NASIB kelangsungan kuasa Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhyono (SBY) masih tidak jelas.

Menjelang pilihan raya (Pilihan Raya Parlimen pada 9 April 2014), parti tersebut menganjurkan satu konvensyen yang disertai 11 pemimpin dari dalam dan luar parti bagi mencari calon terbaik untuk melaksanakan tugas yang hampir pasti mustahil: memulihkan imej parti dan memenangi pilihan raya.

Buat masa ini, Menteri Syarikat Milik Negara (SOE), Dahlan Iskan mendahului pemilihan tersebut, dengan 16.1% sokongan berdasarkan undian oleh Indonesian Survey Circle (LSI).

Sememangnya, Dahlan salah satu sebab bagi SBY berasa gembira di tahun 2014. Selepas dipalitkan dengan pelbagai persepsi negatif tahun lepas dari penurunan sokongan yang mendadak terhadap Demokrat ke penahanan bekas ketua parti, Anas Urbaningrum; SBY mampu menarik nafas lega, masih ada sesetengah perkara berjalan lancar.

Meskipun Pemilihan Presiden Demokrat tersebut gagal melonjakkan populariti parti seperti diharapkan, namun kehadiran Dahlan menggamit perhatian ramai. Seorang lagi pencabar ialah adik ipar kepada Presiden, Pramono Edhie Wibowo, juga menarik perhatian – walaupun dia mungkin hanya disebabkan oleh pertalian darah dengan Keluarga Pertama Republik Indonesia.

Sebelum mengulas lebih lanjut, saya harus mengakui saya lebih cenderung untuk berat sebelah, kerana Dahlan merupakan kenalan lama dan saya sering menulis bagi syarikat media yang dimilikinya, Jawa Pos.

Dahlan merupakan Jokowi sebelum Indonesia mengenali Gabenor Jakarta yang terkenal itu. Ini kerana beliau mudah didekati media, menawarkan penyelesaian kepada masalah dan sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Pada mulanya, ramai terkejut apabila Dahlan dilantik menerajui Perusahaan Listrik Negara (PLN) pada 2009. Walau bagaimanapun, setelah mengelilingi pusat jana kuasa PLN di Kalimantan Timur dan menilai komitmen Dahlan terhadap portfolio baharunya itu, ternyata ia merupakan sebuah lantikan yang tepat.

PLN di bawah kepimpinan Dahlan ditransformasikan menjadi sebuah perusahaan yang berorientasikan kepada layanan terhadap masyarakat.

Benar, ada kalanya beliau keterlaluan. Dahlan secara paksa membuka pagar tol Semanggi di Jakarta Timur buat para pemandu yang terperangkap dalam kesesakan trafik waktu pagi.

Pertemuan dengan Dahlan minggu lalu, hanya setelah Pertamina menaikkan harga ‘tong gas’ – keputusan yang disokong Dahlan tetapi dibantah SBY – saya menemui seorang menteri yang masih bersemangat dan berazam tinggi.

Setelah selesai melakukan senaman pagi di Monumen Negara (Monas), Dahlan menikmati sarapannya sambil berbual dengan saya: “Kenaikan harga diperlukan, tetapi jumlah kenaikan haruslah berpatutan”.

Sepanjang perbualan, mesej Dahlan begitu jelas. Apabila ditanya berkenaan strateginya untuk memenangi pemilihan Presiden Parti Demokrat, beliau menjawab: "Kejayaan sesebuah kempen tergantung kepada rekod kerja yang dilakukan. Anda harus bekerja keras dan lama, 16-18 jam setiap hari dan kadangkala harus membuat keputusan yang pantas untuk mengekalkan momentum".

Meskipun terdapat percanggahan pendapat dalam isu ‘tong gas ’, Dahlan tetap memuji Presiden SBY: “Program yang dijalankan oleh SBY adalah bagus secara dasarnya. Andai dipilih, saya akan terus menambah baik program dijalankan seperti pembangunan infrastruktur, keselamatan makanan dan lain-lain".

Benar, kerja yang lebih keras amat diperlukan andai Dahlan terpilih bagi bertanding dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia pada Julai akan datang.
 
Berdasarkan kepada survei oleh Indo Barometer pada Disember lalu, Dahlan cuma meraih sokongan daripada 12.1% responden, jauh di belakang calon parti lain.
 
Tetapi, tidak dinafikan Dahlan berpengalaman dari aspek pemerintahan dan hubungan geografi.
 
Tidak ada sesiapa yang lebih mengenali republik tersebut melainkan Dahlan yang memiliki lebih 200 akhbar tempatan dan daerah dari Aceh ke Papua.
 
Sememangnya, Dahlan sudah bersedia untuk mendepani cabaran dalam memimpin Indonesia. Dalam sebuah negara di mana retorik politik mendominasi setiap aspek perbincangan, Dahlan membawakan intipati dan kelainan. Ternyata ia merupakan salah satu perkara yang perlu dipelajari oleh semua, terutamanya pemimpin di Malaysia.