MINGGU lepas di Bangkok dan sebelum pembukaan Sidang Kemuncak Asia Timur Forum Ekonomi Dunia (WEF), saya mempengerusikan sesi khas dengan ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi. Sememangnya beliau ialah ikon zaman kita, yang diberi penghormatan sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan sehingga terbitan filem biopik lakonan Michelle Yeoh mengenai dirinya.

Sebenarnya peluang tersebut muncul tanpa diduga. Selama lebih enam bulan, saya dan beberapa teman dari Badan Agenda Global WEF untuk Asia Tenggara (yang dipengerusikan saya sendiri sejak 2010) mengaturkan program bengkel kepimpinan setengah hari untuk pemimpin pelapis Asean.

Tujuannya menggalakkan dua perkara: pembangunan sumber manusia dan membantu pembentukan identiti Asean yang lebih jitu kalangan pemimpin muda. Justeru, kami “menerbangkan” golongan muda cerdik pandai dari seluruh  rantau yang berpotensi besar untuk menjadi pemimpin masa depan.

Program tersebut dirasmikan bekas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva, yang juga sahabat baik saya. Setelah kejutan pertama iaitu berjaya mengundang Abhisit, saya tidak menyangka untuk mendapat kejutan yang lebih  besar.

Pada saat terakhir, kami diberitahu bahawa The Lady sendiri akan menghadiri sesi penutup. Bagaimanapun, oleh kerana perjumpaan tersebut adalah perjumpaan peribadi, saya tidak dapat mendedahkan kandungan perbincangan  kami – kecuali menyatakan bahawa beliau sangat menawan, tidak formal dan banyak bertanya, hampir menanya soalan sama banyak dengan soalan yang diterima daripada hadirin.

Walau apa pun, The Lady mampu memberi kesan yang mendalam kepada hadirin muda. Beliau memilih kata-katanya dengan tepat, berucap dengan jelas, bagaikan seorang cikgu sekolah.

Ketika beliau berdialog, saya yang duduk bersebelahan beliau (selang beberapa inci sahaja daripada seorang legenda) memerhatinya dengan teliti dan tertawan oleh keyakinan dan kemuliaan beliau. Cara berpakaiannya sangat  sederhana: dengan longyi Burma dan blaus biru cair serta selipar getah. Rambutnya terhias dengan bunga dan selendang.

Saya juga terfikir pengalaman yang dilalui beliau dalam lebih suku abad yang lalu: kejayaan pilihan raya pada 1990, diikuti penindasan yang brutal, menjadi tahanan rumah bertahun-tahun, serangan-serangan (di Depayin lebih tujuh  puluh penyokong beliau dibunuh) dan kekacauan, termasuk impak ke atas kehidupan peribadi beliau – kematian suami akibat kanser dan anak-anak yang membesar tanpa belaian seorang ibu.

Sukar untuk tidak merasa kagum dengan seseorang seperti Suu Kyi, dan pada waktu yang sama merasa bersyukur kerana akhirnya hasil sudah mula kelihatan daripada pengorbanan beliau untuk negara bangsa. Namun demikian, Suu  Kyi mengingatkan kepada pelabur supaya tidak terlalu optimistik mengenai situasi di Burma.

Dalam sesi yang berasingan di WEF, beliau berkata: “Undang-undang yang bagus sudah pun wujud di Burma namun kita tidak mempunyai sistem kehakiman yang bebas. Justeru, tiada gunanya mempunyai undang-undang yang paling bagus di dunia pun... Kini saya berhadapan dengan optimisme yang agak melampau... Sedikit keraguan adalah wajar.”

Pada waktu yang sama, beliau turut  mengingatkan hadirin betapa pentingnya untuk memajukan dan membantu golongan belia: “Peratus orang muda di Burma yang menganggur sangat tinggi. Ini sangat merisaukan. Jangan hanya fikirkan faedah kepada pelabur. Saya  faham pelabur melabur kerana mereka ingin meraih untung daripada usaha niaga – saya setuju dengan itu – namun negara kita perlu menerima faedah selari dengan yang diterima pelabur. Saya ingin komitmen ini mewujudkan  sebanyak pekerjaan yang boleh.” Mendengar beliau berucap, saya sedar Suu Kyi mempersembahkan jenis kepimpinan yang sangat diperlukan Asean hari ini.

Tidak boleh dinafikan bahawa beliau adalah seorang ikon Asia Tenggara, antara individu yang mempunyai sentuhan mistik yang memukau seluruh rantau kita. Pada waktu yang sama, beliau menunjukkan betapa mampunya kepimpinan boleh memberi inspirasi yang efektif. Suri rumah yang sangat sederhana tanpa keriuhan penyokong ataupun perunding imej mampu menarik lebih minat dan menimbulkan kekaguman lebih daripada manamana pemimpin  di Asia Tenggara.

Mesej yang kita harus pelajari ialah bahawa kepimpinan berlandaskan idealisme lebih abadi, bukan yang bergantung kepada ugutan dan intimidasi. Sesungguhnya, ini adalah satu pengajaran buat golongan pemimpin kita hari ini.