MINGGU lepas, Indonesia (dan terutamanya Jakarta) dilanda hujan lebat berlarutan membawa kepada bencana banjir.

Biarpun lebih banyak perhatian diberikan ke arah Jakarta, kesan itu dirasai hingga ke serata Indonesia, termasuk kota Manado di Sulawesi Utara yang terjejas teruk.

Jalan raya dan jambatan di sepanjang pesisir pantai utara Jawa ditenggelami air. Hal ini beri peringatan akan kepentingan memelihara hutan gunung yang semakin cepat menghilang.

Tambahan pula, berita tentang letusan Gunung Berapi Kelud, yang terletak hampir 130 kilometer dari selatan kota Surabaya di Jawa Timur, memenuhi muka depan akhbar-akhbar tempatan – melangkaui liputan tentang letusan Gunung Sinabung di Sumatera Utara.

Gunung Kelud membawa ancaman besar. Tidak seperti Gunung Merapi (terletak di utara kota Yogyakarta) yang terus mengeluarkan wap udara panas, Gunung Kelud menghasilkan satu letusan kuat dan dramatik: memuntahkan lebih dari 200 juta kubik meter abu ke ruang udara Pulau Jawa.

Kehadiran angin Monsun Barat Daya menyebabkan sebahagian besar kawasan selatan Pulau Jawa diselubungi abu tebal dari letusan Gunung Kelud, hingga mengubah kawasan perkampungan Pulau Jawa menjadi seakan suasana semasa musim sejuk di Eropah tengah.

Mujurlah, Kelud memang diketahui gunung berapi aktif (berbeza Gunung Sinabung yang tidak menunjukkan sebarang aktiviti sejak lebih 400 tahun). Justeru, penduduk setempat membuat persiapan segera untuk berpindah.

Berita penutupan beberapa lapangan terbang disebabkan abu gunung berapi yang menutupi landasan (sehingga 5 cm) mengejutkan banyak pihak.

Apa jua keadaan sekalipun, kedua-dua bencana tersebut mengingatkan rakyat Indonesia akan kehebatan kuasa alam dalam kehidupan mereka.

Jika diambil kira risiko ancaman dari kuasa alam dan kehijauan yang tersebar luas di Pulau Jawa, tidak menghairankan jika orang keturunan Jawa, khususnya, begitu ambil berat tentang amalan kepercayaan agama mereka dan mempunyai rasa hormat kepada orang lain.

Berhadapan risiko bencana alam yang tiada penentunya, mungkinkah mereka ini hanya dapat bergantung pada perlindungan dari “atas” sebagai satu-satunya harapan mereka?

Setiap kali saya mengunjungi tempat persemadian Wali Songo – merujuk kepada sembilan wali yang telah membawa Islam ke Pulau Jawa – dan melihat bagaimana ribuan pengunjung begitu khusyuk berdoa di samping makam mereka, perhatian saya pasti tertarik dengan pemandangan gunung berapi - dapat dilihat dari jauh.

Gunung-gunung tersebut seakan-akan berkata: anda boleh berdoa sebanyak mana sekali pun, tetapi kami hanya perlu menjawab kepada kuasa yang lebih agung daripada kamu. Sesungguhnya, kita tidak dapat menduga tindakan alam.

Seperti saya katakan, Indonesia dikurniakan kekayaan alam. Laporan Bank Dunia pada 2011, terdapat lebih 510,000 kilometer persegi tanah pertanian di Indonesia, atau 28.2 peratus dari keseluruhan keluasan tanah.

Tanah pertanian ini hasilkan lebih kurang 40 juta tan beras pada 2013 dan masih terdapat lebihan 5.4 juta tan beras.

Kekayaan sumber pertanian ini dapat dikaitkan dengan debu gunung berapi yang melimpah ke atas tanah pertanian tersebut sejak berkurun lamanya, terutamanya di Pulau Jawa.

Meskipun pembangunan bandar, bangunan, jalan dan jambatan seakan simbol kita sudah menguasai tanah, namun kita harus akui masih bergantung pada belas kasihannya.

Saya sudah terbiasa mengalami gempa bumi kecil di Jakarta dan Bali. Namun, apabila alam menunjukkan kekuasaannya, seperti gempa bumi di Yogyakarta Selatan pada 2006 dan Padang pada 2009, kemusnahannya tidak dapat digambarkan - tinggalkan kesan mendalam buat masyarakat.

Akhir tahun lalu, saya mengembara ke Aceh untuk penggambaran dokumentari Ceritalah Indonesia saya. Di sana, saya berkunjung ke Muzium Tsunami. Ternyata, ia menyingkap memori pilu yang meragut 160,000 nyawa sewaktu Tsunami Lautan Hindi pada 2004.

Arus deras pada ‘Boxing Day’ tersebut menghanyutkan lelaki, wanita, anak kecil, haiwan dan juga bangunan. Tidak ada kecuali.

Justeru, anugerah alam kepada Indonesia dan juga seluruh penduduk dunia adalah berbelah bahagi. Ia memiliki kuasa untuk membangunkan dan juga menghancurkan dunia.

Satu kesilapan besar andainya kita meminggirkan hakikat ini.