penduduk menerusi polisi-polisi beliau.

Bahkan, titah daripada Raja Bhumipol untuk mengembalikan kestabilan dan keamanan tampak kurang berkesan. Keadaan kembali aman hanya untuk seketika semasa sambutan ulang tahun Raja Bhumipol, dan kemudian mereka kembali berdemonstrasi pada esoknya.

Keganasan di Bangkok tercetus apabila Perdana Menteri Yingluck Shinawatra (adik kepada Thaksin) cuba untuk memperkenalkan rang undangundang pengampunan politik yang dilihat oleh ramai pengkritik sebagai usaha kerajaan untuk memberi ruang kepada Thaksin pulang ke tanah air.

Usaha tersebut menyebabkan gelombang protes besar-besaran oleh puak penyokong baju kuning menentang kerajaan dan mendesak pemimpin dipilih rakyat, Yingluck untuk meletak jawatan.

Saya harus menjelaskan di sini, walaupun saya baik dengan kedua-dua pemimpin utama parti pembangkang - Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva dan Korn Chatikavanij, saya tidak setuju dengan aksi ala “kebangkitan rakyat” yang ditonjolkan mereka.

Yingluck, yang dikatakan punca bagi segala amalan rasuah oleh Abhisit, telah memutuskan untuk memberi rakyat peluang untuk menentukan kerajaan pilihan mereka pada 2 Februari 2014 nanti.

Seperti sebelumnya, terdapat kemungkinan Parti Pheu Thai pimpinan Yingluck akan menang. Namun begitu, kita tidak dapat ketepikan kemungkinan akan berlaku sekali lagi penentangan oleh puak penyokong baju kuning dalam dan mencetuskan kembali
keganasan sama seperti sebelumnya. Mereka akan tetap berusaha untuk menghapuskan pengaruh Shinawatra sepenuhnya.

Lihat sahaja, Thailand telah menempuh dua pilihan raya umum selepas Thaksin disingkirkan dari tampuk pemerintahan, namun Thailand masih bergelumang dengan konflik politik yang tiada kesudahannya.

Adakah demokrasi di Thailand sudah menemui titik pengakhiran? Masalah bermula apabila maksud demokrasi dikelirukan dengan parti politik dan pilihan raya semata-mata. Amat penting bagi kita membezakan antara ‘politik’ dan demokrasi, kerana
kedua-duanya mempunyai pengertian yang berlainan. Parti politik dibina berlandaskan perbezaan, sementara demokrasi merujuk kepada proses rekonsiliasi perbezaan tersebut.

Apa yang berlaku di Thailand adalah sebuah tragedi puak penyokong baju merah dan kuning gagal mencapai kata sepakat dalam apa-apa perkara penting. Masyarakat harus terima hakikat, akan ada perbezaan pendapat dalam kalangan mereka dan tidak akan ada kerajaan yang diterima setiap lapisan masyarakat.

Di akhir cerita ‘Groundhog Day’, karakter yang dilakonkan Bill Murray menjadi individu lebih baik dan berjaya membebaskan diri daripada perangkap kitaran masa yang menghantuinya.

Sama ada Thailand turut berjaya meloloskan diri dari perangkap masa yang sama masih belum diketahui. Namun, yakinlah pilihan raya pada Februari 2014 nanti tidak akan menamatkan kemelut ini.

Rakyat Thai berhak untuk berada dalam keadaan lebih baik daripada ini.