KARPAL Singh atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Karpal’ sudah merupakan seorang legenda sewaktu saya baharu memulakan kerjaya sebagai seorang peguam di firma guaman Skrine & Co. pada akhir 1980-an.

Ketika itu, peguam-peguam muda seperti saya berasa teruja sekiranya Karpal ada di mahkamah. Kami akan menyelinap masuk ke kamar perbicaraan dan melihat beliau beraksi.

Orangnya tinggi dan besar; yakin dan tidak gentar dalam mengendalikan apa yang kami anggap sebagai kes-kes ‘sukar’ seperti pembelaan Barlow dan Chambers serta perdebatan sengit dengan DP Vijandran.

Jika dikenang kembali, saya selalu berasakan tatkala kami bertungkus-lumus mengejar “billable hours” (jam kerja) kami untuk melayani klien-klien korporat, Karpal sudah mula menempa namanya dalam sejarah.

Apabila saya mula menjadi penulis sepenuh masa, pengaruh Karpal sudah berkembang. Beliau begitu lantang dalam menegakkan keadilan dan pendukung kuat konsep Malaysia yang sekular- konsisten hingga ke akhir hayatnya.

Saya masih ingat suasana semasa menyertai satu perhimpunan meraikan penyokong Pakatan Rakyat di Puchong usai pilihan raya 2008.

Pada mulanya, orang ramai bersorak memberikan sambutan hangat apabila Teresa Kok tiba. Beberapa minit kemudian, Karpal tiba bersama ahli keluarganya. S

etelah sekian lama tidak bertemu dengannya, saya agak terkejut melihat perbezaan sosok fizikalnya yang telah susut disebabkan kemalangan jalan raya yang dialaminya pada 2005.

Biarpun semakin kurus, auranya masih kekal. Ini terbukti apabila orang ramai begitu bersemangat dan berpusu-pusu ingin menyambut kedatangan beliau yang duduk di kerusi roda menenggelamkan sambutan diberikan kepada Teresa.

Saya bertanya kepada salah seorang hadirin mengapa beliau begitu dihormati dan disanjung ramai. Wanita itu menjawab ringkas: “Kami sayangkan Karpal kerana beliau mewakili kami semua: kaya atau miskin, Cina, Melayu atau India. Beliau berani dan jujur.”

Tentunya, rakyat akan terus mengenang jasa beliau dalam memperjuangkan nasib mereka. Upacara pengebumian mendiang Karpal di Pulau Pinang pada Ahad lepas menyaksikan lebih 10,000 rakyat berbilang kaum hadir.

Sememangnya, Karpal seorang warga Malaysia sejati. Perjalanan politiknya bermula pada 1974 selepas terpilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Alor Setar. Kemudian, memenangi kerusi Parlimen Jelutong pada 1978 dan mempertahankan kerusi tersebut hingga 1999 sehingga diberikan julukan ‘Harimau Jelutong’.

Beliau juga Adun Bukit Gelugor dari 1978 hingga 1990, seterusnya terpilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Gelugor pada 2004. Beliau berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti berganda dalam pilihan raya 2008 dan 2013.

Sebagai ahli politik, Karpal sering dilanda kontroversi. Namun, rakyat mengenali beliau sebagai seorang tokoh berpendirian tegas dan sentiasa membalas kritikan dengan mengemukakan hujah-hujah tajam dan bernas.

Sewaktu hanya ada beberapa baris kerusi pembangkang sahaja di Parlimen dan sebelum wakil rakyat seperti Nurul Izzah, Tony Pua dan Rafizi Ramli muncul, kehadiran Karpal menghangatkan suasana di Parlimen dan menghidupkan perdebatan umum, terutama apabila berdepan tokoh seperti Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sangat lantang dalam mendebatkan isu-isu berkait pelaksanaan konsep negara Islam dan hukum hudud. Biarpun pendiriannya itu mengeruhkan hubungan Pas dan DAP, ia mencerminkan usaha beliau dalam menangani perbezaan asas ideologi kedua-dua parti itu tanpa rasa gentar.

Karpal menanggung derita kerana keberanian dan kelantangannya terhadap isu tersebut. Pada 1987, beliau ditahan di bawah ISA semasa Operasi Lalang. Pada Mac baru-baru ini, Karpal didapati bersalah atas tuduhan melafazkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak lima tahun lalu— suatu keputusan mahkamah yang beliau terima dengan tenang.

Namun, tiada siapa dapat menafikan semangat juang Karpal dalam menentang ketidakadilan, sekali gus mencorak perubahan landskap politik di Malaysia.

Dalam situasi hari ini di mana para pemimpin sendiri tidak bersikap telus dalam kata-kata mereka, atau sekadar bersuara tanpa mengambil sebarang tindakan, pemergian tokoh seperti Karpal yang berani dan lantang bersuara menjadi kehilangan besar kepada negara.

* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah