ORANG ramai yang berada di Muzium Negara Sejarah dan Kebudayaan Etnik Afrika-Amerika yang baru dibuka kebanyakannya terdiri daripada golongan berkulit hitam - satu perubahan yang ketara jika dibandingkan dengan komposisi hadirin rapat umum anjuran Trump di Grand Rapids, Michigan.

Di dalam bangunan anggun keperangan, suasana tegang dan sunyi menandakan hormat. Keluarga-keluarga berkumpul di hadapan  bekas-bekas gelas dan tayangan video, melihat peralatan yang digunakan untuk perhambaan: belenggu yang karat, gambar kapal-kapal perhambaan yang ngeri dan perjalanan merentas Afrika Barat.

Namun, sejarah gelap ini tidak kekal suram selamanya. Terdapat saat-saat perjuangan yang benar-benar memberi inspirasi dan harapan - individu yang mencurahkan tenaga untuk memperjuangkan hak kemanusiaan dengan berani walaupun dibelenggu perhambaan dan penindasan sehingga tercetusnya gerakan Hak Sivil oleh Martin Luther King, wujudnya budaya Motown dan juga pelantikan Obama sebagai presiden.

Pentadbiran presiden berkulit hitam yang pertama Amerika Syarikat sudah sampai di penghujungnya dan Donald Trump akan mengambil alih pucuk pemerintahan, membuatkan ramai dalam masyarakat etnik Afrika-Amerika resah.  

Andy Russel, seorang editor filem yang tampan dan gemar bermain cello, jelas kecewa: “Saya 100 peratus pasti Hillary akan menang. Semua kaji selidik dan pemerhati politik mengatakan beliau akan muncul sebagai pemenang.”

“Apabila keputusan pilihan raya menjadi jelas, saya langsung tidak percaya. Kita mengingini seorang presiden yang berwibawa - mempunyai sifat-sifat tertentu. Lelaki ini adalah seorang selebriti TV yang bermulut celupar dan kaki perempuan."

Dia risau memikirkan negaranya akan dipimpin oleh seorang yang telah memenuhi ruang wacana dengan kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman selama dua tahun.

Sementara itu, gerakan #BlackLivesMatter telah membawa perhatian media kepada kekerasan polis. Dia mengakui dengan kecewa bahawa “keadaan tidak begitu hebat sepanjang pentadbiran Presiden Obama, tetapi kita rasa lebih stabil. Obama mampu untuk menjadi pemimpin yang cemerlang, namun Kongres telah menghalang beliau.”

Namun, kaji selidik menunjukkan bahawa masyarakat kaum Afrika-Amerika tidak mengundi Hilarry Clinton dalam jumlah yang disangka.

Sememangnya, ada juga yang mengatakan kemenangan Trump sepanjang Barat Tengah boleh dielakkan sekiranya sokongan daripada masyarakat Afrika-Amerika lebih padu.

Meskipun latar belakang keluarga baik dan dia mempunyai karier yang bagus, Andy tidak mampu melarikan diri daripada prejudis yang sudah terjalin dalam fabrik masyarakat Amerika.

Andy mengimbau kembali apabila dia telah berselisih dengan undang-undang, mengakibatkan parut yang dalam. Dia telah ditahan disebabkan masalah teknikal berkenaan lesen pemandu yang telah tergantung, lantas terpaksa meringkuk di dalam lokap selama beberapa hari dan kemudian harus membayar USD 200,000 wang jaminan bagi kesalahan kecil. Nasib akhirnya menyebelahi dia kerana ibu bapanya mampu untuk membantunya, namun insiden tersebut (yang nyaris meragut pekerjaannya) telah membuatkan dia pahit kerana telah terasa efek prejudis kaum.

“Saya jangka hubungan antara kaum tidak akan menjadi lebih baik dalam masa terdekat,” jelas Andy. “Keadaan akan lebih merosot sebelum kembali pulih. Tambahan pula, institusi-institusi di negara ini tidak menyebelahi kami.”

Kenyataan ini sejajar dengan hasil kaji selidik Pew Research Centre yang mendapati bahawa hampir separuh pengundi AS, (46%) menjangkakan kemenangan Trump akan mengundang kemerosotan hubungan antara kaum, manakala hanya 25 peratus mengatakan keadaan akan menjadi lebih baik.

Ini perbezaan yang ketara dengan keadaan setelah kemenangan Obama lapan tahun lalu. 52 peratus pengundi mengatakan hubungan antara kaum bertambah baik manakala hanya 9 peratus mengatakan keadaan merosot.

Dalam kaji selidik yang sama, hasil menunjukkan lebih kurang tiga suku masyarakat etnik Afrika-Amerika (74 peratus) menjangkakan hubungan antara kaum akan merosot di bawah kepimpinan Trump.

Pada tahun 2008, pandangan ini hampir bertentangan sepenuhnya: 75 peratus pengundi masyarakat etnik Afrika-Amerika mengatakan kemenangan Obama menjurus penambahbaikan hubungan antara kaum.

Kepimpinan Trump kian menjelang, membuatkan ramai yang mengimbau kembali kepada zaman kepimpinan Obama dan memikirkan bahawa itu mungkin suatu “kemenangan palsu” buat masyarakat mereka.