BARU - baru ini institusi-institusi awam Malaysia – Pejabat Peguam Negara (AGC), SPRM dan Bank Negara - sering kali mendapat liputan media massa. Malangnya, liputan tersebut bukanlah tentang isu yang positif.

Sebelum saya meneruskan, saya ingin menegaskan bahawa kolum ini bukanlah nukilan tentang 1MDB. Banyak yang telah diperbincangkan tentang ini dan tiada apa yang boleh saya tambah.

Tetapi ingin saya ingatkan kepada satu pepatah yang menyatakan: ‘Kejujuran adalah kesederhanaan yang paling mewah’.

Apa yang meresahkan saya ialah sikap acuh tak acuh sesetengah rakyat Malaysia berkenaan dengan kesejahteraan institusi awam di negara kita.

Bagaikan tiada pemahaman, malah penghargaan, terhadap pentingnya kita memelihara kebebasan dan integriti institusi awam.

‘Kebebasan’ yang dimaksudkan adalah kebebasan badan tersebut untuk melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa rasa gentar, terutamanya apabila terlibatnya pihak-pihak yang berkuasa.

Meskipun begitu, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia percaya institusi-institusi tersebut berada di bawah pengaruh politik.

Logik hujah ini amat menarik: Jikalau anda memegang tampuk pemerintahan, bukankah seharusnya anda memiliki kuasa mutlak untuk memecat dan menukarkan mereka yang berada di bawah bidang kuasa anda mengikut kehendak anda?

Namun demikian, sebenarnya hujah ini lompong. Ia jelas mengabaikan pemahaman tentang peranan sebenar institusi awam di Malaysia.

Institusi awam sepatutnya menyokong agenda kerajaan tetapi sokongan tersebut perlu ada batas.

Sememangnya, perbuatan sabotaj ataupun agenda politik dan balas dendam dalam kalangan pegawai institusi awam patut dibanteras. Pemimpin politik tidak seharusnya dikongkong birokrat dan begitu juga sebaliknya.

Tetapi institusi awam bukanlah rubber stamp bagi pihak kerajaan.

Institusi awam yang bebas memainkan peranan penting dalam sesebuah demokrasi. Mereka berperanan memeriksa keseimbangan kuasa antara rakyat dan kerajaan dengan tujuan mengurangkan salah guna kuasa dan pembaziran.

Sesungguhnya ia menjadi lumrah kehidupan bahawa setiap individu mementingkan agenda tersendiri dan mempertahankan kepentingan masing-masing.

Walau bagaimanapun, semestinya terdapat pengadil atau penimbang cara untuk mencegah kezaliman oleh kumpulan majoriti mahupun minoriti.

Mereka bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat Malaysia perkara yang disenangi dan juga yang tidak disenangi, terutamanya mengenai isu kritikal seperti kesejahteraan ekonomi atau hubungan antara kaum.

Peranan tersebut tidak boleh diremeh-temehkan – terutamanya apabila kita hidup di mana makna ‘kepentingan nasional’.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perkataan ‘kepentingan rakyat’ jauh lebih kabur.

Adakah perkara ini menyulitkan dan melembapkan kerajaan? Mungkin. Namun inilah hakikat demokrasi. Bak kata Churcill, "Demokrasi merupakan satu aturan yang paling menyusahkan tetapi yang paling baik dari yang sudah dicuba".

Kita juga perlu jujur. Pelabur tidak akan melabur di negara tanpa kedaulatan undang-undang dan kepastian hukum.

Rakyat Malaysia wajib mendesak kerajaan menghormati integriti institusi awam di semua peringkat.

Tetapi desakan tersebut memerlukan rakyat yang vokal dan berani.

Lihatlah sikap rakyat negara jiran kita, Indonesia, dalam menyokong integriti institusi awam negara mereka.

Komisi Pencegah Korupsi (KPK) sering kali menghadapi cabaran, termasuk penahanan pegawai kanan mereka dalam cubaan menghalang siasatan yang berlangsung.

Apa yang difahami oleh rakyat Indonesia dan dilupai rakyat Malaysia adalah hakikat di mana institusi awam perlu dipertahankan oleh rakyat jelata.

Seperti yang telah saya sentuh pada awal nukilan ini: rakyat Malaysia sendiri keliru tentang apakah erti ‘Kepentingan Nasional’.

Namun apa yang jelas ialah kepentingan nasional bukanlah perkara sama dengan pertimbangan politik.

Ahli politik berkuasa hanyalah sementara.Dan tiada pangkal jalan yang lebih pasti dalam menghancurkan kepercayaan rakyat dalam demokrasi jikalau institusi awam tidak dipertahankan, bagaikan institusi awam hamba kepada mereka yang berkuasa.

Justeru, pembatalan keputusan untuk memindah pegawai SPRM secara tiba-tiba patut dipuji.

Kita hanya boleh berharap bahawa kerajaan akan terus mendengar rungutan masyarakat dan memerintah dengan hemah dan kebijaksanaan dalam bulan-bulan akan datang.

Masyarakat Malaysia juga patut sedia berjuang dan mempertahankan pihak yang benar. Perkara ini lebih penting daripada kesetiaan politik. Harga kebebasan kita adalah kewaspadaan kekal.


* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara.