SEPANJANG ingatan saya, Hari Merdeka ialah sambutan hari kebangsaan yang penuh gilang-gemilang, dengan perarakan, bunga api dan ucapan daripada pemimpin.

Hari Malaysia pada 16 September, yang mana disambut sebagai cuti umum semenjak 2010, harus menampilkan satu kelainan. Kita tidak seharusnya memberikan tumpuan yang berlebihan kepada para pemimpin. Secara peribadi, saya tidak mahu mendengar ucapan dari Perdana Menteri ataupun pemimpin kerajaan yang lain sewaktu Hari Malaysia.

Sebaliknya, Hari Malaysia lebih patut berkisar kepada rakyat awam yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya mengenai kisah, tragedi lampau dan juga kejayaan mereka.

Saya membaca buku tulisan Bernice Chauly, Growing Up With Ghosts pada hujung minggu lalu, yang mana penceritaannya bersifat mendalam dan amat dirasai. Buku tersebut, yang mengadunkan autobiografi dan juga memoir, merupakan kisah keluarga di Malaysia yang memilukan.

Mengapa saya berkata demikian? Bernice, yang kini berada dalam usia 40-an adalah hasil perkahwinan dua orang guru; seorang pelatih Sikh di Kirkby, Surinder Singh yang kemudiannya menganuti agama Katolik selepas perkahwinan dan menukar namanya kepada Bernad Chauly dan juga seorang wanita Cina, Loh Siew Yoke, yang kemudiannya dikenali sebagai Jane Chauly.

Sememangnya, kacukan ‘Chindian’ sangat jarang ditemui di luar Malaysia atau Singapura.

Buku tersebut, merupakan sebuah kisah cinta, mengenai dugaan dan cabaran Bernard dan Jane sebagai pasangan hidup. Dalam masa sama, ia juga membawa kita memahami keturunan mereka berdua yang berasal dari Punjab dan Guangdong.

Apa yang lebih menarik, anak-anak Bernice (hasil perkahwinannya bersama seorang lelaki Muslim) adalah Muslim kesemuanya. Sememangnya ia adalah kisah Malaysia yang lengkap, bangsa India, Cina dan Melayu.

Sekali gus ia menjadikan kedua anak perempuannya sebagai M’Chindians! Apa yang ketinggalan hanyalah elemen dari Sabah dan Sarawak.

Karya Bernice meninggalkan impak berkesan kerana ia ditulis dengan ketulusan. Susah bagi kita rakyat Malaysia, untuk berkata benar, apatah lagi apabila ia melibatkan keluarga kita sendiri.

Bernice sebaliknya tidak begitu, tatkala dia menceritakan kisah emaknya sewaktu menjadi pelajar di Melbourne dan kisah cinta tidak kesampaian, hingga membawa kepada keguguran kandungan yang tragis dan pendidikan universiti yang menemui
kegagalan.

Tragedi telah menghantui keluarganya yang berketurunan Punjabi untuk berpuluh tahun lamanya dan sebagai anak perempuan kehilangan ayahnya pada usia masih muda (dia hanya berusia 4 tahun semasa Bernard, seorang guru popular yang maut dalam kemalangan ganjil sewaktu beliau berenang), dia terus dibelenggu dengan nasib malang.

Teknik penceritaannya, di mana dia menggunakan dokumen yang dikumpul - seperti surat, nota dan buku skrap untuk menceritakan imaginasinya, ternyata begitu berkesan.

Saya ingin mengakhiri tulisan ini dengan kata-kata Bernice sendiri:

“Asal-usul saya adalah Punjabi, seorang sardarni dari Khalsa. Daripada keturunan asal Guru Nanak, berasal dari Punjab dan dari ladang gandum di Amritsar.

Saya seorang Cina, dari pelabuhan Canton, dari Fatshan, dari Lam Soy Chea, dari kampung para nelayan dan tukang pembuat kayu colok. Saya mempunyai dua kisah remaja. Satu bersama ayah dan satu lagi bersama ibu. Ini adalah kisah cinta, bagaimana ibu bapa saya bertemu. Ini kisah cinta bagaimana saya bertemu mereka dan bagaimana saya mengenal diri sendiri.

Saya membesar bersama hantu. Saya membesar bersama si mati dan suara yang mengiringinya. Saya membesar bersama mitos. Saya membesar bersama kesedihan dan cerita yang tidak pernah diberitahu.

Di Ipoh, di tengah Lembah Kinta, bersama rumah kedai, kain dan makanan di zaman sebelum perang. Bersama khinzir, kepedihan dan kesedihan.

Saya membesar di Penang, di rumah Bapuji, datuk saya. Bersama ular dan Grant Sahib. Bersama mesin tulis dan turban putih milik datuk.

Saya bercakap dari lima suara dan saya bercakap dari hati sendiri. Ini adalah kisah kami."