PENYOKONG Trump lantang bersorak. Didorong oleh sebarang provokasi kecil: slogan yang disorak bersifat hingar dan marah – sekumpulan manusia menjadi perusuh.

Malam semalam, ketika saya dan ribuan penyokong Trump sedang berhimpun di luar dewan yang menjadi tapak untuk ucapan kempen terakhir Donald Trump di Grand Rapids, Michigan, kedengaran slogan yang sudah pasti akan menghantui Presiden yang akan datang. Slogan paling bergema adalah “Penjarakan beliau!.

Tentunya, kombinasi kekeliruan tentang penggunaan akaun emel Hilary dan sumber dana Yayasan Clinton telah membangkitkan perasaan curiga terhadap integriti pasangan ini. Malah, kebanyakan rakyat Amerika beranggapan bahawa pasangan ini tidak jujur dan/atau tidak mempercayai mereka. Justeru, sudah pasti mereka akan diburu oleh Trump sekiranya beliau menang, dan kalau Trump kalah, Clinton tetap perlu berhadapan dengan Kongres yang tidak akan bekerjasama dengan beliau.

Namun, bukankah Obama sendiri telah melalui senario yang sama?

Tidak. Senario sekarang jauh berbeza daripada slogan yang dilontarkan kepada Obama – seorang pemimpin yang berwibawa dan bersih – oleh musuh politik beliau yang berhaluan kanan. Malah, panggilan untuk pasangan Clinton dipenjarakan menunjukkan anasir keji dan jahat yang berbangkit daripada sorakan slogan tersebut. 

Bagi penyokong Trump, sebarang bukti tidak diperlukan lagi kerana bagi mereka, pasangan Clinton telah pun mengelakkan diri daripada proses siasatan secara terang-terang. Sifat sorakan ini menunjukkan bahawa Trump tidak mempedulikan proses undang-undang.

Contoh kedua yang sering disorak dengan lantang di perhimpunan ini adalah “Kosongkan Paya!”.

Sekali lagi, tuduhan Trump telah berjaya memenangi hati dan minda berjuta rakyat Amerika yang sekarang memegang persepsi yang Wahington merupakan bandar di mana rasuah dan amalan keji berleluasa, dan hanya berfungsi untuk menghancurkan kehidupan rakyat Amerika yang biasa, khususnya rakyat berkolar biru yang putih. 

Kewujudan sentimen sebegini bermaksud bahawa sesiapa yang mendiami White House pada tahun hadapan akan menggalas tugas yang sangat sukar. Pastinya, Pilihan Raya Presiden tahun 2016 merupakan yang paling kontroversi – percayalah saya, saya sendiri menyaksikan pergerakan akar umbi di Michigan!

 Pada ketika saya menulis rencana ini, pengundian baru saja bermula. Apa pun yang terjadi, Presiden ke-45 Amerika Syarikat akan mewarisi negara yang jelas terbahagi dua.

Meskipun Presiden Barack Obama nekad untuk membawa “harapan dan perubahan” ke negaranya, beberapa faktor – termasuklah kedegilan wakil-wakil rakyat Republikan, jurang pendapatan yang bertambah besar, ancaman ekstremis keagamaan yang baru serta pergolakan budaya, teknologi dan ekonomi yang rancak – telah meluaskan jurang politik dalam kalangan masyarakat di negara superpower yang paling ulung ini.

Sentimen di Grand Rapids telah mencerminkan realiti ini. Golongan kulit putih berkolar biru marah dan kecewa kerana beranggapan bahawa pengaruh mereka untuk menentukan hala tuju negara kian terhakis. Golongan minoriti Amerika – khususnya masyarakat Hispanik – juga akan berasa resah sekiranya Trump menterbalikkan kejayaan yang diraih sejak tahun 2008.

Jelas bahawa sesiapa yang menjadi Presiden perlu menenteramkan keadaan dan menyatupadukan negara. Mampukah sesiapa antara mereka untuk menyatupadukan warga Amerika Syarikat dari segi politik dan moral?

Bagaimanakah pentadbiran dilaksanakan dengan lancar sekiranya Senat dan Kongres masih berpecah-belah antara wakil-wakil Demokrat dan Republikan?

Apakah implikasinya terhadap kita yang berada di Asia Tenggara?

Mengambil kira kesemua faktor ini, saya berpendapat bahawa kita harus menyesuaikan diri dengan Amerika memandang ke dalam. 

Polisi “Condong” ke Asia milik Obama akan kian dilupakan. Warga Asia Tenggara gemar untuk bersahabat karib dengan kedua-dua kuasa besar dunia. Kita mahu perdagangan dan pelaburan dari China, tetapi kita turut mahukan keselamatan yang dijamin dengan kehadiran tentera AS bagi mengimbangi pengaruh “Kuasa Tengah” itu.

 Seseorang harus ingati bahawa Xi Jinping kini sedang menyatukan asas kuasanya di Beijing, manakala Washington kian berpecah-belah akibat isu perkauman, pentadbiran dan ekonomi; China kelihatan lebih megah dan nekad. 

Pada masa akan datang, kita mungkin akan terfikir kembali pada saat ini dan pekikan penyokong setianya di himpunan ini seolah-olah mengumumkan kemelesetan sebuah negara yang pernah hebat pada suatu ketika dahulu.