PERTIKAIAN mengenai penggunaan kalimah ALLAH oleh masyarakat bukan Muslim bermula 2008 apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan The Herald, akhbar mingguan Gereja Roman Katolik daripada menggunakan kalimah itu untuk penerbitan seksyen bahasa Melayu akhbar tersebut.

Setelah pelbagai siri perbicaraan mahkamah dan demonstrasi umum – ia masih kekal menjadi isu yang memecah-belah masyarakat.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan penggunaan kalimah ALLAH bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian.

Apa yang nyata, keputusan 4-3 oleh Mahkamah Persekutuan pada minggu lepas yang menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan mahkamah sebelum ini, tidak dapat meredakan ketegangan kalangan masyarakat.

Keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan masyarakat Kristian daripada menggunakan kalimah tersebut akan mengundang pelbagai cabaran.

Pertama, ia akan mendedahkan kelemahan pada sistem perundangan negara yang penuh dengan ketidakpastian.

Di suatu sudut, Resolusi 10 Perkara yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan 2011 menyatakan tiada halangan dikenakan di kawasan Malaysia Timur untuk kegiatan mengimport dan mencetak Kitab Injil dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu.

Di satu sudut lain, keputusan Mahkamah Persekutuan ini seolah-olah menegaskan kalimah ALLAH adalah eksklusif bagi warga Muslim. Ini secara langsung menambahkan lagi kekeliruan di kalangan masyarakat.

Apakah asas hujah bagi penyataan anda boleh mendengar dan mengucapkan kalimah ALLAH tetapi tidak boleh menulis kalimah tersebut?

Namun, tindakan Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem layak menerima pujian apabila beliau menyatakan penganut Kristian tidak diharamkan menggunakan kalimah itu di Sarawak.

Hal ini sejajar dengan pola masyarakat pelbagai agama di Malaysia Timur yang seharusnya kita patut dan harus contohi.

Kita dapat lihat isu ini masih menjadi ujian getir buat ahli politik di Semenanjung.

Pendirian pemimpin Pas dalam isu ini wajar dipuji tetapi berhadapan dengan risiko dikecam oleh sesetengah pihak, manakala pendirian Umno hanya menambahkan lagi jurang antara parti itu dengan golongan bukan Muslim.

Mengambil kira betapa tingginya kebergantungan BN terhadap undi Sabah dan Sarawak, tidak hairanlah apabila ramai yang mempersoalkan pendirian Umno dalam hal kalimah ALLAH.

Apakah mesej yang mereka ingin sampaikan kepada penduduk di Sabah dan Sarawak?

Kedua, ia menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan yang lemah antara satu sama lain.

Sesetengah golongan Muslim bimbang penggunaan kalimah ALLAH oleh masyarakat Kristian akan menggalakkan gejala murtad. Namun sehingga kini masih tiada lagi bukti kukuh yang menunjukkan perkara itu benar-benar berlaku.  

Mereka yang mempercayai ada agenda Kristian secara langsung memandang rendah dan mengambil remeh kepercayaan dan kekuatan iman masyarakat Muslim di Malaysia.

Seperti yang saya nyatakan minggu lepas, Islam diterima sebagai agama rasmi Persekutuan. Saya melihat tidak ada sebab mengapa Muslim – yang memegang jumlah majoriti dalam masyarakat – untuk merasa terancam terhadap isu ini.

Ketiga, pertikaian ini secara langsung menghakis kedudukan bahasa Melayu.Golongan penggiat bahasa kebangsaan meratapi hakikat kebanyakan rakyat terutamanya bukan Melayu, tidak menggunakan bahasa Melayu dalam perbualan harian.

Tetapi adakah ia rasional apabila kerajaan berulang kali menegaskan sesetengah perkataan/kalimah adalah dilarang untuk mereka gunakan?

Bahasa Indonesia tidak mempunyai larangan sedemikian dan kesemua rakyatnya- sama ada Jawa, Sumatera, Sunda, Papua dan Cina – bertutur dan mempunyai rasa sayang terhadap bahasa mereka.

Hal ini tidak ada pada bahasa Melayu. Kemelut pertikaian kalimah ALLAH tidak ada penghujungnya dan ia seolah-olah tidak merencatkan pertumbuhan negara dari aspek sosial dan ekonomi.  
Apa yang jelas adalah pemimpin- pemimpin kita membawa kita ke kancah bahaya.

Golongan Muslim – seperti mana penganut agama lain – haruslah berusaha untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan. Kita masih lagi mencari pemimpin yang mempunyai keberanian dan kebijaksanaan.
 
Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara.

Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah