TIRAI bagi Pilihan Raya Presiden Indonesia baharu sahaja dilabuhkan minggu lalu, sekali gus menamatkan proses kempen yang merangkumi pembunuhan karakter, perdebatan hangat dan tinjauan pendapat tidak menentu.

Berdasarkan unjuran yang tidak rasmi, kemenangan dijangka bakal menjadi milik Gabenor Jakarta yang dahulunya merupakan pengeluar perabot, Joko Widodo (“Jokowi”).

Lawan beliau, bekas Jeneral Prabowo Subianto seperti dijangka enggan menyerah kalah. Namun, jumlah perbezaan undi yang kecil (dijangka sekitar 4-6%) wajar diberi perhatian.

Keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada 22 Julai, namun ramai yang bimbang seandainya ia bakal dicemari dengan penipuan dan unsur-unsur keganasan.

Sekiranya Prabowo mempertikaikan keputusan tersebut, Mahkamah Konstitusi Indonesia bakal memberi kata putus sebelum 22 Ogos.

Berdasarkan rekod, Mahkamah Konstitusi tidak pernah memutuskan untuk meminda keputusan pilihan raya. Tetapi, Jokowi dilihat sebagai seorang reformis yang akan menggugat kepentingan pihak-pihak tertentu di Indonesia.

Salah seorang bekas Ketua Hakim Mahkamah Konstitusi – Mahfud MD – terlibat secara langsung dalam mengendalikan kempen Prabowo. Tidak jelas sama ada beliau masih memiliki pengaruh ke atas hakim-hakim yang bakal bersidang.

Oleh sebab itu, kemenangan Jokowi masih lagi belum dapat dipastikan. Tambahan pula, apakah peranan akan dimainkan angkatan tentera Indonesia jika pertikaian berlanjutan? Indonesia berada dalam keadaan yang genting.

Apakah sistem kehakiman, sektor kerajaan dan ketenteraan benar-benar bebas dari pengaruh politik? Adakah mereka akan mengangkat kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik?

Perhatian sekarang lebih terarah kepada Jokowi dan Prabowo. Tetapi, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) masih lagi berperanan penting.

Mampukah beliau menenteramkan keadaan? Apakah beliau akan kekal berkecuali dan mengangkat suara undi rakyat? Bagaimanakah beliau mahu membahagikan peranan antara Presiden dan juga Pengerusi Parti Demokratik, yang menyokong Prabowo secara terbuka?

Kita mendoakan yang terbaik buat demokrasi di Indonesia. Kebimbangan yang telah saya nyatakan di atas tidak seharusnya menutup pencapaian Jokowi.

Masyarakat kecil Indonesia, “wong cilik” kini mampu mendabik dada bahawa salah seorang daripada mereka sudah berjaya melakar sejarah ke Istana Negara. Kejayaan itu adalah lebih manis mengambil kira kekurangan Jokowi dari segi kewangan dan pengurusan kempen.

Seandainya keputusan kekal memihak kepada Jokowi, beliau tidak akan membuang masa. Karenah birokrasi harus segera ditangani dan projek infrastruktur yang tergendala mesti diteruskan.Subsidi minyak yang memakan belanja USD21 bilion saban tahun harus dikaji semula.

Selain itu, beliau harus mendepani pertumbuhan ekonomi China yang kian melemah, di samping defisit akaun semasa Indonesia yang semakin parah (3.3% dari KDNK pada 2013) dan nilai rupiah yang tidak begitu memuaskan.

Masalah berkisar alam sekitar, sekuriti makanan dan tenaga masih menghantui 250 juta rakyat Indonesia.

Jokowi harus bekerja keras bagi merealisasikan dasar yang diperjuangkan – terutamanya sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan secara menyeluruh yang membelakangi gagasan ‘Revolusi Minda’ yang diperkenalkan oleh beliau. Cabaran menanti beliau, lebih-lebih lagi melihatkan kepada jurang perbezaan politik yang kian melebar di Indonesia.

Hanya beberapa hari sebelum Indonesia keluar mengundi, parti politik yang sehaluan dengan Prabowo di dalam Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR) menggunakan kuasa majoriti mereka bagi meminda undang-undang - yang seharusnya secara automatik patut melantik Tuan Yang Dipertua bagi penggal seterusnya dari parti PDI-P. Hal ini mengeruhkan lagi jurang politik antara kem Prabowo dan Jokowi.

Jokowi harus meyakinkan Golkar, parti yang menyokong Prabowo untuk berpindah haluan dan duduk bersama mereka – namun mengundang risiko akan berlakunya perpecahan dalam parti tersebut. Perlu diingatkan bahawa pasangan Jokowi, Jusuf Kalla berasal dari Parti Golkar.

Beliau juga harus menjaga hubungan dengan ketua Parti PDI-P beliau, bekas Presiden Megawati Soekarnoputri, yang pasti akan cuba menyelesaikan persengketaan dengan musuh lama dan memberi ganjaran kepada mereka yang menyokong parti tersebut.

Pilihan Raya Presiden kali ini juga mencerminkan perpecahan  masyarakat Indonesia. Kempen hitam yang mempersoalkan kepercayaan agama beliau telah menyebabkan Jokowi kecundang di kawasan yang lebih konservatif, seperti Jawa Barat. Jokowi harus menyatukan kembali Indonesia yang kini dilihat sudah berpecah.

Ia sememangnya tugas yang sukar, tetapi Jokowi adalah calon terbaik bagi memikul tanggungjawab itu.

* Karim Raslan ialah seorang kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di http://www.youtube.com/user/KRceritalah