MINGGU lepas, lebih kurang 50 juta penduduk Indonesia menyaksikan perdebatan sengit antara calon presiden dan naib presiden Indonesia yang disiarkan secara langsung di  televisyen dan internet.

Ia adalah siri debat yang pertama daripada lima  yang dianjurkan menjelang Pilihan Raya Presiden pada awal Julai nanti.

Memandangkan ramai  tidak begitu mengetahui format sesi debat tersebut, saya akan jelaskan di sini bagaimana ia dijalankan. (saya sertakan juga di sini pautan sesi debat tersebut: http://bit.ly/UvVsDm).

Debat dimulakan dengan menampilkan kesemua calon presiden dan naib presiden ke atas pentas, iaitu pasangan Joko Widodo (Jokowi) dan Jusuf Kalla (JK) menentang pasangan Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa.

Ia dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) dan disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen dan secara dalam talian.

Fokus perbahasan pada sesi pertama berkisar topik demokrasi, sistem tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang.

Sebagai permulaan, ramai beranggapan Jokowi mempunyai kekurangan dari segi kemahiran berpidato jika dibandingkan Prabowo. Namun,  Jokowi berjaya menjawab soalan ditujukan kepadanya - ringkas dan padat.

Kekuatan kepimpinan Jokowi semasa menjadi Datuk Bandar Solo dan Gabenor Jakarta terletak pada cara gerak kerjanya yang efisyen dan langsung kepada rakyat.

Walau bagaimanapun, di pentas nasional dan bagi sebuah negara di mana presiden pertama mereka, iaitu Sukarno, merupakan seorang pemidato hebat, ramai beranggapan  Jokowi mungkin tidak cukup untuk memenangi hati pengundi.

Namun, Jokowi menyangkal tanggapan itu, beliau berjaya menunjukkan prestasi memberangsangkan semasa sesi debat tersebut, malah ramai bersetuju prestasi beliau lebih baik daripada Prabowo. Prabowo pula dilihat sekadar melaungkan hujah-hujah retorik.

Ada beberapa perkara yang boleh kita ambil sebagai pengajaran daripada sesi debat presiden ini.

Pertama: Jokowi tampil sebagai seorang underdog, yang kurang kemahiran berpidato. Namun,  masih mampu beri saingan sengit kepada Prabowo.

Di sudut lain, Prabowo tampak lebih yakin pada mulanya tetapi goyah apabila diajukan soalan sukar berkenaan hak asasi manusia.

Kedua, gaya pidato Prabowo yang terlalu lantang lebih cocok bagi acara perarakan atau perhimpunan. Bekas jeneral tentera itu perlu memperbetul gaya pidatonya agar sesuai dengan konsep debat presiden.

Bagi saya, Prabowo ialah seorang jeneral tentera yang paling intelek yang pernah saya kenali. Sudah tentu, terdapat aspek-aspek lain mengenai rekod sejarah beliau yang kurang menyenangkan.

Di era internet kini, di mana masyarakat menginginkan penyampaian maklumat secara padat, kepetahan dalam menyampaikan hujah panjang boleh dianggap suatu kelemahan.

Perdebatan adalah medan yang menguji kepantasan berfikir dalam mematah hujah lawan- dan sememangnya inilah kelebihan yang dapat dilihat pada Jokowi.Secara intinya, dalam politik, hujah yang padat dan ringkas adalah segalanya.

Benar, kita mengkagumi pemimpin yang hebat pidato, cuma kita tidak mahu habiskan banyak masa mendengar ucapan mereka.

Tatkala tahap kepercayaan masyarakat umum di serata dunia semakin berkurang terhadap ahli-ahli politik, idea-idea besar adalah suatu perkara penting. Namun, medium dan cara penyampaian idea perlu dikembangkan.

Tidak kiralah sama ada melalui pertemuan langsung, di kaca televisyen atau Twitter, mereka perlu sentiasa mendekati masyarakat.

Bagaimana mereka menjawab persoalan bahawa “semua ahli politik adalah sama di mata rakyat”? Mudah sahaja! Mereka perlu berdebat dengan lawan mereka mengenai dasar dan visi masing-masing.

Indonesia sememangnya mengatasi Malaysia dalam aspek debat. Republik itu telah menggunakan pendekatan debat terbuka di setiap peringkat bagi segala isu. Hasilnya? Tahap demokrasi mereka semakin berkembang.

Anda tidak mendengar mana-mana pihak di Indonesia cuba menepis gesaan untuk berdebat dengan memberikan alasan yang “debat bukanlah budaya kita.”

Kurangnya perdebatan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat semasa pilihan raya umum  lepas perlu ditangani segera.

Rakyat Malaysia berhak mendengar hujah-hujah Najib Razak dan Anwar Ibrahim tentang bagaimana mereka merancang untuk memacu negara ke hadapan.


* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara.
Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah