RAKYAT Malaysia mempunyai pendapat berbeza tentang kebebasan sivil, terutama berkaitan berhimpun dan bersuara. Bersih 2.0 adalah contoh terbaik perbezaan ini.

Di satu pihak, kita ada pemimpin berpendapat kebebasan sivil ini ialah konsep asing dari “Barat” dan sebagai negara berbilang bangsa serta agama, kebebasan hanya akan melemahkan kita.

Menurut pihak ini, kita seharusnya menjaga kepentingan keseluruhan komuniti. Perspektif ini masih jauh tertanam di benak pemikiran ramai petinggi negara dan penjawat awam, walaupun Perdana Menteri Najib telah mengumumkan perubahan kepada politik baru ketika Hari Malaysia tahun ini.

Di satu pihak lain, mereka berpendapat kebebasan diperlukan untuk melawan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang kian parah di Malaysia.

Sememangnya, ramai berpendapat media dan sistem kehakiman lebih bebas akan memberi kesan positif kepada ekonomi Malaysia kerana ini akan memastikan pengagihan modal dan dana kerajaan lebih adil. Ketirisan dapat dikurangkan dan rakyat mendapat untungnya.

Menariknya, gejolak politik di serata dunia tahun ini dari Tunis ke New York, Kaherah ke Wukan berkait rapat dengan tema yang telah saya kupas sepanjang kerjaya penulisan saya.

Pada asasnya, semua demonstrasi berpunca dari rasa ketidakadilan dan kemarahan rakyat biasa terhadap kuasa zalim.

Renungkanlah, adakah Ben Ali dan Mubarak akan masih kekal berkuasa, jika mereka memelihara kebebasan sivil? Adakah imej ganas rakyat bangkit menentang rejim zalim tidak akan kelihatan, jika mereka diberikan banyak kebebasan? Adakah pemuda penjual sayur di Tunisia itu akan membakar dirinya, jika beliau ada alternatif?

Kita seharusnya ingat, apabila tidak memiliki kuasa, tidak dibenarkan bersuara dan undang-undang tidak memihak kepada kita, satu-satunya cara untuk bergerak ke depan ialah dengan menjatuhkan rejim pemerintahan zalim itu. Jika kita memandang dari segi ini, kebebasan sivil seharusnya dilihat sebagai penjamin kestabilan politik.

Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, rakyat Malaysia menyerahkan kebebasan sivil kepada kerajaan untuk meraih kestabilan sosial dan kemakmuran. Nilai Asia telah mendorong kita mengutamakan kepentingan komuniti berbanding individu. Ini berjaya dilakukan ketika ekonomi kita sedang berkembang pesat.

Malangnya, ekonomi yang semakin lemah telah menimbulkan keburukan, termasuk rasuah dan penyelewengan kuasa. Tambah lagi, rakyat biasa merasakan benar atau tidak, golongan elit telah memanipulasi sistem di negara untuk kepentingan diri dan keluarga mereka.

Selain itu, rakyat juga merasakan mereka berkuasa selalunya tidak mampu diheret ke muka pengadilan, mereka terus bermaharajalela, manakala yang lemah “dimakan” oleh sistem pengadilan kita.

Ini menyebabkan majoriti rakyat kita tidak mempercayai ketulusan inisiatif kerajaan. Tiada masyarakat atau tamadun mampu bertahan, apabila keadilan hanya memihak kepada yang berkuasa.

Pemimpin kita, terutamanya dari Umno, perlu ingat Malaysia bukannya Timur Tengah. Umno masih ada legitimasi kerana ia masih berpegang kepada tradisi demokrasi pemilihan dalam parti. Walaupun ia dicemar gejala politik wang, namun tradisi demokrasi ini masih mampu dibangunkan dan dihidupkan. Justeru, mereka tidak seharusnya mengagungkan model kerajaan Timur Tengah kerana nyata bukan model yang mampu memberi penyelesaian kepada masalah politik domestik.

Pemimpin parti memerintah seharusnya berusaha memberi keadilan dan memelihara maruah masyarakat kita. Transformasi ekonomi tidak dapat dijayakan tanpa reformasi politik.

Sememangnya, membuang undi setiap kali pilihan raya bukan lagi untuk menjamin demokrasi. Demokrasi itu ialah cara hidup, menjamin dan menjaga kepentingan semua pihak, baik majoriti mahupun minoriti. Benar, agama, adat dan identiti itu penting, tetapi demokrasi juga bermakna menerima pandangan berbeza, walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan apa mereka perjuangkan.

Kita seharusnya percaya, rakyat Malaysia tidak akan menyalahgunakan kebebasan bersuara dan berhimpun untuk mencetuskan ketegangan sesama sendiri. Saya, percaya mereka kini sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab ini.

Seperti kata Thomas Jefferson, salah seorang pendiri negara Amerika Syarikat: “Saya lebih rela didedahkan dengan kebebasan yang berlebihan, dari merasa hanya sedikit nikmatnya.”