TERDAPAT ribuan warung kecil di bahu jalan sekitar Jakarta yang menjadi tempat persinggahan bagi kebanyakan penduduknya. Di kawasan perumahan saya di Jakarta, terdapat dua warung kecil yang tidak pernah lengang dengan kehadiran pengunjung.

Warung kecil seperti ini bukanlah asing bagi masyarakat Indonesia di setiap pelosok wilayah, dari Aceh hingga ke Papua. Apa yang jelas, isu pilihan raya presiden menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan pengunjung warung tersebut tatkala maklumat dan berita terkini tersebar menerusi media massa.

Setelah bermula tempoh rasmi kempen pilihan raya Presiden pada 4 Jun lalu, saya perhatikan pengunjung begitu asyik menonton siaran televisyen di warung kecil ini berbanding sebelumnya. Semua sedia maklum, hari pengundian bakal berlangsung tidak lama lagi, iaitu pada 9 Julai 2014.

Saya dapat rasakan kehangatan suasana pilihan raya presiden kali ini lebih-lebih lagi apabila ia menampilkan dua calon presiden yang cukup ternama di Indonesia. Calon pertama, Joko Widodo (Jokowi) dari parti PDI-P merupakan Gabenor Jakarta disenangi rakyat disebabkan sifat ramah mesra dan mampu menyelesaikan masalah rakyat.

Jokowi dahulunya sebagai pengeluar dan pengeksport barangan perabot dari Jawa Tengah, kini merupakan antara ahli politik terkemuka di Indonesia. Jokowi konsisten dalam usahanya untuk mendekati rakyat dan sentiasa menunjukkan keazaman tinggi untuk mempertingkat tahap infrastruktur, kesihatan dan pendidikan negara.

Lawan beliau, Prabowo Subianto dari parti Gerindra, merupakan mantan Jeneral dari Pasukan Khas Tentera Indonesia (Kopassus) yang percaya dirinya ditakdirkan untuk memimpin Indonesia. Bekas menantu Suharto ini telah meninggalkan kerjayanya di bidang ketenteraan selepas era Reformasi kerana dituduh mencabul hak asasi manusia.

Namun, atas kecekalan semangat dan tekad yang tinggi, Prabowo berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap dirinya kepada seorang contoh teladan dengan mempamerkan nilai nilai nasionalisme. Prabowo menjalankan kempen dengan penuh berdisiplin, bercakap hal pengukuhan daya tahan negara dari segi sumber tenaga dan makanan, dan menyemai rasa bangga terhadap negara.

Bagaimanapun, setiap kali saya singgah di warung-warung kecil ini, berasakan masih terdapat banyak persoalan mengenai dua calon ini yang belum terjawab. Kedua-duanya mempunyai kelebihan yang serasi. Aspek ideologi tidak mempunyai pengaruh dalam pilihan raya presiden kali ini memandangkan masing-masing mendapat sokongan parti politik yang berbeza ideologi.

Parti yang menyokong Jokowi termasuk parti PKB, mempunyai jaringan kuat dengan kumpulan agama Islam terkemuka di Indonesia, Nahdlatul Ulama, serta dua parti nasionalis iaitu NasDem dan Hanura. Sementara parti yang menyokong Prabowo termasuklah parti Golkar, dan parti Islam iaitu PAN, PKS dan PPP. Tetapi harus diakui kedua-dua calon ini mempunyai kelemahan tersendiri.

Sejarah kontroversi Prabowo masih dibangkitkan sesetengah pihak walaupun isu tersebut tidak banyak mempengaruhi pengikutnya daripada golongan muda. Kesediaan beliau untuk mendekati kumpulan pelampau agama turut menimbulkan persoalan tentang komitmennya dalam mengetengahkan aspek pluralisme di Indonesia.

Sifat ramah Jokowi mungkin sukar diterima pengundi yang lebih berminat kepada pemimpin berdedikasi dan bersemangat tinggi seperti Prabowo. Ada juga  mengkritik Jokowi dari aspek kekurangan pengalaman beliau mentadbir di peringkat nasional.

Namun, persoalan utama adalah berkenaan kepercayaan dan kewibawaan kedua-dua calon ini. Bolehkah rakyat Indonesia meletakkan kepercayaan mereka kepada Prabowo dan adakah Jokowi memiliki kewibawaan untuk memimpin Indonesia?

Semua aspek ini perlu diberikan penekanan sewajarnya tatkala tahap kepercayaan masyarakat Indonesia terhadap institusi negara – khususnya ahli politik – kini sangat rendah.

Setiap potensi negara – termasuklah menjadi ekonomi ke-10 terbesar di dunia – tidak akan tercapai jika masyarakat Indonesia masih berasa dipinggirkan dan sekiranya pemimpin mereka tidak memiliki visi yang berdaya maju demi masa depan negara.

Justeru, persoalan yang disebutkan di atas akan menjadi cabaran besar buat kedua-dua calon ini. Mampukah Prabowo membuktikan beliau akan menghormati demokrasi Indonesia yang masih mentah?

Mampukah Jokowi membuktikan kebolehannya untuk mentadbir negara yang mempunyai populasi seramai lebih 248 juta orang ini?

Pilihan raya presiden kali ini mungkin akan melakar peristiwa yang sangat penting dalam sejarah Indonesia.