TIADA yang lebih indah daripada menikmati hujung minggu yang panjang: Lebih-lebih lagi di luar Kuala Lumpur, di sebuah hotel yang penuh santai, makanan yang bagus dan apatah lagi jika tidak bercerita tentang politik.

Beberapa lokasi yang saya senarai pendekkan adalah: Chiang Mai, Siem Reap dan Pulau Pinang. Georgetown akhirnya menjadi pilihan hati setelah saya terbaca yang suhu di Utara Thailand dan Cambodia kini mencecah 40 darjah  Celsius!

Tetapi faktor utama yang menarik saya ke Pulau Mutiara ini ialah: Cendol, juadah magis kombinasi lima bahan, ais kepal, santan, gula melaka, cendol yang dibuat dari tepung beras beraroma pandan dan kacang merah. Saya sudah  mengidamkan cendol ini sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan sebenarnya, satu cendol khas iaitu cendol di Penang Road. Cendol ini boleh didapati di dua gerai yang bertentangan di tepi jalan berdekatan Pasar Chowrasta.

Ya saya tahu, ada variasi cendol di luar sana. Saya antara mereka yang merasakan bahawa golongan India Muslim ialah penjual cendol yang terbaik. Aroma gula Melaka yang digunakan sungguh menyentuh kalbu. Anehnya, ada juga  orang sekarang yang meminta cendol dihidangkan dengan susu pekat manis dan apakah mungkin suatu hari mereka mahu cendol perisa sirap ros juga? Tidak... Ternyata cendol ini dipelbagaikan dengan kacang merah, durian, pulut dan jagung. Orang Indonesia juga mempunyai versi es cendol mereka tetapi lebih dua dekad mengembara, saya dapat mengesahkan, cendol terenak hanya terdapat di Pulau Pinang.

Tetapi saya mungkin bias. Ini kerana apabila saya mula bertugas sebagai seorang peguam muda, saya beruntung (setelah merayu) untuk dihantar ke Pulau Pinang untuk sebutan kes. Setelah selesai melaksanakan tugas di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang (yang belum diubah suai...), saya akan menaiki beca (dengan kot dan tali leher) menuju ke gerai cendol terkemuka itu, beratur panjang sambil menggendong fail klien.

Untuk lawatan saya kali ini saya memilih untuk menginap di hotel butik, 23 Love Lane di kawasan warisan Unesco dan tidak jauh dari gerai cendol kegemaran saya di pusat bandar. Oleh kerana statusnya sebagai khazanah dunia di  bawah Unesco,

Penang adalah antara segelintir bandar di mana landskap memori saya masih hampir serupa dengan apa yang saya lihat di sekeliling saya.

Ternyata ini bukan Kuala Lumpur di mana bangunan muncul dan hilang dalam sekelip mata! Sememangnya, banyak yang berubah di Pulau Pinang, tetapi fabrik sosial dan 'rasa' Georgetown masih kekal. Saya merasakan seolah-olah  berhubung kembali dengan masa silam saya sesuatu yang magis. Tambahan lagi, bangunan di sekeliling sedang mengalami perubahan, peniaga dan pemilik silih berganti, menukar rentak kehidupan di lorong-lorong bersejarah ini  yang kini dihuni kedai, kafe, restoran dan rumah-rumah tumpangan.

Sebagai penggemar seni, saya amat menggemari perincian seni yang diterapkan dengan restorasi hotel butik terulung di Pulau Pinang kini iaitu 23 Love Lane, yang terletak di belakang Sekolah St.Xavier Menginap di hotel ini seperti  sebuah rumah agam, sememangnya adalah pengalaman 'Malaysia' yang cukup unik, ia membawa kita ke zaman silam.

Dari segi reka bentuknya adalah gabungan pelbagai unsur Cina (dengan seramik Chien Nien menghiasi pintu pagar) ke banglo ala Inggeris-India. Hotel ini jelas seperti khazanah Cina Peranakan zaman British. Ia adalah tempat di mana masa terhenti apabila anda dihidangkan kopi oleh staf hotel dengan roti canai, cucur udang dan kuih-muih tempatan.

Suasana ini menyediakan saya untuk berkunjung ke beberapa acara sosial, bertemu rakan seperti pada malam pembukaan Festival Georgetown di Fort Cornwallis diikuti dengan acara di China House di Rumah Narelle McMurtie.

Apabila saya menyangka percutian ini bebas perbincangan politik, saya telah terjerumus bersarapan pagi selama 3 jam dengan beberapa teman, seorang dari Umno dan seorang dari DAP bukti bahawa kedua-dua belah pihak yang  bertentangan masih boleh duduk semeja dan berbincang, atau mungkin ini hanya di Pulau Pinang... Inilah magis Pulau Mutiara.