SAYA ada satu pengakuan untuk dibuat. Nama saya Karim Raslan dan saya memiliki iPhone. Dahulunya, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menggunakan telefon bimbit ini, tetapi seperti mana ramai yang lain, saya mengambil keputusan untuk mencubanya.

Sememangnya, inovasi dan kecanggihan teknologi boleh dinilai berdasarkan jenis telefon bimbit yang digunakan oleh lelaki korporat moden sepanjang tahun.

Dalam pertengahan 1990-an mereka menemui Nokia. Sebuah syarikat dari Finland dengan telefon bimbit yang mudah untuk digunakan, telah mencetuskan satu revolusi dalam bidang komunikasi.

Mereka menyediakan khidmat pesanan ringkas (juga dikenali sebagai sms) buat semua. Tidak serumit Motorola, Nokia lebih mudah diakses.

Peningkatan jumlah sms – 8.6 trilion dihantar di seluruh dunia setiap tahun, termasuk sekurang-kurangnya 1-2 bilion sehari di Filipina – lelaki korporat moden berhubung tanpa perlu bercakap dengan kenalannya.

Namun, awal tahun 2000, satu perkembangan baru telah menembusi pasaran apabila khidmat internet di telefon mengubah kehidupan di pejabat. Blackberry, produk keluaran syarikat Canada, Research-in-Motion (RIM) menerajui perkembangan ini.

Dengan Blackberry, anda tidak perlu menunggu talian internet mahupun e-mail untuk dimuat turun di telefon bimbit. Mereka akan muncul secara automatik, sekali gus menjadikan pekerja tidak terikat kepada pejabat untuk bekerja.

Blackberry sememangnya menukar rentak permainan, semua syarikat lain dilihat ketinggalan dan tidak selari dengan peredaran zaman.

Kemudiannya, dalam tahun 2007, dengan teknologi meningkat naik, bermulalah sebuah era baru: iPhone. Dicetuskan dari idea seorang genius bernama Steve Jobs, iPhone merupakan satu keajaiban yang mudah diguna pakai: kemas, hitam dan bergaya. Anda pasti teringin untuk mendapatkannya.

Produk manakah akan berjaya dalam pasaran yang begitu menguntungkan ini- terdapat 610 juta pengguna telefon bimbit di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam sahaja.

Malaysia mempunyai 41.9 juta pengguna menjelang 2013 - Indonesia sudah mempunyai 285 juta pengguna sekitar Mac. Falsafah dan pendekatan teknologi manakah yang akan menguasai pasaran: Apple? Nokia? Samsung?         
 
Sememangnya, ramai lelaki (dan wanita) korporat moden yang menentang iPhone pada awalnya. Ia dikatakan hanyalah satu alat mainan buat generasi Gen-Y yang malas.
Cuba teka? iPhone saya berfungsi dengan begitu bagus!

Apa yang lebih memukau saya adalah sistem operasi mereka yang begitu simplistik. Dan juga pelbagai aplikasi yang boleh dimuat turun! iPhone, dari pelbagai aspek, merupakan gabungan sebuah telefon, komputer dan televisyen di dalam poket anda.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah ini: inovasi amat penting, namun apa yang menjadikan produk itu berjaya adalah kemudahannya.

Tidak ada apa yang menggambarkan situasi ini lebih baik daripada telefon bimbit.

Semakin produk-produk ini bertambah baik, pemenangnya bukanlah produk yang memiliki paling banyak butang untuk ditekan.

Sebaliknya, pemenangnya adalah yang paling bergaya dan mudah digunakan- di mana elemen  ‘ergonometric’ dan rekaan mengatasi teknologi.

Akan tetapi, sesebuah syarikat ataupun produk tidak boleh terus statik untuk tempoh yang lama. Kehebatan dan kemudahan yang ditawarkan oleh Apple telah membantu mereka sehingga sekarang.

Pengganti Steve Jobs malangnya hanya berinteraksi sesama mereka sendiri tanpa mengambil kira pandangan orang lain: iPhone 5S dan 5C yang terkini telah dikritik sebagai produk lama yang dikitar semula.

Ramai berkata bahawa Apple adalah mangsa kepada kejayaannya sendiri, setelah mencipta produk yang hampir sempurna, mereka hanya boleh jatuh merudum.

Kita hanya boleh membuat tekaan apakah yang akan dilakukan oleh Steve Jobs seandainya beliau masih hidup.

Sungguhpun begitu, dunia korporat moden adalah sangat mencabar.

Samsung telah pun melepasi nilai keuntungan dicatat oleh Apple, dengan USD5.2 bilion berbanding USD4.6 bilion.

Nokia - dahulunya pelopor telefon bimbit - sudah diambil alih oleh Microsoft dengan bayaran USD7.2 bilion.

Ia kelihatan seperti tugas yang mustahil: anda harus terus mencipta teknologi baru, tetapi pada masa sama menjadikan ia kekal mudah untuk digunakan.

Ekonomi pada hari ini bukanlah untuk orang yang lemah jantung- atau untuk mereka yang mahukan kerajaan untuk terus memberi subsidi dan melindungi mereka!